KUALA LUMPUR 15 Mac - Semua mahasiswa institut
pengajian tinggi (IPT) boleh menikmati sarapan pagi dan makan tengah
hari pada harga istimewa apabila program Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M)
diperluaskan di seluruh IPT selewat-lewatnya penghujung tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk
Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini sebanyak 40 IPT sudah
menyertai program itu sejak dilancarkan pada 7 Julai lalu.
''Perkara ini adalah selari dengan kehendak Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak bagi mengurangkan bebanan pelajar akibat kos sara
hidup yang tinggi ketika ini.
''Keutamaan kita agar seluruh IPT awam menyertai program ini namun
kita turut berharap IPT swasta juga mengambil bahagian,'' katanya kepada
pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Pengguna
kali pertama, di sini hari ini.
Menu Rakyat 1Malaysia menawarkan harga sangat berpatutan contohnya
untuk sarapan pagi restoran di Semenanjung adalah RM2 dan makan tengah
hari pula hanya RM4.
Ismail Sabri berkata, selain program MR1M, produk Kedai Rakyat
1Malaysia (KR1M) juga disasarkan dapat dijual di seluruh koperasi IPT
bagi memenuhi permintaan mahasiswa.
Katanya, kementerian juga bakal mengeluarkan kad diskaun kepada
mahasiswa sebelum Jun ini bagi membolehkan golongan itu membeli barangan
keperluan pada harga lebih rendah.
Tambah beliau, pada masa ini, kementerian sedang berbincang dengan
pihak pembekal yang terlibat untuk memberikan potongan bagi pembelian
seperti buku, peralatan sukan dan tambang pengangkutan awam.
No comments:
Post a Comment