Social Icons

-

Saturday, August 4, 2012

Sekolah Angkat TM


SEPANJANG tiga tahun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pakan menjadi sekolah angkat Telekom Malaysia Berhad (TM), ia telah berjaya menunjukkan kemajuan dan pencapaian yang memberangsangkan termasuklah peningkatan kadar kelulusan bagi peperikasaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) daripada 52 peratus pada tahun pertama program berkenaan kepada 75 peratus baru-baru ini.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang berkata, SMK Pakan terbukti menjadi pilihan yang tepat bagi TM untuk merealisasikan objektif merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar, dan sekolah ini telah menjadi pusat pengetahuan dan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bukan hanya untuk daerah Pakan tetapi juga untuk kawasan sekitar yang lain.

"Hubungan, komunikasi dan kolaborasi melalui ICT adalah kaedah terbaik dalam penyebaran maklumat dan seterusnya membuka mata kita melangkaui sempadan geografi dan fizikal. 
"Kemudahan dan sokongan tambahan yang disediakan oleh Kerajaan seperti Netbook 1Malaysia, disertakan dengan program-program komprehensif, seperti yang dianjurkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan serta TM di SMK Pakan, pasti akan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh," ucapnya pada majlis penutup tamatnya program sekolah itu sebagai sekolah angkat TM di Sarawak, baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi TM, Datuk Dr Halim Shafie.Menurut Halim, SMK Pakan adalah salah satu daripada sepuluh sekolah angkat di bawah program Sekolah Angkat TM, yang sehingga kini telah memberi manfaat kepada lebih 6,323 orang yang terdiri daripada 4,732 pelajar, 305 guru dan 1,195 orang ahli masyarakat setempat.

"TM telah menyokong dan melaksanakan pelbagai program bersama dengan SMK Pakan yang bertujuan meningkatkan pencapaian pendidikan sekolah selain menyediakan kemudahan ICT yang lebih baik dalam usaha untuk merapatkan jurang digital di daerah ini," jelasnya.
Pelbagai kejayaan telah dicapai oleh SMK Pakan bukan sahaja dalam akademik malah dalam kokurikulum seperti pemilihan  pasukan-pasukan tarian dan sepak takraw untuk mewakili sekolah di peringkat negeri. 

Projek Sekolah Angkat ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan pencapaian akademik yang baik di kalangan pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah untuk memberikan mereka peluang menikmati masa depan yang lebih baik. Program Sekolah Angkat TM merupakan satu program menyeluruh yang menggalakkan penglibatan ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya bagi menghadiri kursus-kursus ICT dan motivasi serta Seminar Keibubapaan agar lebih bersedia dalam mendidik anak-anak mereka.

TM telah memperuntukkan RM200,000 untuk tempoh tiga tahun bermula pada tahun 2009 sehingga 2012 bagi setiap sekolah angkat tersebut mengadakan pelbagai aktiviti termasuklah latihan dan bengkel peperiksaan PMR dan SPM, bengkel-bengkel Bahasa Inggeris, kelas-kelas Aplikasi Internet, bengkel pengurusan dan penyelenggaraan komputer serta kursus-kursus motivasi untuk manfaat para pelajar dan guru.

Untuk maklumat lanjut mengenai program-program Tanggungjawab Korporat TM yang lain, layari www.tm.com.my.

No comments:

Post a Comment

Senarai Sekolah 1 Malaysia

 

Sample text

Sample Text

Sekiranya anda ingin berkongsi informasi yang sahih mengenai pendidikan di Malaysia, sila email ke alamat ensiklopediapendidikan@gmail.com Majulah Dunia Pendidikan Untuk Agama Bangsa & Negara