PUTRAJAYA 1 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak
hari ini mengumumkan penubuhan Genovasi (Generasi dan Inovasi) iaitu
inisiatif baru kerajaan bagi membangunkan kemahiran inovasi di kalangan
belia tempatan yang membolehkan mereka mencipta kekayaan serta
memperbaiki taraf hidup.
Menurut Perdana Menteri, inisiatif itu selaras dengan kepentingan
kemahiran inovasi sebagai strategi berkesan untuk mencapai kejayaan
dalam persekitaran dunia yang diistilahkan sebagai VUCA iaitu tidak
stabil, tidak pasti, rumit dan tidak jelas.
Beliau berkata, semua negara terkemuka di dunia telah menggunakan
inovasi untuk mencapai peningkatan yang besar dalam membangunkan
kemajuan mereka.
Katanya, Genovasi yang akan dilancarkan sebagai satu entiti tahun
depan sekali gus memperlihatkan usaha kerajaan membangunkan belia
menjadi Duta Inovasi Negara yang memainkan peranan aktif dalam
mempertingkatkan dan memperbaiki negara.
"Kita menyasarkan sekurang-kurangnya seramai 5,000 Duta Inovasi
Negara dapat dihasilkan dalam tempoh lima tahun akan datang melalui
inisiatif itu," katanya ketika berucap melancarkan inisiatif Genovasi
Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Unit Inovasi Khas (Unik), Datuk Dr. Kamal Jit Singh.
Genovasi akan bekerjasama dengan pemimpin inovasi global untuk
menyampaikan tentang inovasi, kemahiran, kepakaran dan metodologi kepada
Duta Inovasi itu.
Tiga laluan disediakan iaitu masyarakat (projek pusat untuk memberi
manfaat kepada rakyat), ekonomi (projek menjana kekayaan gelombang baru)
dan projek peningkatan kerajaan bagi membantu penyampaian perkhidmatan.
Menurut Najib, Unik diberi mandat untuk memantapkan penubuhan
Genovasi, satu inisiatif pertama seumpamanya di ASEAN, bagi mencipta dan
menghasilkan Duta Inovasi Negara yang akan ditaja oleh Agensi Inovasi
Malaysia (AIM).
Katanya, mereka akan dilantik oleh AIM untuk memula dan melaksanakan projek menerusi tiga laluan tersebut.
"Genovasi akan dilancarkan pada awal tahun depan sebagai satu entiti
dan saya harap ia diberikan status universiti dalam masa lima tahun,"
katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan memahami dan menghargai bahawa
belia tidak lagi mahu menjadi penonton pasif dan ingin terlibat secara
aktif dalam membangunkan negara yang bakal mereka warisi.
"Inisiatif itu akan memberi jalan kepada mereka untuk bersatu dengan
negara, memberikan semangat serta komitmen bagi membina Malaysia.
"Lagipun, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk meninggalkan asas yang
kukuh dan kuat untuk belia membina masa depan kelak," katanya.
No comments:
Post a Comment