Kelas Peralihan (remove class) ialah satu rancangan khusus di sekolah
menengah yang berfungsi sebagai perantaraan demi tujuan melicinkan proses
peralihan bahasa pengantar daripada bahasa ibunda di sekolah rendah kepada
bahasa Malaysia di sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah jenis
kebangsaan. Pada tahun 1960, kerajaan telah mengemukakan Laporan Rahman Talib
dan mencadangkan kewujudan kelas peralihan. Ia dilaksanakan selepas Akta
Pendidikan 1961 dikuatkuasakan. Berikutan dasar ini, semua murid Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina (SJK[C]) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK[T])
dikehendaki mengikuti kelas peralihan selama satu tahun.
Tiga matlamat kelas peralihan ialah :
- Membolehkan murid menguasai bahasa Malaysia dengan secukupnya
sebagai persediaan untuk mengikuti pendidikan di sekolah menengah;
- Membolehkan murid berkomunikasi dalam bahasa Malaysia dengan
berkesan; dan
- Memupuk semangat kewarganegaraan dan menerapkan nilai-nilai
murni dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Tujuan mewujudkan kelas peralihan adalah untuk menyediakan
murid-murid SJKC dan SJKT dalam tempoh masa satu tahun untuk mempelajari bahasa
Malaysia dan bahasa Inggeris supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan
perubahan bahasa pengantar. Perubahan bahasa pengantar akan mempengaruhi
kemajuan pelajaran murid-murid. Sekiranya murid-murid tidak dapat menguasai
bahasa pengantar dengan baik, mereka tidak dapat mempelajari dan menguasai
subjek-subjek lain.
Antara tahun 1967 hingga 1986, murid-murid SJKC dan SJKT yang
mendapat semua A dalam Ujian Penilaian Darjah Lima boleh dikecualikan daripada
mengikuti kelas peralihan dan terus naik ke tingkatan 1 selepas darjah enam.
Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) mula dilaksanakan pada tahun 1988. Pada
permulaannya, cara pengurusan Ujian Penilaian Darjah Lima diteruskan, iaitu
murid yang mendapat A dalam semua subjek boleh terus naik ke tingkatan 1. Mulai
tahun 1993, dasar terus naik ke tingkatan1 telah dilonggarkan, iaitu
murid-murid SJKC dan SJKT yang mendapat keputusan 4A2C dalam UPSR boleh terus
naik ke tingkatan 1.
Pada tahun 1995, syarat untuk murid-murid SJKCdan SJKT terus naik
ke tingkatan 1 terus dilonggarkan lagi, iaitu dengan mendapat keputusan C
dan/atau ke atas dalam Bahasa Melayu dalam darjah empat, darjah lima dan darjah
enam dan, murid-murid mampu berkomunikasi dalam bahasa Malaysia dengan baik,
maka mereka dibenarkan naik ke tingkatan 1. Dasar ini dilaksanakan sehingga
hari ini.
No comments:
Post a Comment