Bilangan guru kemahiran cecah 10,000 pada 2015: Muhyiddin
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menyasarkan penyertaan pelajar yang mengikuti pendidikan Vokasional-Teknikal atau 'voctech' meningkat 20 peratus menjelang 2015, berikutan pelbagai usaha terancang dilaksanakan. Bilangan guru kemahiran cecah 10,000 pada 2015: Muhyiddin
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menyasarkan penyertaan pelajar yang mengikuti pendidikan Vokasional-Teknikal atau 'voctech' meningkat 20 peratus menjelang 2015, berikutan pelbagai usaha terancang dilaksanakan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata antara langkah dilaksanakan termasuk pembinaan tiga Sekolah Menengah Vokasional (SMV) baru dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan cadangan menambah bilangan SMV dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Katanya, ketika ini penyertaan pelajar dalam bidang vokasional adalah sekitar 10 peratus dan usaha perlu ditingkatkan bagi menggalak dan menambah jumlah penyertaan mereka.
“Pembinaan sekolah itu dijangka dapat memberikan peluang sekurang-kurangnya kepada 4,000 pelajar yang berminat mengikuti program itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Rakyat di sini, semalam, bagi menjawab empat soalan secara serentak diajukan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru), Dr Che Rosli Che Mat (PAS-Hulu Langat) dan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong).
Soalan itu meminta Kementerian Pelajaran menyatakan langkah diambil untuk menarik pelajar mengikuti aliran vokasional supaya setanding dengan Eropah yang mampu menarik 50 peratus pelajarnya mengikuti aliran itu.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian juga akan menstruktur semula Sekolah Menengah Teknik (SMT) kepada SMV dalam tiga fasa dengan memberi fokus kepada program vokasional dan kemahiran.
Selain itu, Kuarters Institusi Pendidikan (KIP), juga akan digunakan sebagai sayap vokasional untuk kegunaan pendidikan vokasional di sekolah menengah harian berhampiran.
“Sebagai langkah permulaan, dua KIP dikenal pasti dijadikan ‘Vocational Wings’ pada 2012. Kita juga akan menambah dua Sekolah Menengah Pendidikan Vokasional untuk golongan murid kelainan upaya (OKU) pendengaran, penglihatan dan masalah pembelajaran.
“Pada masa ini terdapat dua sekolah untuk golongan ini di Indahpura, Johor dan Shah Alam, Selangor. Di samping itu, terdapat tiga sekolah menengah harian yang menawarkan subjek vokasional kepada murid OKU,” katanya.
Muhyiddin berkata, bagi memastikan murid mendapat pendidikan vokasional dan kemahiran berkualiti, kementerian bercadang mengambil guru vokasional dan kemahiran yang baru di kalangan mereka yang mempunyai kemahiran diiktiraf mengikut bidang diperlukan dari pasaran terbuka.
“Justeru, proses pengambilan guru vokasional dan kemahiran baru akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka mencecah 10,000 orang pada 2015,” katanya.
Selain itu katanya, bagi pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) ahap empat atau setara dengannya serta tenaga mahir yang berpengalaman luas dengan minimum lima tahun akan diberikan pertimbangan dipilih mengajar program kemahiran di sekolah di mana yang terpilih akan dilatih kementerian sebelum ditauliah dan disahkan sebagai guru kerajaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya bercadang supaya lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diambil memasuki SMV berbanding sebelum ini yang membolehkan lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) saja memasuki sekolah vokasional.
Tuesday, September 14, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment