Thursday, September 23, 2010
2,670 dipilih ikuti latihan kemahiran di 16 IKBN
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengambil 2,670 lepasan sekolah untuk mengikuti latihan di 16 institut dan kolej kemahiran kendaliannya bagi sesi pengajian, baru-baru ini.
Ketua Penolong Pengarah Cawangan Operasi Latihan, Bahagian Pembangunan Kemahiran, KBS, Ab Rashid Deraman, berkata pengambilan itu membabitkan 11 bidang utama merangkumi 67 kursus kemahiran peringkat sijil dan diploma.
Katanya, seramai 150 pelajar ditempatkan di IKBN Wakaf Tapai, Terengganu; IKBN Kinarut, Sabah (290); IKBN Bachok, Kelantan (165); IKBN Alor Gajah, Melaka (335); IKBN Kuala Perlis, Perlis (150) dan IKBN Chembong, Negeri Sembilan (215). Manakala IKBN Peretak, Selangor (230); IKBN Bukit Mertajam, Pulau Pinang (135); IKBN Seri Iskandar, Perak (75); IKBN Pagoh, Johor (145); IKBN Dusun Tua, Selangor (185); IKBN Miri, Sarawak (150); IKBN Temerloh, Pahang (90); IKBN Jitra, Kedah (20); Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Sepang, Selangor (90) serta Kolej Kemahiran Belia Negara (KKBN), Pontian, Johor (245).
"Pada pengambilan kali ini, KBS memperkenalkan lima kursus baru peringkat Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DPLM) dalam bidang Teknologi Pembuatan (CAD/CAM), Teknologi Mekanikal (Penyelenggaraan Industri), Teknologi Mekanikal (Kimpalan), Teknologi Mekanikal (Perkakasan) serta Teknologi Penyeliaan Makanan dan Minuman.
"Pengenalan ini bagi membolehkan lebih ramai belia mendapat kemahiran dalam pelbagai sektor, seterusnya memenuhi keperluan tenaga mahir negara,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.
Sementara itu di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), Ab Rashid berkata, sebanyak lima lagi IKBN baru bakal dibuka bagi memberi lebih peluang kepada generasi meneruskan pengajian berasaskan kemahiran.
Enam institut itu di Pedu, Kedah menawarkan pengajian Teknologi Pertanian dan Elektrik; Bandar Penawar, Johor (Hospitaliti dan Marin); Tanah Merah, Kelantan (Elektrik, Tekstil dan Apparel, Kejuruteraan Awam).
Seterusnya di Kuala Langat, Selangor (Teknologi Komputer dan Multimedia) dan Kemasik, Terengganu (Hospitaliti dan Perhotelan). Setiap institut mampu menampung sehingga 2,500 pelatih dalam satu masa.
"Kajian Institut Penyelidikan dan Pembangunan Belia Malaysia (SPPBM) baru-baru ini melaporkan sebanyak 82 peratus lepasan IKBN tahun lalu sudah berjaya memasuki pasaran pelbagai sektor pekerjaan.
“Ini membuktikan lulusan IKBN mempunyai kebolehpasaran yang tinggi dan mendapat kepercayaan industri yang memerlukan tenaga mahir serta memiliki latihan secukupnya.
“KBS bercadang meneroka bidang latihan baru dan mempunyai permintaan tinggi antaranya penyelenggaraan pesawat, teknologi pertanian, perhotelan, spa dan pengurutan dalam sukan," katanya.
IKBN dan IKTBN pada asalnya dikenali sebagai Pusat Latihan Belia pada 1964 ditubuhkan bertujuan menyediakan peluang latihan kemahiran kepada belia melalui pelbagai pendekatan dalam usaha melahirkan tenaga mahir diperlukan negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment