PENGUMUMAN berhubung kebenaran untuk guru siswazah gred DG41 hingga DG48 berpolitik oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan sewajarnya disambut baik dengan fikiran yang positif.
Hal ini secara tidak langsung menjadi lampu hijau yang diberikan kepada guru siswazah untuk menceburkan diri dalam dunia siasah yang kian mencabar pada hari ini.
Keprihatinan dan keikhlasan Perdana Menteri menghargai jasa dan sumbangan guru amat wajar disokong oleh guru siswazah di seluruh pelosok tanah air.
Kita semua sedia maklum bahawa sebelum pengumuman ini dibuat, ada sesetengah guru siswazah yang sudah sekian lama membabitkan diri dalam parti politik sama ada sebagai setiausaha, naib pengerusi atau ahli biasa.
Guru siswazah perlu diingatkan bahawa sebagai penjawat awam yang menikmati gaji bulanan daripada kerajaan dan membabitkan diri dalam dunia politik tanah air seharusnya menyokong 100 peratus parti yang memerintah negara sekarang.
Dalam hal ini, pesanan dan nasihat mantan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Rahman Arshad, adalah tepat dan relevan. Beliau bersetuju agar guru siswazah menceburkan diri dalam dunia politik semasa negara tetapi perlu membetulkan niat dan hala tuju masing-masing bahkan tidak sekali-kali menangguk di air yang keruh berikutan pelbagai krisis politik semasa negara.
Selain itu, guru siswazah tidak boleh sama sekali mengabaikan tanggungjawab mereka yang utama, iaitu mendidik dan mengajar muridnya di sekolah. Kementerian Pelajaran semestinya tidak akan memaafkan guru siswazah yang sengaja membiarkan anak muridnya terabai apabila guru mereka sibuk berpolitik.
Usahlah guru menjadi seperti Pak Kaduk kerana anak murid pada ketika ini adalah modal insan negara yang bakal mewarisi tampuk kepemimpinan negara pada masa hadapan. Sejarah negara membuktikan bahawa guru pada zaman pramerdeka begitu banyak menabur bakti baik dari segi wang, tenaga, mahupun wang demi memastikan kemerdekaan negara dapat dicapai.
Persoalannya, adakah guru sekarang sanggup berjuang bermati-matian demi maruah bangsa dan negara daripada dijajah semula? Sukar dikenal pasti guru yang benar-benar ikhlas berjuang demi memastikan martabat negara terus kekal terpelihara.
Ini kerana ada guru siswazah yang menjadi penjawat awam tetapi pada masa sama amat cenderung untuk menyokong parti pembangkang bahkan ada pula yang secara terang-terangan menghentam kepemimpinan negara sama ada secara sedar atau tidak sedar.
Dalam hal ini, peranan pengetua, pegawai Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri sekali lagi akan dituntut untuk memantau mana-mana guru yang antikerajaan sebaik-baik saja kerajaan mewartakan arahan untuk membenarkan guru siswazah aktif berpolitik.
Semua guru siswazah harus bersama-sama kerajaan untuk turun padang bertemu orang kampung dan menyelami hati budi mereka secara kolektif. Setiap guru memainkan peranan yang cukup besar untuk merealisasikan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
NANA,
Kota Bharu, Kelantan
Berita Harian Online: 29 Julai 2010
Friday, September 24, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment