T ahap pendidikan Malaysia setanding negara maju
SISTEM pendidikan negara mendapat pengiktirafan dunia apabila majalah antarabangsa Newsweek yang beroperasi di Amerika Syarikat dalam senarai laporan terbarunya meletakkan Malaysia di tempat kelapan dalam bidang pendidikan.
Ia sekali gus membuktikan sistem pendidikan yang diamalkan sentiasa relevan dengan keperluan semasa terutama dalam bidang sains dan matematik.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Fuad Zarkashi, berkata laporan itu dikeluarkan majalah berkenaan dua minggu lalu dengan Finland menduduki tempat pertama.
Beliau berkata, laporan itu menunjukkan tahap pendidikan negara ketika ini di tahap berkualiti dan setanding negara maju.
Kejayaan itu katanya, banyak bergantung kepada beberapa faktor yang menyumbang kepada pencapaian berkenaan termasuk skim pensiswazahan yang berjaya melahirkan guru berkualiti dan terlatih.
“Pelaksanaan sistem peperiksaan yang menjalani proses penjenamaan semula berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang.
“Selain itu, fokus kerajaan yang terlalu tinggi dalam bidang pendidikan dengan menyalurkan peruntukan besar bagi membangunkan bidang pendidikan berkualiti," katanya ditemui selepas menyempurnakan program Rahmat Ramadan dan Penyampaian Sumbangan Anak Yatim anjuran UMNO Bahagian Jempol di Masjid Bandar Baru Jempol, di Jempol, baru-baru ini.
Seramai 500 anak yatim dari kawasan Parlimen Jempol menerima sumbangan berkenaan.
Mohd Fuad berkata, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang memberi fokus kepada menjana kecemerlangan pendidikan nasional meletakkan pendidikan negara bertaraf dunia apabila lebih 90 peratus daripada apa yang terkandung dalam PIPP itu terlaksana.
Katanya, antara kandungan PPIP termasuk pelaksanaan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), meningkatkan kemudahan elektrik dan air yang dapat meningkatkan jurang pendidikan antara bandar dengan luar bandar.
“Boleh dikatakan 95 peratus sekolah di negara ini mendapat kemudahan asas yang memberi keselesaan kepada pelajar,” katanya.
Beliau berkata, kementerian sentiasa berusaha meningkatkan pencapaian itu misalnya memperkenalkan dasar satu murid satu sukan, memperbaiki sistem pentafsiran peperiksaan dan penjenamaan semula bidang vokasional seperti di Finland.
“Kita harap dengan usaha ini dapat memberikan akses kepada pendidikan berkualiti selaras impian Perdana Menteri yang meletakkan NKRA yang ketiga iaitu akses pendidikan berkualiti.
"Dengan adanya makmal pendidikan ini saya harap dapat mempercepatkan usaha kerajaan menyediakan pendidikan berkualiti. Bagaimanapun, tidak dinafikan ia adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk kepimpinan sekolah, guru, PIBG dan masyarakat.
"Saya yakin ia dapat melahirkan modal insan berkualiti yang dapat membantu merealisasikan Model Ekonomi Baru ke arah melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi pada masa depan," katanya.
Tuesday, September 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment