Social Icons

-
Showing posts with label Berita Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Berita Pendidikan. Show all posts

Wednesday, September 18, 2013

Peluang mohon tukar sekolah (Guru dari sabah & Sarawak ke Semenanjung n Sebaliknya)

 
Sungai Buloh: Kementerian Pendidikan menawarkan peluang bersyarat kepada guru dari Semenanjung, yang kini mengajar di Sabah dan Sarawak untuk pulang bertugas ke negeri pilihan, mulai Januari tahun depan.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata tawaran sama juga dibuka kepada guru dari kedua-dua negeri itu, yang sedang bertugas di Semenanjung, tetapi berminat kembali berkhidmat di kampung halaman masing-masing.
 
 
Kajian terperinci

“Kita membuat kajian terperinci dan mencari mekanisme terbaik bagi memastikan guru tiada masalah besar menjalankan tugasan di lokasi mereka ditempatkan.

“Bagaimanapun, melalui kajian sama, kita menetapkan beberapa faktor melayakkan permohonan guru untuk bertukar sekolah seperti pasangan suami atau isteri bertugas di negeri berbeza dan sudah mengajar di sesuatu kawasan terlalu lama.

“Kajian dan mekanisme ini penting kerana kita banyak menerima permohonan pertukaran daripada guru, terutama yang berasal dari Semenanjung dan kini mengajar di Sabah atau Sarawak untuk pulang ke negeri asal masing-masing,” katanya kepada BH.

Sementara itu, mengulas isu sama pada sidang media selepas Majlis Sarapan Bersama Ibu Bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, di sini, semalam, Idris berkata, tawaran itu turut membolehkan mana-mana guru untuk mengajar di negeri lebih jauh, mengikut pilihan masing-masing sama ada di sekolah Semenanjung atau Sabah dan Sarawak.
Pada majlis sama, Idris turut mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada SK Seri Pristana bagi menaik taraf infrastruktur dan keperluan sekolah berkenaan.

Tiada isu kontroversi

Beliau turut mengadakan lawatan ke bilik persalinan sekolah terbabit yang mencetuskan kontroversi pada Ramadan lalu berikutan pengurusan sekolah dikata mengarahkan murid bukan Islam makan pada waktu rehat di situ, yang didakwa adalah tandas.

Mengulas isu berkenaan, Idris berkata, hasil pemeriksaan dan pemerhatian dijalankan beberapa pihak mendapati dakwaan itu tidak tepat kerana bilik dimaksudkan bukan tandas, malah ia juga dalam keadaan bersih.

“Kunjungan saya hari ini (semalam) turut mendapati kantin yang dibaik pulih pada bulan puasa lalu sudah beroperasi semula, jadi saya anggap kontroversi ini sudah tamat” katanya.

Monday, January 7, 2013

Tandas Sekolah Akan Diberi Penarafan



Mulai tahun ini, Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperkenalkan Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah dalam usaha mengamalkan budaya tandas sekolah bersih terutama kepada golongan pelajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, usaha itu bakal digerakkan melalui penyebaran poster berkaitan amalan dan budaya kebersihan tandas bersih termasuk buku Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah di semua sekolah bermula bulan ini.

"Usaha berkenaan bagi mempergiat amalan menjaga kebersihan dalam kalangan murid dan diharapkan melalui golongan ini, amalan itu dapat diperhebatkan kepada masyarakat secara menyeluruh," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya, baru-baru ini.

Selain itu, beliau memberitahu, tahap kebersihan kantin dan dapur sekolah di seluruh negara semakin baik apabila 98.8 peratus daripada 8,321 kantin sekolah didapati bersih dengan markah 70 peratus ke atas melalui Penggredan Kantin Sekolah dan Dapur Asrama Sekolah yang dijalankan pada tahun 2012.

''Kementerian mempunyai senarai kantin dan dapur sekolah yang menerima markah bawah 70 peratus dan mereka ini diberi perhatian khusus seperti pemeriksaan akan dibuat pada bila-bila masa supaya mereka dapat meningkatkan tahap kebersihan," katanya.

Beliau turut menegaskan, mana-mana kantin yang tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan pihaknya akan dikenakan tindakan tegas seperti premis mereka disita serta merta.

Pada masa yang sama, katanya, pada tahun lalu, sebanyak 12 kantin sekolah dan lapan dapur asrama ditutup kerana tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.

Kata Ka Siong, antara aspek yang diambil kira dalam pemeriksaan itu termasuk tahap kebersihan pengendali, penyimpanan bahan mentah dan masakan, kebersihan premis serta kawalan serangga seperti lipas dan tikus.

Beliau berkata, selain menyediakan garis panduan mengenai jenis makanan yang tidak boleh atau tidak digalakkan dijual di sekolah, kementerian turut menjalankan kempen bagi meningkatkan kesedaran pelajar mengenai pemakanan golongan itu.

Usaha itu menurut beliau, termasuk memaparkan jumlah kalori dalam makanan yang dijual di kantin, di sekitar kawasan sekolah serta memaklumkan pelajar jumlah kalori yang ideal untuk kegunaan atau keperluan mereka.


Saturday, October 27, 2012

Indonesia tolak pendidikan seks di sekolah



Sebar budaya tidak sihat

Jakarta: Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Mohammad Nuh menolak gesaan supaya pendidikan seks diperkenalkan di sekolah negara itu, kerana langkah itu dipercayai boleh menyebarkan budaya tidak sihat dikalangan golongan muda.

Beliau yang memberi reaksi balas kepada desakan supaya pendidikan seks diajar kepada pelajar sekolah di Indonesia bagi melindungi kanak-kanak daripada dirogol menegaskan, Indonesia tiada keperluan untuk memperkenalkan pendidikan seks di sekolah.
Berdasarkan tradisi kita, adalah tidak sopan bercakap mengenainya dan itu adalah pendirian saya. Saya tidak percaya kita perlukannya sekarang," - Mohammad Nuh, Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia
Tidak sopan

“Berdasarkan tradisi kita, adalah tidak sopan bercakap mengenainya dan itu adalah pendirian saya. Saya tidak percaya kita perlukannya sekarang,” kata menteri pendidikan itu kepada The Jakarta Post.

Jurucakap Pakatan Wanita Menentang Rogol (APTP), Faiza Moardzoeki berkata bahawa pengetahuan lengkap mengenai hak reproduktif boleh membantu melindungi pelajar daripada pelaku seksual.
Beliau merujuk kepada kes remaja perempuan Depok berusia 14 tahun didakwa dirogol sekumpulan kumpulan pemerdagangan manusia di Bogor, Jawa Barat.

Kejadian culik dan rogol itu boleh dielakkan jika mereka diberikan pengetahuan mengenai seks, terutama dalam mengenal pasti serangan seksual.

Aktivis menggesa kementerian untuk memperbaiki pendidikan reproduktif dalam kurikulum sekolah kebangsaan, dengan menyifatkan ia boleh mengatasi bilangan remaja yang dirogol, di mana ia meningkat kepada 27 kes pada tahun ini.

Mereka mendakwa Nuh tidak memberikan perhatian terhadap serangan seksual pelajar, malah membuat kenyataan negatif mengenai mangsa rogol dengan mengatakan “mereka melakukannya untuk keseronokan dan kemudian mendakwa diri dirogol.” - Agensi

Friday, October 26, 2012

Gambar Guru Dera Murid Yang Menggemparkan!!


SAKIT...murid malang ini menjerit kesakitan ketika diangkat Yanhong dengan memegang cuping telinganya.





BEIJING: Seorang guru prasekolah di China dipecat selepas laman perkongsian foto di Internet menunjukkan dia mengangkat muridnya dengan memegang cuping telinga kanak-kanak malang itu.

Ibu bapa di wilayah Zhejiang di negara itu membuat aduan kepada jabatan pendidikan tempatan selepas imej tidak berperikemanusiaan itu dimuat naik dalam rangkaian laman sosial Weibo.


Foto itu menunjukkan Yan Yanhong, 20, tersenyum ketika dia mengangkat kanak-kanak yang menjerit kesakitan itu beberapa inci dari lantai di sebuah sekolah di bandar raya Wenling. Foto itu adalah satu daripada lebih 700 gambar yang dimuat naik Yanhong di Internet yang kelihatannya dirakam oleh guru lain.



Foto lain menunjukkan kanak-kanak dengan mulut mereka ditutup pita pelekat dan tangan mereka dilekatkan ke meja agar mereka duduk diam tidak bergerak. Satu lagi foto menunjukkan seorang kanak-kanak dicampak dalam tong sampah dengan belakang tubuhnya melengkung di tepi tong sampah.


Gambar terakhir menunjukkan kepala seorang kanak-kanak diserkup dengan bakul sampah.



Bagaimanapun, apabila bersemuka dengan media tempatan, Yanhong menjelaskan dia dan murid berkenaan hanya berseronok.


Sebuah akhbar tempatan melaporkan: “Tadika itu diarahkan agar menyingkirkan guru terbabit dan melaporkan perkara itu kepada pihak keselamatan awam tempatan.”


Pihak berkuasa yang menyiasat kes itu mendapati Yanhong tidak layak untuk kerja itu, tetapi diambil bekerja ekoran kekurangan tenaga pengajar.


Awal minggu ini seorang lagi guru di negara itu mencetuskan kemarahan apabila rakaman menunjukkan dia menampar kanak-kanak perempuan berusia lima tahun berulang kali. - DM

Thursday, October 25, 2012

1 bilion dana R&D 2013


PUTRAJAYA 18 Okt. - Semua universiti perlu bersedia merebut peluang mendapatkan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebanyak RM1 bilion yang disediakan kerajaan pada tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM600 juta diperuntukkan kepada universiti penyelidikan dan RM400 juta lagi untuk universiti bukan penyelidikan.

Katanya, peruntukan bagi R&D tahun depan meningkat berbanding RM700 juta yang disediakan kerajaan untuk tahun ini.

