Sekolah
merupakan institusi sosial yang memainkan peranan amat penting dalam merubah
kehidupan masyarakat. Sekolah adalah pengubah minda dan sekolah adalah penentu
kepada budaya dan pembangunan sesebuah negara. Di sinilah tempat kita menuju
wawasan. Di sini jugalah tempat kita membina bangsa kita. Dengan yang demikian
tidak hairanlah kalau isu pendidikan tetap dibincang oleh masyarakat, walau apa
pun bentuk dan taraf seseuatu masyarkat itu. Negara tidak akan maju tanpa
sistem pendidikan yang berkesan. Kalau sistem dan carta organisasi sahaja yang
berkesan tetapi pengurusannya lembab, maka cita-cita negara, dan perbelanjaan
yang begitu besar diperuntukkan oleh kerajaan hilang begitu sahaja dan
cita-cita serta Falsafah Pendidikan Negara hanya tinggal terukir di pejabat
atau di bilik pengetua dan menjadi rujukan serta kajian ilmiah semata-mata.
Oleh yang demikian untuk menzahirkan wawasan pendidikan negara, perlulah
segenap pihak yang memikul tugas dan tanggungjawab menerima tugas dengan penuh
amanah dan ikhlas. Terutama sekali sebagai seorang guru besar atau pengetua
yang bertanggung jawab secara langsung di sekolahnya.
Hari
ini ramai juga orang memperkatakan tentang kewibawaan guru besar atau pengetua
(kedua-dua dirujuk sebagai pengetua) di sekolah. Macam-macam pendapat dan
pandangan yang diberikan oleh mereka. Seolah-olah pengetua sahaja yang
memainkan peranan tanpa dikaitkan dengan persekitaran dan sosio-budaya
masyarakat setempat. Walaupun banyak elemen yang berkaitan dengan perkembangan
pendidikan seeorang pelajar, tetapi kalau masing-masing mengetahui dan
menginsafi tetang tugas dan tanggungjawabnya, kita yakin, Falsafah Pendidikan
Negara akan terlaksana dan kita akan dapat menuju ke satu era kecemerlangan
ilmu dan pembangunan negara akan berlaku secara seimbang di antara, emosi,
jasmani, rohani dan intelek. Untuk itu, di sini kita cuba bincangkan tentang
tugas dan tanggungjawab seorang pengetua dalam mencapai tugas dan matlamat itu.
Peranan Pengetua
Pengetua
adalah orang yang memainkan peranan yang amat penting di sekolah. Dia adalah
seorang pentadbir, pengurus dan yang lebih besar di situ adalah seorang
pemimpin. Dalam konteks ini, ketiga-tiga tugas itu saya menggunakan istilah
pemimpin atau kepemimpinan sahaja kerana aspek pentadbiran dan pengurusan
adalah berkait langsung dengan kepempimpinan. Ketiga-tiga konsep itu, kita
perlu memahami dan menghayati dengan jelas. Sebagai seorang pentadbir, yang
melibatkan diri dalam pentadbiran pendidikan. maka ia perlu kepada proses
kerjasama di antara dua orang atau lebih yang berasaskan kepada rasional yang
tertentu untuk mencapai tujuan yang telah ditentukan sebelumnya seperti mana
yang telah dijelaskan oleh SIONDANG(1981). Manakala SYUKUR (1988) menjelaskan
pentadbiran secara amnya tertumpu kepada hal-hal yang sebahagian besar
berhubung dengan pembahagian kerja dan penyelarasan perhubungan untuk
melahirkan kecekapan dalam organisasi.
Kedua-dua
konsep pentadbiran yang dikemukan oleh kedua-dua orang tadi adalah tidak lari
dengan persepakatan. Tanpa melibatkan proses kerjasama maka pentadbiran dalam
erti kata sebenarnya tidak berlaku di sekolah. Oleh itu, seorang pengetua yang
berkesan hendaklah melaksana pentadbiran dengan melibatkan sekumpulan pekerja
di bawahnya dengan cara yang disenangi . Mudah digauli dan menghargai pendapat
dan pengalaman orang lain. Konsep "The boss is the boss" dalam zaman
sekarang ini perlu dibuang terus dalam pemikiran pengetua. Zaman bercorak
pentadbiran kolonial British telah berakhir. Hari ini bukan lagi zaman untuk
menentukan tugas-tugas terlaksana tetapi zaman orang bercakap, berbincang dan
mengkaji tentang kualiti, keberkesanan dan kecemerlangan.
Sebagai
seorang pemimpin sekolah, seharusnya mempunyai semangat dan kesedaran yang
tinggi tentang wawasan 2020. Wawasan 2020 bukanlah alat untuk membelenggu kita
di dalam `status quo'. Wawasan ini mengajak kita untuk menjadi pelakon utama,
menjadi primadona, menjadi seri panggung kepada drama perubahan (zahid, 1994).
Pemimpin
adalah rahsia kehidupan gemilang umat dan sumber kebangkitannya. Sejarah umat
adalah sejarah para pemimpin yang sedar, yang kuat jiwanya dan tinggi
kemahuannya. Demikianlah kata-kata Al-marhum Hassan Al-Banna seorang mujahid
Islam yang menjadi model dan keagungan pemimpin Islam pada zaman moden. Dari
sini jelas kepada kita bahawa seorang pemimpin hendaklah mempunyai daya
kesedaran yang tinggi dan mempunyai jiwa yang kuat dan mempunyai cita-cita yang
tinggi.
Peranan
dan fungsi pengurus yang memimpin adalah mencetuskan usaha-usaha peningkatan
kekesanan proses pengajaran-pembelajaran dengan sentiasa melakukan inovasi dan
sekaligus menghargai inovasi tenaga kerja (Sokarno,1994). Melalui kata-kata
bekas Pegawai Khas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia ini, dapat kita simpulkan
bahawa seorang pengetua hendaklah mempunyai cita-cita dan sentiasa mencari
idea-idea baru untuk meningkat proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih
bekesan. Sekolah perlu kepada seorang pemimpin yang berjiwa besar, semangat dan
cita-cita tinggi kerana kepemimpinan sekolah adalah begitu kompleks. Sebahagian
besar inputnya adalah manusia. Manakala outputnya juga adalah manusia, tidak
seperti firma atau kilang-kilang yang mengeluarkan produk yang berupa barangan
(goods). Pengetua terpaksa berhadapan dengan guru-guru pimpinannya dan
pelajar-pelajar sebagai sasarannya. Di sekelilingnya adalah masyarakat yang
sentiasa melihat pekembangan pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu,
melalui anak-anaknya. Jadi, sebagai seorang pengetua terpaksa berhadapan dengan
tiga dimensi, guru dan kakitangan sokongan, murid dan masyarakat.
Teori kepemimpinan
Beberapa
teori kepemimpinan telah muncul dan banyak dibahaskan oleh golongan bijak
pandai dalam usaha uuntuk melahirkan kepemimpinan yang berkesan. Di antaranya
ialah teori kepemimpinan karismatik. Kini, teori karismatik tidak lagi
merupakan sebagai angkubah utama untuk kejayaan kepemimpinan pengetua. Teori
ini adalah terkenal dan menjadi panduan pada peringkat awal pengkajian dahulu
setelah melihat kepada perkembangan sejarah bahawa pemimpin-pemimpina yang
terkenal adalah terdiri dari mereka yang mempunyai peribadi yang menarik dan
disenangi. Walaupun teori ini bukanlah faktor penentu kejayaan dalam kepemimpinan
hari ini tetapi ini adalah asas yang perlu ada kepada seorang pemimpin.
Satu
lagi teori kepemimpinan yang selalu dibincangkan ialah teori perhubungan
kemanusiaan. Dalam teori ini, pemimpin yang berjaya adalah terdiri dari
pemimpin yang dapat memberi perhatian yang berat kepada tugasnya, dan
mewujudkan kerjasama dengan orang-orang bawahannya. Di sini kita dapati
sekiranya seorang pemimpin itu tidak menghargai pandangan dan usaha orang-orang
di bawahnya maka tentunya kerjasama tidak akan berlaku dan dengan itu nescaya
tidak akan dapat melahirkan satu bentuk kepemimpinan yang berkesan. Dalam
konteks sekolah, guru-guru di bawah seliaannya mungkin mempunyai pandangan dan
idea yang lebih bernas dari dia sebagai seorang pemimpin. Oleh itu pandangan
dan sifat kepemimpinannya tidak sepatutnya bersifat autokratik. Sifat ini tidak
akan melahirkan corak kepemimpinan yang berkesan tetapi di sebaliknya akan
lahir guru-guru yang bersifat kayu mati (dead woods) kerana mereka akan bosan
dengan kerenah seorang pengetua yang tidak mahu mendengar pandangan dan buah
fikiran orang lain, kerana menganggap dia adalah lebih bijak dan pandai dari
orang di bawah kawalannya.
Mcgregor
pula telah memperkenalkan teorinya yang dipanggil teori X dan teori Y. Dalam
teori ini secara ringkasnya dapat dirumuskan bahawa sekiranya seseorang
pemimpin (pengetua) itu menganggap orang-orang bawahannya malas dan tidak
bertanggungjawab, maka lama-kelamaan mereka akan menjadi sebagai orang malas
dan tidak bertanggungjawab. Di sebalikya, jika pemimpin itu menganggap
orang-orang di bawahnya itu rajin dan bertanggungjawab, maka mereka akan lahir
sebagai seorang yang rajin dan bertanggungjawab. Dalam teori ini konsep
menghargai dan meletakkan martabat orang-orangnya adalah juga sebagai penentu
kejayaan sesuatu kepemimpinan itu.
Setelah
melihat kepada teori-teori tadi banyak diperbahaskan, maka timbul pula satu
teori yang lebih menjuruskan kepada keadaan semasa. Teori ini dipanggil teori
Kepemimpinan Mengikut Situasi (Situational Leadership Theories). Mengikut teori
ini, keadaan yang berbeza memerlukan kepada corak kepemimpinan yang berbeza.
Melalui teori ini dapatlah kita rumuskan bahawa pengetua hendaklah pandai
dengan budaya dan suasana persekitaran. Setiap sekolah mempunyai iklim sosial
yang berbeza. Banyak faktor yang perlu diambil kira. Bermula dari suasana dalam
sekolah, persekitaran di luar sekolah, budaya masyarakat setempat dan
sebagainya. Oleh itu pengetua hendaklah bijak menggunakan daya kepemimpinan
yang ada padanya. Pengetua harus bijak supaya tidak timbul satu kejutan
kepemimpinan yang boleh menimbulkan ketegangan kepemimpinan oleh guru-guru dan
masyarakat sekitar.
Sifat kepengetuaan
Walau
apa teori pun tidak semudah seperti yang diperkatakan oleh teori itu. Penentu
kepada kejayaan bukan hanya satu sahaja, tetapi kesemuanya adalah berasaskan
kepada kebijaksanaan pengetua dan peka dengan keadaan sekelilingnya. Mencari
punca sesuatu masaalah dan menyelesaikan berasaskan kepada punca-punca itu
adalah penting.
Dalam
hal ini maka tidak timbulah seorang pengetua yang ditafsirkan sebagai suka
mencari kesalahan. Seorang pengetua bukan ditugaskan untuk mencari kesalahan,
tetapi untuk mengubati masalah. Membimbing mereka ke arah atau hala tuju yang
betul secara klinikal Maka untuk inilah memerlukan daya kepemimpinan yang
tinggi.
