KUALA LUMPUR 10 April - Semua pelajar lepasan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2011 yang mendapat keputusan 9A+
dan ke atas ditawarkan penajaan kewangan Bursary secara automatik oleh
Kementerian Pelajaran.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penajaan
kewangan tersebut yang bertujuan untuk mengiktiraf kecemerlangan pelajar
dibuat tanpa mengira etnik, kaum, keturunan serta latar belakang.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, seramai 1,609 pelajar
lepasan SPM 2011 telah dikenal pasti layak mendapat penajaan Bursary
iaitu 1,020 yang mendapat keputusan sembilan A+, 492 pelajar (10A+), 90
pelajar (11A+) dan tujuh pelajar (12A+).
"Bursary merupakan bantuan kewangan yang disediakan Kementerian
Pelajaran untuk mengikuti pengajian di peringkat prauniversiti sebelum
melanjutkan pengajian peringkat ijazah pertama di universiti dalam atau
luar negara.
"Ini sebagai tanda prihatin kerajaan dengan keluhan ibu bapa pelajar
yang mencatat keputusan cemerlang tetapi tidak berjaya mendapat penajaan
kerana persaingan sengit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengenai penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tahun ini
pula, beliau berkata, seramai 50 pelajar lepasan SPM paling cemerlang
akan ditaja di bawah Program Biasiswa Nasional.
Katanya, calon terpilih akan ditawar biasiswa dari peringkat
persediaan sehingga ke peringkat ijazah pertama tertakluk kepada
syarat-syarat yang ditetapkan serta bidang pilihan di universiti dalam
dan luar negara sebagaimana disenarai JPA.
Bagi Program Ijazah Dalam Negara pula kata beliau, JPA akan turut
menaja 10,300 orang pelajar lepasan mana-mana program persediaan untuk
mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama dalam program yang telah
diiktiraf di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan
mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, antara pengajian peringkat
prauniversiti yang layak mendapat penajaan Bursary ialah pengajian di
peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Selain itu kata beliau, program Matrikulasi bagi jurusan Sains dan
Perakaunan, program Asasi bawah Kementerian Pengajian Tinggi serta
kursus A-Level juga layak mendapat penajaan Bursary dari Kementerian
Pelajaran.
"Bagi kesemua program prauniversiti yang tersenarai, pemberian
Bursary tertakluk kepada pelajar yang telah ditawar atau ditempatkan di
pusat persediaan yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Pelajar lepasan Bursary akan ditawarkan penajaan peringkat ijazah
pertama di dalam atau luar negara mulai tahun 2014 di bawah anjuran JPA
sekiranya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, untuk maklumat lanjut, para pelajar boleh melayari laman web www.moe.gov.my untuk membuat semakan dan mengemaskini profil bagi program Busary mulai 16 April ini.
No comments:
Post a Comment