Setiap pelajar harus mengetahui hak paten produk
inovasi yang dihasilkan dan dilindungi di bawah agensi Perbadanan Harta
Intelek Malaysia (MyIPO) bagi mengelak ia diciplak oleh golongan tidak
bertanggungjawab.
Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Azizan Mohamad Sidin berkata, pencapaian
pelajar dalam ciptaan produk inovasi amat membanggakan dan sering
memenangi pertandingan di peringkat antarabangsa.
Misalnya, kata beliau, pada pertandingan World Robotic Olympiad,
Malaysia memenangi kejuaraan itu sebanyak tiga kali iaitu 2009, 2010 dan
yang terbaru memenangi 11 anugerah cemerlang dan dua anugerah khas pada
tahun lalu.
"Bagaimanapun, hasil inovasi tersebut tidak difailkan bagi mendapat
perlindungan harta intelek dan telah mengakibatkan peniruan oleh pihak
tidak bertanggungjawab.
"Apa yang lebih menyedihkan, apabila kos mengambil tindakan mahkamah
terlalu mahal dan ini terus memberi ruang kepada pihak terbabit untuk
mengeksploitasikan hasil inovasi pelajar,'' katanya ketika Menutup IP
Summer Camp 2013 di Sekolah Seri Puteri Cyberjaya baru-baru ini.
Perkhemahan selama tiga hari dua malam itu dianjurkan buat
julung-julung kali oleh MyIPO dan berjaya menarik penyertaan 200 pelajar
Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di seluruh negara.
Ia diadakan bertujuan untuk mendedahkan kepada golongan pelajar
mengenai kepentingan dan usaha mereka terhadap perlindungan harta
intelek menerusi pelbagai aktiviti yang diadakan sepanjang perkhemahan
berlangsung.
Selain itu menurut Azizan, melalui penganjuran IP Summer Camp diharap
mampu meningkatkan pemahaman dan meluaskan ilmu pengetahuan pelajar
terhadap kepentingan penjagaan harta intelek agar tidak boleh diciplak
sewenangnya oleh pihak lain.
"Ini kerana, harta intelek merupakan satu bentuk kekayaan baru dalam
penjanaan ekonomi dan kreativiti ini dapat menyediakan peluang yang
lebuh luas ke arah meningkatkan pendapatan,'' ujarnya.
Katanya, program itu mampu mendidik pelajar membudayakan elemen
kreativiti dan inovasi pada diri setiap pelajar dan menyediakan ruang
kepada mereka untuk menterjemahkan kreativiti masing-masing melalui
aktiviti yang diadakan.
Sementara itu, pelajar yang ditemui melahirkan rasa teruja mereka
terhadap penganjuran program tersebut malah membantu mereka menambah
pengetahuan dalam ilmu harta intelek.
Seorang pelajar Tingkatan Empat, Nurfaezah Atiqah Shafe'ee, 14, berkata, program yang diadakan secara santai melalui pendekatan 'learn lerning'.
"Setiap pelajar juga terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan
berpeluang menunjukkan bakat masing-masing dalam bidang yang dikuasai
berbanding proses pembelajaran sehala biasa,'' katanya.
Bagi pelajar Tingkatan Tiga SMK Putrajaya Presint 9 (1), Muhammad Afiq Samsudin, dia merasa seronok dan terhibur walaupun program berlangsung pada masa agak panjang.
Ujarnya, pelajar juga didedahkan dengan penggunaan media sosial
seperti Facebook dan Twitter dalam memperolehi maklumat berhubung
kepentingan harta intelek.
Pelajar SM Sains Tuanku Munawir, Muhammad Arid Hafiz Roslan, 14, berkata dia mula mengetahui kepentingan dan hak melindungi hasil inovasi pelajar.
Ini kerana, katanya, dia beranggapan kepentingan tersebut terletak pada tanggungjawab pihak berkuasa.
Manakala kata Nurul Najwa Sidik, melalui program itu, dia berpeluang meluaskan pemahamannya terhadap budaya kreativiti dan inovasi.
Dia yang merupakan pelajar Tingkatan Empat Sekolah Seri Puteri
berkata, pada masa yang sama, dia berpeluang memperolehi maklumat dalam
menghayati dan menghormati harta intelek.
No comments:
Post a Comment