Guru diwajib kursus profesionalisme
SHAH ALAM 24 Mei - Kementerian Pelajaran akan
mewajibkan semua guru mengikuti Kursus Bina Upaya Profesionalisme
Perguruan bagi memperkasakan mereka dari aspek inovasi dan
profesionalisme bermula Jun ini.
Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, menerusi kursus
tersebut kementerian akan memberi penekanan terhadap tiga perkara utama
dalam membangunkan profesionalisme perguruan meliputi pengetahuan,
kemahiran serta perwatakan yang harus ada pada setiap tenaga pengajar.
Menurutnya, kursus itu akan dijalankan secara berperingkat melibatkan
seluruh warga guru dan ia bakal dijalankan di Institut Aminuddin Baki
(IAB) serta Bahagian Pendidikan Guru (BPG).
''Kementerian melantik 21 jurulatih bagi mengendalikan kursus
tersebut yang diharapkan dapat melonjakkan transformasi negara dalam
bidang pendidikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan
Hari Guru Peringkat Negeri Selangor 2012 di Pusat Konvensyen Shah Alam,
di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Pelajaran Negeri, Abdullah Mad Yunus dan Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Serdang, Datuk Mohamad Satim Diman.
Sempena sambutan tersebut, sebanyak 100 naskhah akhbar Utusan Malaysia dan 300 naskhah akhbar Kosmo! diedarkan secara percuma kepada hadirin.
Kumpulan Utusan juga membuka gerai pameran sempena sambutan itu
selain menawarkan 20 peratus diskaun harga bagi produk majalah yang
dikeluarkan oleh syarikat berkenaan.
Dalam pada itu, sambutan tersebut turut menyaksikan tiga bekas
pendidik di negeri ini menerima Anugerah Tokoh Guru Negeri Selangor
2012.
Mereka ialah bekas Pengetua Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Rantau Panjang, Klang, Kamariah Zainuddin dan bekas Timbalan Pengarah
Jabatan Pelajaran negeri, Kamaruddin Mansor.
Turut menerima anugerah ialah bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Sabak Bernam, Abd. Azizi Mustafa. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment