JOHOR BAHRU 13 Okt. - Bagi membantu menangani kelemahan yang dihadapi golongan siswazah mencari peluang pekerjaan yang sesuai terutamanya semasa proses temuduga, satu portal dikenali Ready4Work dibangunkan untuk tujuan berkenaan.
Portal tersebut yang dibangunkan secara kerjasama antara Talent Corporation Malaysia Bhd. (TalentCorp) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan dilancarkan secara rasmi pada 31 Oktober ini di UTM kampus Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Johan Mahmood Merican berkata, Ready4Work akan menjadi pusat sehenti bagi membantu menangani jurang kemahiran tenaga kerja dan menghubungkan mereka dengan majikan sesuai.
Menurutnya, portal itu mengandungi panduan persediaan temuduga seperti siri bantuan pengguna dalam mengenal pasti kelemahan teknik temuduga dan bagaimana menanganinya berdasarkan perspektif majikan.
"Antaranya, penyelesaian masalah dan kemahiran komunikasi, koleksi kata-kata inspirasi, ceramah motivasi pemimpin syarikat terlibat, tip soalan yang tidak sepatutnya ditanya dan maklum balas mereka berjaya mendapat kerja.
"Fokusnya untuk membangunkan kemahiran insaniah yang diperlukan untuk pekerjaan," katanya pada majlis menandatangani dokumen perjanjian persetujuan antara UTM dan TalentCorp, di sini semalam.
No comments:
Post a Comment