BAGI mendedahkan pelajar dengan bidang keusahawanan, Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Bandar Rinching menganjurkan Hari Koperasi Sekolah di
pekarangan Pasar Raya Besar Tesco Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
Menurut Pengetua SMK Bandar Rinching, Zaliha Abd. Wahid, penganjuran
Hari Koperasi Sekolah diadakan setiap tahun bagi mengiktiraf usaha
koperator dan aktiviti keusahawanan yang diadakan di samping mahu
memupuk minat berniaga di kalangan pelajar sekolah.
"Objektif program ialah untuk memupuk minat berniaga dalam kalangan
pelajar, memberi latihan dan peluang kepada pelajar untuk aktif dalam
bidang keusahawanan, merapatkan hubungan antara sekolah, ibu bapa dan
masyarakat setempat serta menambah sumber kewangan koperasi sekolah
melalui aktiviti perniagaan," katanya dalam satu kenyataan baru-baru
ini.
Acara Hari Koperasi Sekolah yang buat pertama kalinya diadakan di
luar kawasan sekolah itu melibatkan semua warga sekolah, Persatuan Ibu
Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bandar Rinching dan komuniti setempat.
Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SMK Bandar Rinching, Datuk Jabar
Che Nai berkata, pihaknya telah mengadakan program Makan Malam Amal
Semekar 2012 di sekolah berkenaan baru-baru ini yang dirasmikan oleh
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abd. Aziz.
"Ia diadakan dengan matlamat untuk melahirkan semangat kerjasama
antara warga sekolah, memberi keyakinan dan peluang kepada pelajar untuk
menampilkan bakat masing-masing, merapatkan hubungan ibu bapa dan
masyarakat dengan pihak sekolah," jelasnya.
Kata Jabar, ia juga bertujuan mendapatkan sumber kewangan bagi pembangunan dan aktiviti sekolah pada masa depan.
''Hasil daripada jualan meja pada malam tersebut melepasi sasaran
dengan mencapai RM26,000 dan keuntungan bersih yang berjaya diperoleh
pada malam tersebut kira-kira RM16,518," katanya
No comments:
Post a Comment