Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum) telah mengiktifaf Malaysia sebagai
sebuah negara yang mempunyai tahap persaingan yang lebih baik dari 142 buah
negara di seluruh dunia dan berdasarkan laporan terbaharunya, Malaysia menduduki
tangga ke- 21 berbanding pada tahun 2010 pada tangga ke- 26.
Menurut
laporan tersebut, tahap persaingan global pada tahun 2011/2012, kedudukan yang
lebih baik itu disebabkan oleh kesungguhan Malaysia untuk memperbaiki
kedudukannya selaras dengan perubahan-perubahan yang diperlukan bagi membolehkan
mencapai tahap negara maju pada tahun 2020, dan seterusnya keluar daripada
situasi ekonomi berpendapatan sederhana tinggi kepada negara berpendapatan
tinggi.
Penekanan yang lebih meluas dalam pembangunan sektor pendidikan
misalnya turut menjadikan Malaysia berada di kedudukan ke-14 secara
keseluruhannya dan tangga kedua selepas Singapura bagi rantau Asia Tenggara.
Kedudukan ini turut menjadikan sistem pendidikan Malaysia adalah lebih baik
berbanding Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman.
Mengenai kualiti
pendidikan peringkat asas (rendah), Malaysia berada di tangga ke -21, iaitu pada
skor 5.0 daripada tujuh skala yang diukur. Kadar enrolmen pendidikan rendah
ialah 94.0 peratus, iaitu berada pada tahap ke-61 daripada keseluruhan 142 buah
negara yang dikaji. Kadar enrolmen pendidikan rendah di Malaysia adalah lebih
tinggi (5.0) daripada skor purata min iaitu 3.8 jauh. Kedudukan tersebut
membuktikan bahawa Malaysia terkedepan daripada Brunei Darussalam (92.9
peratus), Amerika Syarikat (92.0 peratus), Filipina (91.7 peratus), dan Thailand
(90.1 peratus).
Pencapaian tersebut sebenarnya mencerminkan kesungguhan
kerajaan untuk menentukan bahawa setiap rakyat menerima pendidikan berkualiti
dan tidak disisihkan daripada sistem persekolahan, kerana Malaysia yakin
menerusi pembangunan modal insan akan dapat melonjakkan pencapaian sebagai
negara maju pada tahun 2020.
Usaha gigih kerajaan menerusi Inisiatif
Keberhasilan Utama Negara (NKRA) misalnya dalam bidang pendidikan telah berjaya
mempertingkatkan pencapaian pelajar kepada akses pendidikan. Sejak mula
dilancarkan setahun lalu, pada tahun 2011 enrolmen kanak-kanak berumur lebih 4
tahun ke prasekolah telah meningkat sebanyak 732,902 kanak-kanak menjadikannya
mencapai tahap 77.23 peratus. Sejumlah 3,089 kelas prasekolah telah beroperasi
dan jumlah tersebut merupakan dua kali ganda daripada tahun
2010.
Inisiatif NKRA di peringkat sekolah rendah telah membuktikan bahawa
program LINUS (Literasi dan Numerasi) kepada kanak-kanak darjah 2 menunjukkan
peningkatan yang besar, iaitu 97.5 peratus kadar literasi dan 98.6 peratus kadar
numerasi. Bagi kanak-kanak yang berada di tahun 1 bago kohort ke-2, kadar
literasi ialah 91 peratus manakala kadar numerasi ialah 95.4 peratus. Pengukuran
kadar literasi dan numerasi ini dapat membantu usaha mengesani murid-murid yang
mempunyai masalah pembelajaran pada peringkat awal dan pada tahun 2011 misalnya,
sejumlah 3,916 murid lemah dalam Tahun 2 dapat ditangani dengan
berkesan.
Ukuran-ukuran yang dibuat itulah telah berjaya melonjakkan
kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang mengalami transformasi
pendidikan yang berkesan dan mampu bersaing di peringkat global. Bagi meneruskan
usaha menambahbaik kedudukan daya saing di peringkat global, terutamanya dalam
pendidikan rendah dan menengah, Malaysia sentiasa membuka ruang kepada semua
pihak untuk membantu memperkenalkan pelbagai pembaharuan dan penambahbaikan. Ini
adalah sesuatu yang amat penting kerana bidang pendidikan sentiasa berkembang
dan amat bergantung kepada perubahan persekitaran. Dalam usaha memahami aspirasi
semua rakyat, Kementerian Pelajaran Malaysia akan memulakan siri dialog
pendidikan di seluruh negara bermula April 2012, dengan menghimpunkan pelbagai
pihak, dari professional, warga pendidik, pemimpin masyarakat dan ibu bapa
berganding bahu menyumbangkan idea bagi membentuk sebuah blueprint pendidikan
yang bakal mencorakkan arah tuju sistem pendidikan pada masa
hadapan.
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment