Pelbagai kaedah diambil pihak pengurusan sekolah bagi memastikan
sistem operasi pentadbiran dan pembelajaran di kalangan warganya
berjalan lancar dan mencapai tahap terbaik.
Bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, Sungai Buloh, Sistem
Pengurusan Sekolah Kualiti Berasaskan MS ISO 9000 menjadi keutamaan bagi
mewujudkan persekitaran pembelajaran berkualiti di kalangan murid, guru
dan kakitangan sekolah.
Menurut Guru Penolong Kanan Tadbir dan Akademik SK Seri Pristana, Mazlan Mohamad Mohsin (gambar),
inisiatif tersebut diperkenalkan Guru Besar sekolah, Mohamad Nasir
Mohd. Noor yang melihat perkembangan itu banyak dipraktikkan di beberapa
sekolah terbaik.
"Program ISO ini banyak diguna pakai di sekolah berasrama dan sekolah
kluster yang terbukti berkesan serta terbaik dalam meningkatkan
pencapaian sekolah berkenaan.
"Namun, tujuannya diperkenalkan bukan sesekali mahu membebankan para
guru tetapi hanya sebagai cadangan dengan meletakkan konsep di bawah ISO
ini iaitu Sisih, Susun, Seragam, Sapu dan Sentiasa amal (5S) di setiap
bilik darjah sebagai panduan kepada guru dan murid," katanya ketika
ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.
Konsep 5S ini, jelas beliau, sebagai penjana kecemerlangan dengan
Sisih bermakna menyisih dan membuang barang yang tidak perlu; Susun bagi
menyusun dan mencuci tempat kerja dengan rapi manakala Seragam untuk
menyeragam atau memelihara kebersihan dan penyusunan sepanjang masa.
Di bawah konsep itu juga, Sapu merujuk kepada kerja-kerja menyapu dan mencuci tempat kerja dengan rapi.
Sentiasa Amal pula untuk berdisiplin dan melatih pekerja mematuhi peraturan dan bertabiat baik secara berterusan.
"Kita meletakkan poster 5S ini di setiap bilik darjah dan pejabat
sekolah hanya sebagai panduan kepada guru dalam menambah baik kemahiran
pengajaran dan pembelajaran (PdP) mereka dan bukan semata-mata
pengurusan sekolah mahu mendapat pensijilan ISO.
"Usaha ini secara tidak langsung memberi kita satu sistem kerja yang
teratur dan sistematik kepada guru selain memudahkan operasi pentadbiran
agar lebih terancang,'' tegasnya.
Sejak dipraktikkan Mac lalu, ujarnya, usaha ini telah menunjukkan
hasil kerja yang positif misalnya berjaya mewujudkan sistem kerja
operasi fail dan dokumen sekolah lebih teratur berbanding sebelumnya.
Pada masa yang sama, katanya, usaha itu membantu pengurusan sekolah
dan guru memberi perkhidmatan secara bersistem apabila proses kerja
didokumentasi dan boleh disemak, dirujuk dan dinilai semula
keberkesanannya.
"Apa yang penting, kerja 5S ini mengutamakan pencapaian objektif
kualiti dan memupuk sikap yang mementingkan tindakan pembetulan dan
penambahbaikan secara berterusan terhadap sistem kerja sedia ada,"
katanya.
No comments:
Post a Comment