Tan Sri Dato’ Hj.
Alimuddin berasal dari Air Tawar, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal
di Telok Murok, Sitiawan dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Anglo
Chinese School, Sitiawan. Beliau adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda
Sosiologi dan Sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1976 dan
menyambung pengajian ke peringkat Sarjana di Universiti Putra Malaysia
pada tahun 1989. Beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang guru di
Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Menteri, Changkat Jering, Perak pada
tahun 1976.
Bermula dari situ
beliau terus menjalankan tanggungjawab ini dengan cemerlang sebagai guru
dan pengetua di beberapa buah sekolah dan institusi pengajian di bawah
Kementerian Pelajaran. Antara sekolah-sekolah terunggul yang pernah
diterajui beliau termasuklah SMK Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia,
Lumut (1989), SM Sains Teluk Intan (1995), Sekolah Tuanku Abdul Rahman,
Ipoh (1996) dan Kolej Melayu Kuala Kangsar (1999). Pengalaman yang luas
serta kecemerlangan dalam bidang pendidikan telah membawa beliau ke
Kementerian Pelajaran. Buah fikiran beliau amat diperlukan untuk
menggubal serta mentadbir bidang pendidikan apabila dilantik ke beberapa
jawatan penting di Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pendidikan
Tinggi.
Pada 2007 beliau telah
dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Jabatan Sekolah)
sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia sehingga
tahun 2010. Jasa, pengorbanan dan sumbangan beliau dianugerahkan
beberapa pingat dan darjah kebesaran, antaranya PPT (Perak), AMN, AMP
(Perak), Pingat Penghormatan Guru (sempena hari Guru Negeri Perak) dan
pada 19 April 2007 beliau dianugerahkan Pingat DPMP dari DYMM Sultan
Perak.
Sumber : http://www.arkib.gov.my/en/alimuddinmohddom