KUANTAN 25 Jun - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) buat pertama
kalinya melaksanakan Program Kolaborasi Bersama Sekolah-Sekolah Terpilih
di seluruh negara bagi memenuhi keperluan sumber manusia pada masa
depan.
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, program itu
bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada para pelajar
mengenai perkembangan terkini TUDM serta teknologi penerbangan pesawat
masa kini.
Tambahnya, TUDM menjadi salah satu komponen utama dalam bidang
teknologi penerbangan dan pesawat yang mana teknologi itu semakin
berkembang pesat ketika ini.
"TUDM melihat pendedahan kepada teknologi penerbangan dan pesawat
mampu menarik minat para pelajar mengenali serta memperoleh ilmu
pengetahuan yang holistik.
"Pendedahan melalui program ini diharap memberi galakan kepada mereka
supaya lebih bersemangat dan berminat dalam bidang aeroangkasa
seterusnya melahirkan generasi muda masa depan yang terbaik untuk TUDM
serta negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran
program itu dengan kerjasama Kementerian Pelajaran di Pangkalan Udara
Kuantan, di sini hari ini.
Sebanyak 28 sekolah terpilih antaranya Sekolah Menengah Sains Sultan
Ahmad Shah (Semsas) Kuantan, Pahang; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Seksyen 19, Shah Alam, Selangor; SMK Datuk Ismail, Gong Kedak,
Terangganu; Kolej Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah dan SMK Simpang
Pulai, Perak.
Rodzali berkata, pihaknya berharap kerjasama itu akan membuka minda
para pelajar bahawa TUDM adalah peluang kerjaya pilihan yang tepat pada
masa depan.
Tambahnya, TUDM akan berusaha mendekati para belia melalui pendekatan
lebih intim supaya boleh berfikir dan mengenali institusi ketenteraan
itu dengan lebih dekat.
"Bukan sekadar melalui media dan penerokaan teknologi terkini, tetapi
kami datang kepada mereka serta turut mengundang mereka menjayakan
matlamat bagi terus mempertahankan bumi tercinta ini.
"Jika para pelajar melalui sekolah-sekolah terpilih ini memilih
berkhidmat dengan TUDM satu masa nanti, saya yakin ia akan mewujudkan
satu ekosistem inovasi yang kondusif," katanya.
Beliau berkata, TUDM akan terus dibentuk sebagai organisasi
cemerlang, berprestasi tinggi dan mempunyai kepimpinan kukuh oleh para
pelajar yang merupakan pewaris masa depan negara.
No comments:
Post a Comment