"Penyediaan dana ini membuktikan kerajaan bersedia membangunkan aktiviti R&D kerana kita mahu menjadi sebuah negara yang mempunyai ekonomi berasaskan inovasi.

"Jadi pihak universiti perlu membuat persediaan dengan memastikan mereka mempunyai infrastruktur penyelidikan dan jenis penyelidikan yang kredibiliti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis pelancaran Unitar International University di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Unitar Capital Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. Suleiman Mohamed dan Naib Canselor Unitar International University, Prof. Dr. Abdul Razak Habib.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) perlu menyebarkan program pengajian baru dan tidak terikat dengan ilmu lama.
Katanya, penemuan ilmu baru tersebut pasti dapat diperoleh melalui penyelidikan yang dilakukan.

"Keutamaan patut diberikan kepada bidang nano teknologi dan berimpak tinggi kepada pembangunan negara," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap pihak IPTS dapat memberi perhatian untuk menawarkan program baru yang boleh menjayakan sektor Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA).
"Hal ini kerana 3.2 juta ruang pekerjaan akan diwujudkan dalam sektor tersebut menjelang 2020," katanya.



Tuesday, October 9, 2012

Kerajaan disaran laksana sistem sekolah satu sesi


JOHOR BAHRU – Majlis Profesor Negara (MPN) meminta kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan sistem persekolahan satu sesi di semua sekolah demi kecemerlangan pendidikan negara pada masa depan.
Menurut Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan MPN, Prof. Datuk Dr. Zakaria Kasa, pendekatan itu disifatkan mendatangkan lebih banyak faedah dan manfaat kepada para pelajar.
“Apabila sekolah satu sesi dilaksanakan, pelajar mempunyai cukup masa untuk menanam nilai murni, melakukan aktiviti kokurikulum termasuk berinteraksi dengan guru dan komuniti sekolah,” katanya.

Sunday, October 7, 2012

MACA tawar program anti rasuah


Malaysia bakal menjadi pusat kecemerlangan anti rasuah antarabangsa menerusi program peringkat Sarjana yang ditawarkan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), di sini mulai 9 Disember depan. 

Program selama dua tahun itu bukan saja ditawarkan kepada golongan profesional anti rasuah dan pihak berkuasa tempatan malah terbuka kepada peserta dari luar negara termasuk pengamal undang-undang seperti hakim.
Bagi memastikan program dilaksana dan dirancang secara teliti, akademi melantik enam pakar dalam pelbagai bidang khususnya yang berpengalaman dalam usaha memerangi rasuah peringkat global untuk memberi nasihat kepada akademi itu. 

Ia dipengerusikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed. 

Malaysia dipilih IAACA 

Lima lagi ahli yang dilantik, Ketua Cawangan Ekonomi dan Jenayah, Bahagian Perjanjian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Bagi Dadah dan Jenayah (UNODC), Dimitri Vlassis. 

Setiausaha Agung Persidangan Pertubuhan Agensi Penguat kuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA), Dr Ye Feng; Pengerusi Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA), Martin Kreutner; bekas Timbalan Pesuruhjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong, Daniel Li dan perunding antarabangsa, Dr Chris Saville. 
Sehubungan itu, Abu Kassim mewakili SPRM memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan IACA diwakili Kreutner. 

Abu Kassim berkata, Malaysia satu-satunya negara yang dipilih IACA untuk mengendalikan satu daripada tujuh modul yang diperkenalkan selain Vienna, Austria. 

Terdahulu, Abu Kassim mewakili SPRM menandatangani MoU dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan Thailand (NACC) bagi mewujud kerjasama dalam mencegah dan membanteras rasuah yang diwakili Pesuruhjaya Profesor Pakdee Pothisiri.

Saturday, October 6, 2012

30% pelajar terbaik spm akan ditawarkan kursus perguruan


BATU PAHAT — Pengambilan calon untuk Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan diiklankan mulai tahun depan dan sebaliknya akan ditawarkan kepada 30 peratus pelajar lepasan SPM yang memperolehi keputusan terbaik.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah tersebut adalah usaha bagi meningkatkan kualiti guru selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Sebelum ini, katanya, lepasan SPM yang ingin menjadi guru perlu memohon untuk menduduki ujian kelayakan khas atau M-Test dan akan dipanggil untuk temuduga selepas lulus itu.
Bagaimanapun mulai tahun ini, permohonan untuk mengambil ujian M-Test adalah terbuka kepada semua pelajar SPM pada hari terakhir peperiksaan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata apabila keputusan peperiksaan SPM keluar nanti, kursus itu akan tawarkan kepada 30 peratus pelajar yang memperoleh keputusan terbaik. — BERNAMA

Pengajaran Bahasa Inggeris hangat diperbincang


KUALA LUMPUR – Isu pengajaran Bahasa Inggeris (BI) di sekolah turut menjadi topik hangat yang dibangkitkan pada sesi dialog Hari Terbuka Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Pusat Transformasi Bandar Pudu Sentral di sini hari ini.
Turut mendapat perhatian ialah isu kualiti khidmat perguruan yang rata-rata dibangkitkan oleh ibu bapa yang menyertai sesi selama kira-kira satu setengah jam bersama panel Kementerian Pendidikan Malaysia.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Dr Amin Senin yang merupakan salah seorang anggota panel berkata, antara isu yang dibincangkan melibatkan pengajaran BI ialah seperti masalah kaedah pengajaran dan kesesuaian sukatan mata pelajaran dalam meningkatkan mutu penguasaan BI di kalangan pelajar sekolah.
"Ia merupakan antara isu yang menjadi perhatian ibu bapa serta penjaga, dan dengan itu kita percaya penyelesaiannya memerlukan penelitian sempurna iaitu dengan meningkatkan mutu pengajaran Bahasa Inggeris itu sendiri bagi memastikan murid turut menguasai bahasa berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog berkenaan.
Dr Amin berkata, segala cadangan dan input dari sesi dialog itu akan dibawa ke peringkat perbincangan selanjutnya yang akhirnya akan dibawa ke jawatankuasa pemutus yang dipengerusikan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri, sebelum dimasukkan ke dalam laporan. – BERNAMA

Friday, October 5, 2012

Buku Soalan Ulangkaji SPM 2012 PERCUMA


Buku Afterschool.my Soalan Ulang kaji SPM 2012 mengandungi soalan bagi 11 subjek utama iaitu Bahasa Malaysia Bahasa Inggeris Matematik Sejarah Matematik Tambahan Biologi Kimia Fizik Sains Prinsip Akaun dan Perdagangan. Soalan telah disediakan oleh panel guru berpengalaman, sila muat turun e-book ini di laman web www.afterschool.my

Biasiswa ditawarkan kepada juara temasya SUKIPT - Saifuddin


KUANTAN 5 Okt. - Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) yang julung kali diadakan tahun ini bakal menawarkan biasiswa Kementerian Pengajian Tinggi kepada peserta atau atlet yang berjaya menjuarai acara dipertandingkan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sebanyak 22 acara akan dipertandingkan dalam SUKIPT yang akan berlangsung dari 28 Okt hingga 11 Nov dengan majlis perasmian dan penutupan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

"Mereka yang menjadi johan akan layak untuk biasiswa sukan itu," katanya kepada kepada pemberita selepas merasmikan karnival bola keranjang “3 ON 3" Institut Pengajian Tinggi di sini, hari ini.

Mengenai karnival bola keranjang “3 ON 3" IPT, beliau berkata sukan itu bukan lagi sukan yang didominasi oleh sesuatu kaum sahaja khususnya kaum Cina.

Katanya, kementerian mengganggap sukan itu harus dipromosi dan diberi tumpuan kerana lebih 500,000 rakyat negara ini yang bukan dari kaum Cina, juga bermain sukan berkenaan.
"Karnival ini akan dijadikan sebagai satu platform bagi meningkatkan minat pelajar-pelajar IPT dalam sukan itu," katanya.- BERNAMA



10,715 graduan guru diberi penempatan


KUALA LUMPUR 5 Okt. - Sebanyak 10,715 graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang pendidikan yang telah dan bakal menamatkan pengajian tahun ini, boleh menarik nafas lega apabila kerajaan memutuskan akan memberi mereka penempatan pada tahun depan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan berkenaan diambil setelah mengambil kira secara terperinci keperluan guru dalam jangka masa panjang seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pelantikan itu tertakluk pada mereka yang memenuhi syarat skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS), telah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan berjaya dalam temu duga dikendalikan suruhanjaya itu.

“Sehubungan itu, graduan pendidikan keluaran IPG dan IPTA yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang menamatkan pengajian pada 2012 akan dilantik ke jawatan PPPS.

“Mengikut rekod Kementerian Pelajaran, seramai 10,715 penuntut program pendidikan telah dan akan menamatkan pengajian mereka pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.



Thursday, October 4, 2012

'Hentikan dakwaan perlekeh program Permata Negara'


Tanjung Karang: Pihak tertentu diminta menghentikan tohmahan dan dakwaan tidak benar terhadap program Permata Negara kerana ia dilaksanakan untuk melahirkan modal insan berkualiti tinggi.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata program itu semata-mata bertujuan memupuk pendidikan dalaman dalam kalangan kanak-kanak supaya apabila besar, mereka menjadi aset yang sangat bernilai untuk negara. 
Katanya, tumpuan yang diberikan kerajaan terhadap program itu bukan disebabkan oleh faktor beliau selaku penaung projek itu. 

“Projek Permata Negara bukan untuk saya sebagai isteri Perdana Menteri atau untuk sesiapa, tapi untuk masa depan anak-anak kita semua. Ada mereka yang cakap macam-macam terhadap saya dan projek Permata (Negara) ini, tetapi semua ini tidak benar," - Datin Seri Rosmah Mansor
Demi masa depan

“Projek Permata Negara bukan untuk saya sebagai isteri Perdana Menteri atau untuk sesiapa, tapi untuk masa depan anak-anak kita semua. Ada mereka yang cakap macam-macam terhadap saya dan projek Permata (Negara) ini, tetapi semua ini tidak benar.

“Sebab itu, saya bersyukur dapat berkumpul di majlis hari ini (semalam), iaitu majlis ramah mesra dengan kanak-kanak dan pendidik TABIKA dan TASKA Permata KEMAS. Pada hakikatnya, program seumpama ini wajar dianjurkan bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat kerjasama antara anak, pendidik dan ibu bapa. Lebih daripada itu, semoga dengan pertemuan ini dapat menjelaskan segala kekaburan mengenai Permata,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Ramah mesra Kanak-Kanak TABIKA dan TASKA Permata KEMAS di sini, semalam. Hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua Pengarah KEMAS, Hassan Mohd Amin. 
Rosmah berkata, sehingga kini, Permata Negara mempunyai 665 pusat asuhan dengan 354 daripadanya adalah TASKA Permata KEMAS, manakala seramai 22,423 kanak-kanak sudah mendapat manfaat daripada program terbabit.

Wednesday, October 3, 2012

BAHAN TAKLIMAT PENGURUSAN BANTUAN-BANTUAN KPM KEPADA GPK HEM BARU SEKOLAH RENDAH NEGERI JOHOR 2012

Bersama ini dilampirkan bahan untuk taklimat tersebut yang diadakan pada 18 - 28 September 2012 di La Bella Resort, Mersing untuk rujukan peserta.
LAMPIRAN
 Powerpoint Ceramah (Lain-Lain)
 RMT (Lain-Lain)
 Bahan Taklimat (Lain-Lain)
 Pekeliling Bantuan (Lain-Lain)

Dewan Rakyat: Larangan telefon bimbit kekal


Pelajar tetap tidak dibenarkan bawa peralatan elektronik ke sekolah 

Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran masih mengekalkan peraturan larangan membawa dan menggunakan telefon bimbit oleh pelajar di sekolah seluruh negara. 
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata larangan berkenaan dinyatakan dengan jelas melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 2/2009, tetapi kementerian sedang mengkaji keperluan gajet itu oleh pelajar. 

Perbincangan pihak berkepentingan 

“Satu sesi perbincangan meja bulat diadakan pada 25 Ogos lalu membabitkan pihak berkepentingan seperti pengetua, guru besar, ibu bapa dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

“Ia bagi mengenal pasti keperluan penggunaan gajet teknologi dan sebarang cadangan mengenai isu itu,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam). 

Teck Meng ingin mengetahui perkembangan terkini mengenai hasrat kementerian membenarkan pelajar membawa telefon bimbit dan peralatan elektronik ke sekolah. 
Kementerian teliti 

Selain perbincangan meja bulat, Muhyiddin berkata, kajian turut dijalankan terhadap pelajar dan guru di sembilan sekolah bandar dan luar bandar di Seremban dan Port Dickson di Negeri Sembilan. 

Katanya, ia membabitkan dua Sekolah Kebangsaan (SK), dua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), dua SJK Tamil (SJKT), dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan sebuah SM Vokasional (SMV). 

“Seramai 274 pelajar sekolah dipilih bagi tujuan tinjauan asas ini," katanya sambil menjelaskan kementerian sedang meneliti secara menyeluruh semua dapatan dan pandangan masyarakat, termasuk tokoh akademik, pemimpin NGO, guru, ibu bapa dan pelajar sebelum membuat keputusan muktamad berhubung isu berkenaan.

JPN P.Pinang siasat dakwaan anak dirotan atas silap kecil


GEORGE TOWN - Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang telah mengarahkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Seberang  Perai Utara untuk menyiasat dakwaan sekumpulan ibu bapa yang anak mereka dirotan guru atas kesalahan kecil.
   
Pengarahnya Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata sebuah panel khas akan menyiasat perkara itu dengan memanggil murid dan guru yang terlibat serta guru besar sekolah.
   
Siasatan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
   
"Tindakan susulan adalah berdasarkan siasatan yang pihak PPD jalankan dan jika dakwaan ibu bapa berkenaan betul, pihak kita tidak teragak-agak akan mengambil tindakan tata tertib ke atas guru terbabit," katanya.
   
Mengenai dakwaan ibu bapa bahawa guru wanita terbabit menghidap masalah mental, Ahmad Tarmizi berkata semua dakwaan akan disiasat oleh panel yang ditubuhkan itu.
  
"Saya tidak pasti sama ada guru berkenaan menghadapi masalah mental atau sebaliknya kerana tiada rekod kesihatan berkenaan perkara terbabit," katanya.
   
Semalam, sekumpulan ibu bapa membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Dua di sini, mendakwa anak mereka dirotan guru atas kesalahan kecil.
   
Mereka turut mendakwa aduan yang dibuat kepada pihak sekolah tidak diberi perhatian sewajarnya oleh guru besar sekolah di Sungai Dua itu.
 - Bernama

Pencapaian Malaysia Dalam Indeks Persaingan Global Dalam Bidang Pendidikan


Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum) telah mengiktifaf Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai tahap persaingan yang lebih baik dari 142 buah negara di seluruh dunia dan berdasarkan laporan terbaharunya, Malaysia menduduki tangga ke- 21 berbanding pada tahun 2010 pada tangga ke- 26.

Menurut laporan tersebut, tahap persaingan global pada tahun 2011/2012, kedudukan yang lebih baik itu disebabkan oleh kesungguhan Malaysia untuk memperbaiki kedudukannya selaras dengan perubahan-perubahan yang diperlukan bagi membolehkan mencapai tahap negara maju pada tahun 2020, dan seterusnya keluar daripada situasi ekonomi berpendapatan sederhana tinggi kepada negara berpendapatan tinggi.

Penekanan yang lebih meluas dalam pembangunan sektor pendidikan misalnya turut menjadikan Malaysia berada di kedudukan ke-14 secara keseluruhannya dan tangga kedua selepas Singapura bagi rantau Asia Tenggara. Kedudukan ini turut menjadikan sistem pendidikan Malaysia adalah lebih baik berbanding Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman.

Mengenai kualiti pendidikan peringkat asas (rendah), Malaysia berada di tangga ke -21, iaitu pada skor 5.0 daripada tujuh skala yang diukur. Kadar enrolmen pendidikan rendah ialah 94.0 peratus, iaitu berada pada tahap ke-61 daripada keseluruhan 142 buah negara yang dikaji. Kadar enrolmen pendidikan rendah di Malaysia adalah lebih tinggi (5.0) daripada skor purata min iaitu 3.8 jauh. Kedudukan tersebut membuktikan bahawa Malaysia terkedepan daripada Brunei Darussalam (92.9 peratus), Amerika Syarikat (92.0 peratus), Filipina (91.7 peratus), dan Thailand (90.1 peratus).

Pencapaian tersebut sebenarnya mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk menentukan bahawa setiap rakyat menerima pendidikan berkualiti dan tidak disisihkan daripada sistem persekolahan, kerana Malaysia yakin menerusi pembangunan modal insan akan dapat melonjakkan pencapaian sebagai negara maju pada tahun 2020.

Usaha gigih kerajaan menerusi Inisiatif Keberhasilan Utama Negara (NKRA) misalnya dalam bidang pendidikan telah berjaya mempertingkatkan pencapaian pelajar kepada akses pendidikan. Sejak mula dilancarkan setahun lalu, pada tahun 2011 enrolmen kanak-kanak berumur lebih 4 tahun ke prasekolah telah meningkat sebanyak 732,902 kanak-kanak menjadikannya mencapai tahap 77.23 peratus. Sejumlah 3,089 kelas prasekolah telah beroperasi dan jumlah tersebut merupakan dua kali ganda daripada tahun 2010.

Inisiatif NKRA di peringkat sekolah rendah telah membuktikan bahawa program LINUS (Literasi dan Numerasi) kepada kanak-kanak darjah 2 menunjukkan peningkatan yang besar, iaitu 97.5 peratus kadar literasi dan 98.6 peratus kadar numerasi. Bagi kanak-kanak yang berada di tahun 1 bago kohort ke-2, kadar literasi ialah 91 peratus manakala kadar numerasi ialah 95.4 peratus. Pengukuran kadar literasi dan numerasi ini dapat membantu usaha mengesani murid-murid yang mempunyai masalah pembelajaran pada peringkat awal dan pada tahun 2011 misalnya, sejumlah 3,916 murid lemah dalam Tahun 2 dapat ditangani dengan berkesan.

Ukuran-ukuran yang dibuat itulah telah berjaya melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang mengalami transformasi pendidikan yang berkesan dan mampu bersaing di peringkat global. Bagi meneruskan usaha menambahbaik kedudukan daya saing di peringkat global, terutamanya dalam pendidikan rendah dan menengah, Malaysia sentiasa membuka ruang kepada semua pihak untuk membantu memperkenalkan pelbagai pembaharuan dan penambahbaikan. Ini adalah sesuatu yang amat penting kerana bidang pendidikan sentiasa berkembang dan amat bergantung kepada perubahan persekitaran. Dalam usaha memahami aspirasi semua rakyat, Kementerian Pelajaran Malaysia akan memulakan siri dialog pendidikan di seluruh negara bermula April 2012, dengan menghimpunkan pelbagai pihak, dari professional, warga pendidik, pemimpin masyarakat dan ibu bapa berganding bahu menyumbangkan idea bagi membentuk sebuah blueprint pendidikan yang bakal mencorakkan arah tuju sistem pendidikan pada masa hadapan.

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Buka peluang kerja wanita berpendidikan


Subang Jaya: Kerajaan memandang serius keciciran wanita berpendidikan tinggi daripada pasaran pekerjaan disebabkan suasana tempat kerja yang tidak kondusif untuk wanita berkeluarga. 

Menganggap keadaan itu merugikan negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan akan berusaha menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan itu. 

Pada masa sama, beliau berkata, perkongsian pintar antara kerajaan dan wanita dengan sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) penting untuk merealisasikan agenda nasional negara ke arah memartabatkan wanita. 

Kita dapati 65 hingga 68 peratus wanita di negara ini melanjutkan pengajian ke universiti tetapi hanya 46 peratus meneruskan kerjaya walaupun ada pendidikan. 

Dalam hal ini, suasana kerja lebih selesa penting supaya wanita yang ada anak dan famili boleh memasuki pasaran kerja, jika tidak adalah merugikan selepas berbelanja besar dan menghantar mereka ke universiti, alih-alih mereka berhenti kerja. 

Kita nak dalam masa terdekat ada tambahan lebih 1,000 lagi TASKA. Setiap syarikat dan jabatan kerajaan mesti ada TASKA masing-masing, mungkin juga Ketua Setiausaha Negara (Datuk Seri Ali Hamsa) boleh arahkan semua jabatan kerajaan mewujudkan TASKA supaya wanita berkeluarga dapat memasuki semula pasaran pekerjaan, katanya berucap pada sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012 bertema Wanita Pencetus Ekonomi Baru di Pusat Persidangan Sunway Pyramid dekat sini, semalam. 

Turut hadir Datin Seri Rosmah Mansor; isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Heng Seai Khee; Ketua Setiausaha Negara, Ali dan Ketua Setiausaha kementerian sama, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur. 
Perdana Menteri yang memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, berikutan itu Bajet 2013 memberi insentif termasuk geran RM10,000 dan pengecualian cukai berganda kepada pihak yang mengusahakan TASKA. 

Beliau berkata, bajet itu juga bersifat mesra wanita dan menggariskan pelbagai insentif untuk manfaat golongan itu bagi mengimbangi peranan tri-fungsi golongan itu sebagai ibu, isteri dan pekerja. 

Perdana Menteri berkata, kerajaan kini melatih 200 wanita untuk mengisi jawatan penting pada peringkat lembaga pengarah syarikat menerusi program usaha sama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan Akademi Pengarah Malaysia.

4 bank komersial tempatan setuju tawar skim pinjaman perumahan kerajaan


KUALA LUMPUR: Empat bank komersial terbesar tempatan bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk memberi skim pinjaman perumahan kepada penjawat awam. 

Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata kerajaan masih dalam peringkat perbincangan dengan beberapa bank dan keputusan konkrit bank-bank yang terlibat akan diumumkan sebelum hujung tahun ini. 

"Bila kita melakukan penyumberan luar kepada bank, kita tidak perlu lagi meminjam RM6 bilion setahun yang kita peruntukkan untuk memberi pinjaman perumahan kepada kakitangan awam. 

"Tapi, kita hanya menampung perbezaan kos faedah dan kakitangan awam masih membayar 4.0 peratus. 

"Dari segi pinjaman, kita tidak akan menyusahkan kakitangan awam, sebaliknya kita akan tambah baik lagi proses peminjaman dan sebagainya," katanya kepada Bernama selepas ditemu bual dalam rancangan Helo Malaysia semalam. 

Irwan berkata bank-bank tempatan turut mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk bekerja sama dengan mereka kerana ini merupakan peluang perniagaan buat mereka. 

"Bank amat menyokong kerana ini merupakan perniagaan bagi bank. Walaupun penjawat awam hanya membayar 4.0 peratus, sebarang lebihan akan ditanggung oleh kerajaan." 
"Kita belum tentukan berapa banyak bank yang terlibat, tetapi, buat masa ini empat bank telah bersetuju dan kita akan tawarkan kepada bank-bank lain untuk menyertai skim ini," katanya. 

Sementara itu, ditanya sama ada kerajaan akan bersetuju dengan permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) agar bonus kepada penjawat awam pada Disember dan Januari ini, dikecualikan daripada cukai pendapatan, Irwan berkata kerajaan akan menimbangkan permintaan berkenaan. 

"Kalau kita layan sektor kerajaan, sektor swasta pun kita perlu layan. Jadi ini membebankan kerajaan dan kita perlu mengkaji supaya permintaan ini tidak membebankan kewangan kerajaan," katanya. 

Irwan berkata kerajaan telah memperuntukkan RM6.6 bilion untuk membayar bonus satu setengah bulan kepada penjawat awam. - BERNAMA

Tuesday, October 2, 2012

Laksana SLDN bagi tingkat tenaga kerja kemahiran tinggi: Muhyiddin


KAJANG: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu industri dan syarikat tempatan lebih aktif melaksanakan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mencukupi dan kompeten bagi keperluan industri negara menjelang 2020. 

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, pada 2006 sehingga 2011 seramai 31,968 perantis berjaya dilatih dengan membabitkan penyertaan 1,381 syarikat menerusi pelaksanaan SLDN. 
"Jabatan Pembangunan Negara juga menetapkan sasaran seramai 27,500 perantis lagi akan dilatih dengan membabitkan 967 syarikat bagi tempoh 2011 sehingga 2015. 

