Sekolah merupakan institusi penting dalam usaha
melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada dadah justeru
Kementerian Pendidikan sentiasa peka dan mengambil tanggungjawab dalam
menjayakan strategi Pendidikan Pencegahan Dadah di Sekolah (PPDa).
Antara strategi utama di bawah program PPDa termasuklah aktiviti
pengurusan dan kepemimpinan, kurikulum, kokurikulum dan pembangunan
sahsiah di kalangan murid demi mencapai matlamat menjadikan negara bebas
dadah pada tahun 2015 akan tercapai.
Pengenalan PPDa tercetus apabila pada Februari 1983, Jawatankuasa
Kabinet Antidadah mengisytiharkan 'Dadah Musuh Utama Negara' dan susulan
itu, Kementerian Pendidikan diberi tanggungjawab merancang dan
melaksanakan program PPDa di sekolah dengan golongan sasaran merupakan
murid, guru, kakitangan sekolah dan ibu bapa.
Dalam konteks ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Amanpuri, Kepong
antara sekolah yang aktif menggiatkan program dan aktiviti PPDa sehingga
terpilih sebagai satu daripada empat sekolah mewakili Selangor dalam
pertandingan PPDa peringkat Kebangsaan pada September nanti.
Guru Besarnya, Azman Mohd. Aris berkata, bagi memperhebatkan cabaran
itu, pihaknya menubuhkan sebuah bilik khusus mengandungi sumber PPDa
bertujuan mendidik dan memberi pendedahan kepada murid mengenai gejala
dan impak bahaya dadah.
Katanya, kemudahan bilik sumber tersebut akan dijadikan sebagai
sebuah pusat rujukan berinovasi dan dilengkapi dengan maklumat berkaitan
dadah.
"Persediaan pusat sumber khas mengenai PPDa ini sebagai platform
dalam menyalur maklumat tentang dadah dan kesannya agar murid menerima
pendedahan dan dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan
penggunaan bahan terlarang itu,'' kata beliau ketika ditemui dalam
Prapenghakiman Bilik Sumber PPDa di sekolah itu baru-baru ini.
Menurut beliau, setakat ini, sekolah tersebut mempunyai 11 stesen
PPDa terdiri daripada bilik rawatan dan bilik interaktif yang digunakan
sepenuhnya oleh 458 murid sekolah itu di bawah program PPDa.
Azman memberitahu, setiap sudut SK Desa Amanpuri dilengkapi poster
mengandungi keterangan grafik dan menceritakan mengenai impak serta
bahayanya pengambilan dadah dalam kehidupan manusia.
Pada masa yang sama, ujarnya, pusat sumber terbabit turut dilengkapi
sudut pandang dan dengar termasuk ruangan RnR yang bertujuan menguji
minda murid melalui permainan.
"Hasil daripada pra-kehakiman ini, kami akan menambah baik
stesen-stesen PPDa sedia ada agar lebih menepati ciri-ciri yang
dikehendaki oleh Jabatan Pelajaran," jelas beliau.
No comments:
Post a Comment