SUNGAI PETANI 5 Julai - Kementerian Pelajaran berharap mata pelajaran
Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) yang bakal
diperkenalkan kepada murid sekolah tidak lama lagi berupaya mengurangkan
masalah kepincangan sosial di kalangan anak muda sekarang.
Timbalan Menterinya, Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, selain itu,
silibus yang sesuai dimasukkan dalam mata pelajaran berkenaan juga
dikatakan boleh menyedarkan anak muda mengenai bahaya ancaman kegiatan
lesbian, gay, biseksual dan transgender (LBGT) di negara ini.
"Dahulu pengajaran mengenai unsur-unsur pendidikan seks dibuat secara
tidak langsung iaitu dengan menumpang subjek lain. Namun sekarang
kerajaan berpendapat PKRS perlu menjadi satu subjek khusus dan perlu
dilaksanakan secepat mungkin bagi mengelakkan peningkatan masalah sosial
dalam kalangan remaja.
"Kita tidak boleh lagi menunggu lebih lama kerana menurut kajian yang
telah kita lakukan, ramai remaja di negara ini masih tidak mengetahui
fungsi dan kepentingan pergaulan secara sihat antara lelaki dan wanita,"
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari
Anugerah Cemerlang Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) peringkat Kedah di
sini hari ini.
Puad berkata, pengajaran subjek tersebut yang dicadangkan bermula
pada peringkat sekolah rendah atau menengah rendah juga membolehkan
remaja memperoleh maklumat berhubung kesihatan reproduktif mereka dengan
lebih tepat.
"Sekarang, kebanyakan maklumat yang diperoleh remaja berbentuk bahan
lucah kerana mereka mendapatkan menerusi sumber yang salah. Lebih
membimbangkan, ada usaha pihak tidak bertanggungjawab termasuk pemimpin
menyebarkan fahaman LBGT.
"Oleh itu melalui pendidikan kesihatan ini mereka akan memperoleh
maklumat yang tepat daripada guru yang telah dilatih dan mempunyai
kemahiran dan kepakaran tentang pendidikan kesihatan," katanya.
Tambah beliau, guru PKRS juga diharap menjadi sumber rujukan baik
bagi membimbing pelajar ke arah membina sahsiah yang cemerlang.
"Ramai ibu bapa masih segan atau malu untuk membincangkan soal
pendidikan seks dengan anak. Oleh itu, peranan ini diambil alih oleh
guru melalui mata pelajaran PKRS di sekolah," jelasnya.
No comments:
Post a Comment