DUNGUN 16 Mac - Pengajian ilmu falak perlu dijadikan subjek utama di
semua peringkat di sekolah atau universiti agar negara tidak terus
terkebelakang berbanding pencapaian negara lain dalam kajian terhadap
alam semesta termasuk matahari dan bulan.
Penolong Pegawai Tadbir Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari
Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Ahmad Taufan Abdul
Rashid berkata, langkah itu penting kerana kajian alam semesta merupakan
suatu kajian tentang objek yang dekat dengan kehidupan harian manusia.
Beliau juga melahirkan kekhuatiran jika pengajian bidang tersebut
masih kekal sebagai subbidang, ia akan menyebabkan ketiadaan kajian
khusus terhadap ruang lingkup ilmu falak selain kajian alam semesta.
"Apabila kajian itu tidak dilakukan atau pun terlalu kurang, ia akan
menyebabkan Malaysia ketinggalan dari aspek maklumat falak berbanding
negara lain yang sudah jauh ke depan.
"Maksudnya, ia bukan penjelajahan tetapi perubahan nyata pada objek
di alam semesta ini yang mungkin memberi impak kepada kehidupan di bumi
khususnya Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja Kepentingan Pendidikan Ilmu Falak pada seminar Fatwa dan Falak Negeri Terengganu 2012 di Bandar Al-Muktafi Billah Shah dekat sini semalam.
Seminar sehari anjuran Jabatan Mufti Negeri Terengganu dengan
kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) itu dirasmikan
oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat.
Ahmad Taufan berkata, subbidang ilmu falak yang sememangnya
bergantung kepada ilmu falak itu sendiri selain sekadar pelengkap kepada
keperluan sesuatu bidang lain, perlu selari dengan perubahan ilmu
falak.
Sebagai contoh, katanya, rumus hitungan falak 1970-an tidak lagi
sesuai diguna pakai untuk tahun 2000 ke atas dan ia memerlukan
pembetulan baharu bagi memastikan hitungan kekal pada kejituan tinggi.
Jelasnya, perubahan itu hanya dilakukan oleh mereka yang terlibat
sepenuhnya sebagai ahli falak dan jika subbidang falak tiada hubungan
dengan ilmu falak, ia akan terus menggunakan rumus yang belum
diperbaharui.
"Bayangkan sekiranya melibatkan satelit dan pelancaran roket, apa
yang mungkin terjadi? Malah sistem suria sendiri sudah banyak berubah
definisi dan justifikasinya.
"Jadi, amat malang sekiranya buku teks sekolah masih tidak diubah
kerana sudah tentu pengalaman terbaharu dengan kandungan buku itu tidak
lagi selari," katanya.
No comments:
Post a Comment