SESUNGGUHNYA agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah
Islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu
tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan
setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya;
(perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam
kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat
keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya. (ali Imran : 19)
Bagi membekalkan ilmu pengetahuan dengan kepelbagaian kaedah dakwah
untuk diterapkan kepada pelajar-pelajar sekolah, Pertubuhan Kebajikan
Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan telah menganjurkan Seminar Guru-guru
Pendidikan Islam dan Guru Islam Tahun 2012 bertempat di Dewan Muktamar,
Pusat Islam, Kuala Lumpur pada awal Mei lalu.
Program itu anjuran bersama Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah
Persekutuan (JPNWP) Kuala Lumpur, Kementerian Pelajaran, Jabatan Agama
Islam Wilayah Persekutan (Jawi) dan Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Ugama
Malaysia Barat (KKGUMB) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Ia disertai lebih 1,500 peserta terdiri daripada guru pendidikan
Islam (GPI) sekolah rendah dan menengah, guru Islam sekitar Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur dan guru besar serta pengetua sekolah.
Pemangku Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Muhammad Rais
Abdul Karim berkata, strategi gerakan transformasi dakwah akan berkesan
melalui tenaga penggerak yang terdiri daripada kalangan pendakwah yang
berilmu dan terlatih.
"Seminar ini diadakan untuk memberi pendedahan kepada guru pendidikan
Islam bagi memperkasakan kaedah dakwah kepada pelajar sekolah berkaitan
akidah dan sahsiah.
"Umat Islam kini terdedah dengan cabaran ujian kekuatan akidah iaitu
dengan pelbagai fahaman, ideologi moden seperti pluralisme, sekularisme,
liberalisme, kapitalisme, materialisme, humanisme dan unsur negatif
mempengaruhi dengan mudah terutamanya pelajar sekolah.
"Dalam kemajuan era globalisasi, negara kita digemparkan dengan isu
murtad dan cubaan memurtadkan umat Islam bahkan dihimpit juga dengan
budaya songsang, black metal, punk, gejala gay, lesbian, pondan, mat rempit, seks bebas, penyalahgunaan dadah, penagihan arak serta sukan judi," katanya.
Menurut Rais, peranan dan tanggungjawab guru-guru semakin luas dan
mencabar terutamanya dalam soal penyelewengan akidah di kalangan para
pelajar serta gejala sosial yang semakin meruncing dalam masyarakat
serta ia merupakan satu cabaran yang hebat terhadap semua pihak di
negara ini khususnya guru-guru.
"Guru-guru harus bersiap sedia dalam menghadapi pelbagai kegiatan dan
cabaran dakyah pihak tertentu dalam usaha meruntuhkan akidah atau moral
dengan menyebarkan dakyah secara halus kepada murid-murid dan pelajar
sekolah," tegasnya.
GPI bertanggungjawab memberi ajaran agama yang sebenar dengan merujuk
fakta-fakta rasmi dan bertepatan serta mewujudkan kumpulan pelajar yang
dibekalkan pengetahuan dan bimbingan dakwah agar mereka berperanan
membantu penghayatan Islam di sekolah di samping berperanan sensitif
terhadap dakyah agama asing di kalangan pihak-pihak tertentu. Ia sejajar
dengan suruhan Allah dalam surah at-Tahrim ayat enam.
Seminar tersebut dijadikan medan untuk bertukar pendapat, ilmu
pengetahuan, perkongsian dan merapatkan hubungan silaturahim di kalangan
guru pendidikan Islam dalam membina kekuatan ummah.
Ia dimantapkan lagi dengan pembentangan kertas kerja oleh Mufti
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dengan tajuk Kegiatan Dakyah dan Usaha Pihak Tertentu Untuk Memesongkan Akidah Umat Islam.
Tegas Wan Zahid, gerakan Liberalisme, Pluralisme, Sekularisme, Yahudi dan Emotion Spiritual and Quotient (ESQ) yang menjadi ancaman serta perkembangannya akan merosakkan akidah umat Islam sekiranya tidak dibendung.
- UTUSAN
No comments:
Post a Comment