"Jumlah ini dijangka akan bertambah sekali ganda dengan penyertaan Kolej Vokasional dalam program SLDN," katanya dalam ucaptama pada Majlis PelancaranSLDN di Kolej Vokasional KPM dan Majlis Menandatangani Kenyataan Bersama KPM-KSM di Sekolah Menengah Teknik Kajang di sini, sebentar tadi. 

SLDN adalah satu pendekatan baru latihan kemahiran yang membangunkan kompetensi tenaga kerja berkemahiran berorientasikan industri. 

Muhyiddin berkata, dengan termeterainya perjanjian kerjasama di antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Sumber Manusia, jangkaan kemasukan pelajar meningkat sehingga 15,000 orang menjelang 2013 dan kepelbagaian bidang kemahiran mencecah 53 jenis merangkumi pengajian penerbangan, pertanian dan pelancongan. 

"Saya yakin di bawah penjenamaan semula latihan kemahiran dengan nama Skills Malaysia, program SLDN mahupun latihan kemahiran di Kolej Vokasional mampu menjadi agenda penyatuan rakyat berbilang bangsa dan budaya ke arah menyumbang kepada kemakmuran negara secara berterusan," katanya. 
Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Zainal Rahim Seman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed.

Senarai Sekolah 1 Malaysia

Isi menu tab 2
Isi menu tab 3
Isi menu tab 4
  1. SMK Derma
  2. SM Sains Syed Tuanku Putra
  3. SMK Jitra
  4. SMK Agama Baling
  5. SMK Sultan Badlishah
  6. SM Sultan Abdul Halim
  7. SM Sains Sultan Mohammad Jiwa
  8. SM Sains Pokok Sena
  9. SMK Abdullah Munsyi
  10. SMK Dato’ Onn
  11. SM Sains Tun Syed Sheh Shahabudin
  12. SMK King Edward VII
  13. SM Clifford
  14. SMK Seri Perak
  15. SMK Tengku Menteri
  16. SMK Raja Permaisuri Bainun
  17. SM Sains Raja Tun Azlan Shah
  18. Sekolah Tuanku Abdul Rahman
  19. Kolej Melayu Kuala Kangsar
  20. SM Sains Teluk Intan
  21. SMK Victoria
  22. SMK Taman Tun Dr. Ismail
  23. SMK Aminuddin Baki
  24. SM Sains Selangor
  25. SMK Seri Bintang Utara
  26. SMK Seri Bintang Selatan
  27. SK Seri Bintang Utara
  28. SK Seri Bintang Selatan
  29. SMK(P) Sri Aman
  30. SMK Sungai Besar
  31. SMK Bandar Baru Bangi
  32. SMK Kuala Kubu Bharu
  33. SMK Telok Datok
  34. Kolej Islam Sultan Alam Shah
  35. SM Agama Persekutuan Kajang
  36. SM Sains Kuala Selangor
  37. SMK Sungai Pusu
  38. SMK Putrajaya 1, Presint 8
  39. Sekolah Alam Shah, Putrajaya
  40. Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya
  41. SK Putrajaya 1, Presint 8
  42. SK Putrajaya 2, Presint 9
  43. SMK Dato’Sedia Raja
  44. SMK Bandar Baru Serting (FELDA)
  45. SM Agama Persekutuan Labu
  46. Kolej Tunku Kurshiah
  47. Sekolah Dato Abdul Razak
  48. SM Sains Tuanku Jaafar
  49. SMK Abdul Rahman Talib
  50. SMK Seri Pekan
  51. SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan
  52. SM Sains Tengku Abdullah
  53. SMKA Tengku Ampuan Hajjah Afzan
  54. Sekolah Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan
  55. SMK Dato’Dol Said
  56. SMS Muzaffar Shah
  57. SMK Tun Habab
  58. SMK Dato’ Sri Amar Diraja
  59. SM Sains Muar
  60. SM Sains Johor, Kluang
  61. Sekolah Tun Fatimah
  62. SM Sains Kota Tinggi
  63. SMK Agama Segamat
  64. SMK Dato’ Penggawa Barat
  65. SMK (P) Temenggong Ibrahim
  66. SMK Matang
  67. SM Sains Sultan Mahmud
  68. SM Sains Dungun
  69. SMKA Sheikh Abdul Malek
  70. SMK Kamil
  71. SM Dato Ahmed Maher
  72. SM Sains Tengku Muhamad Faris Petra
  73. SM Sains Machang
  74. SMKA Naim Libanat
  75. SM Sains Pasir Puteh
  76. SMK Elopura
  77. SMK Pengiran Omar
  78. SMK Tenom
  79. SM Sains Sabah Kota Kinabalu
  80. SM Sains Lahad Datu
  81. SMK Labuan
  82. SM Sains Labuan
  83. Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah
  84. Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang
  85. SMK Bahasa Malaysia
  86. SMK Three Rivers
  87. SM Sains Kuching
  88. SM Sains Miri, Sarawak
 

Sample text

Sample Text

Sekiranya anda ingin berkongsi informasi yang sahih mengenai pendidikan di Malaysia, sila email ke alamat ensiklopediapendidikan@gmail.com Majulah Dunia Pendidikan Untuk Agama Bangsa & Negara