SETELAH mengubah kehidupan hampir 10,000 penduduk pantai timur,
Program Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah diperluaskan
ke Raub, Pahang baru-baru ini untuk meningkatkan pencapaian akademik dan
memperkasakan penduduk tempatan dengan kemahiran berguna bagi membantu
mereka menjana pendapatan yang lebih tinggi.
Menteri Pelancongan, Datuk Sri Dr Ng Yen Yen ketika merasmikan
program itu berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja akan membantu
mengimbangi jurang antara kawasan bandar dan luar bandar tetapi ia juga
seiring dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang bermatlamat
untuk mewujudkan masyarakat yang berpendapatan tinggi di kalangan semua
rakyat di negara ini.
"Program empower ECER bersama dengan program pembangunan modal insan
lain yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan di Raub terbukti
menunjukkan rekoda yang memberangsangkan dalam memupuk belia tempatan
yang merupakan masa depan negara," kata Ahli Parlimen Raub itu.
Program empower mula diperkenalkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah
Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pada 2010 dengan objektif untuk
meningkatkan sumber modal insan di ECER melalui Latihan Kemahiran
Akademik untuk pelajar sederhana dan lemah, serta Latihan Kemahiran
& Keusahawanan untuk orang dewasa.
Ia kini dilaksanakan di lima daerah di Pahang iaitu, Bentong,
Temerloh, Lipis, Cameron Highlands dan Raub; Kemaman di Terengganu;
serta Jeli dan Bachok di Kelantan.
Di Raub, seramai 400 pelajar sederhana dan lemah telah menyertai
kursus Latihan Kemahiran Akademik sejak Januari 2012 bagi membantu
mereka membuat persediaan untuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR),
Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan
datang.
Manakala 500 orang dewasa pula telah mendaftar untuk program Latihan
Kemahiran dan Keusahawanan yang akan meningkatkan kebolehpasaran mereka
di kalangan bakal majikan atau membolehkan mereka memulakan perniagaan
sendiri.
Sehingga kini, ECERDC telah berjaya memenuhi petunjuk prestasi utama
(KPI) 100 peratus lulus dalam keputusan UPSR, PMR dan SPM pada tahun
2010 dan 2011.
Secara keseluruhan, ia merekodkan peningkatan sebanyak 30 peratus
dalam pencapaian akademik bagi pelajar yang mendaftar di bawah Program
Latihan Kemahiran Akademik.
Selain itu, ECERDC mensasarkan 80 peratus kejayaan dalam penempatan
pekerjaan untuk para peserta dengan pendapatan tambahan antara RM800 dan
RM1,500 sebulan.
No comments:
Post a Comment