SEREMBAN 23 Mac — Kementerian Pelajaran menyambut baik cadangan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar subjek mengenai pilihan raya
diperkenalkan di sekolah bertujuan membantu pelajar memahami sistem
pemerintahan negara.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi
berkata, ia memerlukan satu kajian lebih menyeluruh oleh Bahagian
Pembangunan Kurikulum kementerian itu.
"Ini kerana ia melibatkan guru, jadual dan kita kena lihat kita nak
mula mengajar itu di peringkat mana, rendah atau menengah. Mungkin kita
boleh fikirkan dibuat secara merentas kurikulum iaitu ia menumpang
subjek-subjek sedia ada, sama ada subjek sejarah, kajian tempatan dan
sebagainya.
"Mungkin kita boleh masukkan elemen itu di situ tapi pada saya, ia
perlukan satu kajian yang menyeluruh supaya apabila dilaksanakan nanti
ia benar-benar berkesan dan saya rasa mungkin tujuannya lebih kepada
untuk menimbulkan kefahaman dan kesedaran,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat agung Persatuan
Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Wawasan, Seremban 2. Turut hadir
Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Datuk Abdul Halim Abdul Razak. —
BERNAMA
No comments:
Post a Comment