Ulul Albab bermaksud satu golongan yang mempunyai asas yang kukuh
dalam Al Quran, ilmu pengetahuan yang luas dan pelbagai, mampu berfikir dan
memerhati kejadian tuhan melalui mata hati dan akal yang tajam serta mengambil
iktibar darinya.
PENGENALAN PROGRAM ULUL ALBAB
Program Ulul Albab di MRSM Kota Putra adalah satu program
pendidikan gabungan antara program sedia ada (Sains Tulen) dengan program
aliran Agama termasuk Tahfiz Al-Quran. Program ini adalah untuk melahirkan ahli
profesional dan teknokrat serta mahir dalam bidang keagamaan berlandaskan
Al-Quran dan As-Sunnah sebagai generasi Ulul Albab.
Taklimat awal serta pendedahan tentang konsep program Ulul Albab
telah diadakan di MRSM Kota Putra pada 4 & 5 November 2008. Pengukuhan
tentang program ini telah disampaikan oleh Pengerusi MARA kepada semua guru dan
staf MRSM Kota Putra dalam program Kursus Pemantapan Guru & Staf pada 8
November 2008 di Hotel Pan Pacific, Kota Bharu, Kelantan.
PENDEKATAN PROGRAM ULUL ALBAB
Program Ulul Albab ialah satu program yang diperkenalkan di MRSM
Kota Putra. Mengikut pandangan Ibn Mundzir, Ulul Albab bermaksud
"sekelompok manusia yang bertaqwa kepada Allah, berpengetahuan tinggi dan
mampu menyesuaikan diri di segala lapisan masyarakat, elit ataupun
marginal."
Program ini akan melahirkan generasi Ulul Albab yang berkebolehan
menghafaz 30 juzuk Al-Quran serta memahami tuntutan Al-Quran berdasarkan konsep
baca, ingat, faham, fikir, amal dan sebar. Berpengetahuan dan berkemahiran
tinggi, bertindak sebagai pakar rujuk serta menguasai pelbagai bidang ilmu dan
bahasa asing. Berkeupayaan memberi pandangan dalam penyelesaian masalah ummah,
memaksimakan keupayaan berfikir serta berfikiran kreatif dan inovatif.
CIRI-CIRI PROGRAM ULUL ALBAB
Program Ulul Albab ini menggunapakai pendekatan Ulul Albab yang
bercirikan tiga ciri utama iaitu : Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.
Quranik : Kebolehan menghafal 30 juzuk Al-Quran serta memahami
kandungan berdasarkan konsep baca, ingat, faham, fikir, amal dan sebar.
Ensiklopedik : Berkemampuan dan berkemahiran tinggi, bertindak
sebagai pakar rujuk serta menguasai pelbagai ilmu dan bahasa.
Ijtihadik : Berkeupayaan memberi pandangan dalam penyelesaian
masalah ummah, memaksimumkan keupayaan berfikir dan minda serta berfikiran
kreatif dan inovatif.
MATLAMAT MRSM ULUL ALBAB
- Menggabungkan antara program MRSM sedia ada dengan program aliran agama (termasuk Tahfiz Al-Quran)
- Melahirkan bakal ahli profesional dan teknokrat serta mahir dalam bidang keagamaan sebagi generasi Ulul Albab
- Meletakkan sasaran Setiap Pelajar menghafaz 30 juzuk dalam tempoh pengajian di MRSM
- Membina persekitaran yang baik berasaskan prinsip Ulul Albab dalam kampus maktab
- Membina budaya Saintifik Al-Quran dengan ICT sebagai pengupaya / pemangkin.
- Melahirkan pelajar MRSM yang cemerlang dalam bidang akademik, Quranik dan sahsiah, mempunyai kekuatan diri (daya tahan, daya saing dan daya juang) dan memperlihatkan ciri-ciri asas keusahawanan.
No comments:
Post a Comment