Latar Belakang
Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1968 berdasarkan kepada perakuan UNESCO yang menyarankan penubuhan sebuah badan khas yang bertanggungjawab untuk mengembangkan minat membaca dan memajukan perusahaan buku dalam kalangan negara-negara membangun. Penubuhan MBKM yang pada awalnya dikenali sebagai Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan (MKBK) adalah berperanan sebagai sebuah badan profesional dan penasihat buku di peringkat kebangsaan. Ahli-ahli Majlis dianggotai oleh wakil-wakil daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan, persatuan-persatuan industri dan badan-badan bukan kerajaan yang ada hubungan dengan perusahaan dan kemajuan buku serta tiga orang ahli individu yang berkebolehan untuk memberi sumbangan terhadap peranan dan fungsi Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. Dasar Buku Negara (DBN) adalah dasar yang dijadikan panduan dan hala tuju oleh MBKM untuk mengembangkan kegiatannya dalam bidang perbukuan dan pembacaan di negara ini.
Sebelum menerima perjawatan yang hakiki, Urus Setia Tetap MBKM hanya wujud sebagai sebuah Unit di Kementerian Pelajaran Malaysia dengan pegawainya dipinjamkan secara pentadbiran dari bahagian-bahagian lain. Melalui Waran Perjawatan yang bertarikh 31 Disember 2005, Urus Setia Tetap MBKM kini beroperasi sebagai salah sebuah bahagian di bawah Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia dengan diketuai oleh seorang Pengarah. Bahagian ini berperanan untuk mengurus pentadbiran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia serta menyelaras segala program kerjasama yang berkaitan dengan pembangunan industri buku dan pengembangan budaya membaca, sama ada dengan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, dan pihak swasta di negara ini. Selain daripada itu, MBKM juga berusaha mempromosikan buku-buku Malaysia bersama-sama penerbit dan pengusaha industri buku tempatan di peringkat antarabangsa melalui penyertaan Malaysia dalam pesta-pesta buku di luar negara.
Visi
Pemangkin bagi pembangunan dan kemajuan
industri perbukuan negara
Misi
Memperkasakan industri perbukuan serta mengembangkan budaya membaca rakyat Malaysia melalui kolaborasi dengan penggiat dan pengusaha buku selaras dengan Dasar Buku Negara (DBN)
Moto
“Buku Memperkaya Minda”
Piagam Pelanggan
Kami, warga Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia dengan penuh tekad dan iltizam berjanji akan memberikan perkhidmatan yang berkualiti melalui usaha-usaha:
Mempergiatkan empat hubungan kerjasama dengan pihak industri perbukuan melalui kegiatan pembangunan buku, penerbitan elektronik, program serta aktiviti pemasaran di peringkat nasional dan antarabangsa dalam setahun;
Mempromosikan penerbitan buku-buku Malaysia dan penerbitan hak cipta di luar negara melalui penyertaan di lima pesta buku peringkat negara ASEAN dan lima pesta buku antarabangsa setiap tahun;
Menyediakan pangkalan data penggiat buku bagi tujuan pembangunan industri buku;
Menyebarkan maklumat latihan dan aktiviti perbukuan dalam dan luar negara kepada penggiat dan pengusaha buku;
Menyediakan kompilasi aktiviti galakan membaca sebagai panduan kepada organisasi dan masyarakat;
Menyelaras pengembangan budaya membaca melalui aktiviti galakan membaca kepada masyarakat.
Peranan & Fungsi
Menasihati kerajaan dalam perkara dasar dan peraturan industri buku, khususnya penerbitan bercetak dan penerbitan elektronik dalam bahasa Melayu;
Menjalankan usaha memupuk dan menggalakkan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia seperti yang termaktub dalam Dasar Buku Negara serta pembinaan modal insan.
Menggalakkan pembentukan norma dan mengadakan kod etika industri buku untuk meningkatkan profesionalisme serta persaingan yang sihat dan adil dengan mengadakan institusi dan peraturan self-regulation untuk industri buku;
Menjalankan kegiatan bimbingan ke arah meningkatkan profesionalisme dalam bidang kepengarangan, penerbitan, pengeluaran dan pemasaran buku bercetak dan elektronik;
Menjalankan kajian dan penyelidikan tentang pelbagai aspek penerbitan dan pembangunan industri buku;
Menjadi pusat maklumat industri buku dengan menubuhkan pangkalan data elektronik dan portal laman sesawang (website) industri buku.
Membantu penerbitan buku-buku yang dianggap tiada daya maju daripada segi komersial tetapi penting bagi pembangunan ilmu pengetahuan;
Memudahkan perundingan antara kerajaan dengan pihak yang berkaitan dengan industri buku dan menjadi forum bagi mana-mana pihak yang berkepentingan dalam industri buku;
Menubuhkan pusat pendaftaran penerbit dan pusat pendaftaran hak cipta;
Menggalakkan penyertaan industri buku negara dalam kegiatan pembangunan dan promosi buku di perigkat nasional dan antarabangsa, termasuk yang berkaitan dengan urus niga hak cipta;
Bekerjasama dengan pihak penerbit dalam usaha memperbanyakkan penerbitan bahan cetak dan elektronik bagi kegunaan pendidikan dan pengembangan ilmu pengetahuan;
Menggalakkan perkembangan industri buku di Malaysia melalui program dan aktiviti pemasaran dan lain-lain yang dirancang selaras dengan Misi Nasional dan matlamat Wawasan 2020.
Struktur Organisasi
Unit Penerbitan dan Promosi Buku
Unit Pengembangan Budaya Membaca
Unit Pembangunan Industri Buku dan Keurusetiaan
Unit Pentadbiran dan Kewangan
Unit Latihan Perbukuan dan Pengurusan Maklumat
Untuk maklumat lanjut sila layari laman web Majlis Buku Kebangsaan Malaysia
No comments:
Post a Comment