Sebagai
seorang pengetua, sudah semestinya mahu menjadi seorang pengetua yang berkesan.
Seorang pengetua yang berkesan akan melahirkan guru, sekolah dan pelajar yang
berkesan. Sifat pengetua yang menekankan kepada jenis kepemimpinan demokratik
merupakan asas kepada keberkesanan seorang pengetua. Seorang pengetua yang
mengutamakan corak kepimpinan yang demokratik akan disayangi dan mudah
didampingi oleh guru. Dia mengambil kira dan turut berkongsi pengalaman serta
idea dengan orang-orang di bawah kumpulannya. Sifat menghargai dan sentiasa
membawa perbincangan dari idea-idea yang diketengahkan oleh kumpulannya adalah
satu cara yang amat penting dalam menjalankan urusan pengajaran dan
pembelajaran di sekolah. Bukan sahaja dengan guru-guru tetapi seluruh
kakitangan sokongan yang ada. Bagi orang-orang di bawah kawalannya, mereka akan
merasa amat gembira kalau pemimpinnya menghargai idea mereka. Dengan ini akan
lahirlah sikap mereka yang kuat dan rajin bekerja.
Sebagai
seorang pengetua yang demokratik, dia juga hendaklah mampu mempertingkatkan
daya kreatif dan enovatif kakitangan di bawahnya. Dia adalah sumber kepada
mereka untuk terus membangunkan diri. Bagi pekerja-pekerja di bawahnya, seorang
pengetua hendaklah sentiasa dapat memberi dan menanamkan minat guru-guru dan
kakitangan yang lain supaya dapat menyumbangkan tenaga dan idea dari semasa ke
semasa. Dalam konteks ini, pengetua itu seharusnya mempunyai semangat kerja
berpasukan yang tinggi, sanggup menyertai sama dalam satu kumpulan kerja.
Sebagai
seoarang pengetua yang mempunyai ciri-ciri demokratik, selain dari di atas
tadi, dia juga hendaklah menunjukkan sebagai seorang yang mempunyai minat
berkomunikasi secara terbuka, seorang yang peramah mesra. Sentiasa menunjukkan
wajah yang disenangi oleh pengikutnya. Mempunyai komunikasi dua hala.Tidak ada
perasaan ego dan tidak menekankan kepada sifat autokratik. Pengetua sebagai
seorang yang mempunyai ciri-ciri professional, hendaklah menggunakan saluran
demokratik itu secara terpimpin, kalau demokratik tanpa batasan akhirnya akan
lahir satu bentuk kepemimpinan yang lain iaitu laissez-faire. Teori
kepemimpinan Laissez-faire ini akan banyak memberi kuasa otonomi kepada
pekerjannya. Pengikut atau pekerjanya mempunyai ruang yang amat bebas untuk
membuat keputusan. Suasana sekolah akan menjadi pincang, urusan pengajaran dan
pembelajaran tidak akan mencapai matlamat lagi.
Melalui
bebarapa huraian ringkas di atas tadi menampakkan kepada kita bahawa, Pengetua
adalah teras kepada pengurusan pendidikan di sekolah. Kalau pengetua sudah
tidak ada kredibiliti dan karisme yang tinggi, sekolah sebagai tempat untuk
menjana minda pelajar-pelajar akan berjalan dalam suasana yang pincang. Sekolah
adalah 'duta wawasan' yang merupakan sebuah 'negara kecil' yang perlu
segala-galanya. Pemimpin dan pengikut hendaklah sentiasa taat-mentaati dan
harga-menghargai di antara mereka. Dengan wujudnya sifat kepemimpinan yang
berkesan maka pengurusan dan pentadbiran di sekolah akan tercapai seperti yang
diharapkan oleh setiap masyarakat dan kerajaan.
Sumber
: MYZ
No comments:
Post a Comment