Saturday, September 11, 2010
KPM tegas terhadap kontraktor bermasalah
KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengambil tindakan tegas dengan memberhentikan kontrak kontraktor yang gagal menyiapkan beberapa projek sekolah rendah di sekitar Kuala Lumpur.
Hasil laporan yang dikeluarkan Utusan Malaysia pada 23 dan 29 Disember lalu membawa kepada tindakan menamatkan kontrak kepada kontraktor yang gagal menjalankan kerja-kerja seperti yang dirancang.
Bahagian Pembangunan KPM, memberitahu, mereka bertanggungjawab mengenai perkara tersebut dan telah menghubungi pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur bagi menyemak status projek terbengkalai Sekolah Kebangsaan Depot Polis di Jalan Semarak tersebut.
Berhubung dengan perkara itu, pegawai bertanggungjawab di JKR telah memaklumkan kepada KPM bahawa kontraktor bagi projek ini telahpun ditamatkan perkhimatan mereka atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Projek tersebut sedang dalam proses ditender semula di mana lawatan tapak telah diadakan dan dokumen tender sedang dijual.
Sebuah lagi sekolah yang dilaporkan masih gagal disiapkan ialah Sekolah Kebangsaan Jalan Bellamy dan maklum balas mengenai perkara tersebut sudah diperolehi.
Maklum balas yang diperolehi berkaitan dengan Sekolah tersebut menyatakan bahawa kontraktor pertama sudah ditamatkan kontrak manakala kontraktor kedua telah menjalankan kerja-kerja di tapak projek pada bulan Oktober tahun lalu tetapi turut telah ditamatkan kontrak.
Hanya 10 peratus sahaja kerja-kerja untuk menyiapkan tapak projek berkenaan berjaya disiapkan.
Pihak JKR memaklumkan bahawa mereka kini dalam proses mengeluarkan tawaran tender untuk mencari kontraktor ketiga yang dapat menyiapkan projek yang terbengkalai itu.
Namun tarikh baru bagi menyiapkan projek tersebut masih belum dapat dipastikan lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment