Saturday, September 11, 2010
Pemberian Biasiswa Nasional tidak terbatas kumpulan tertentu
Biasiswa Nasional yang dicadangkan kerajaan bertujuan membolehkan ia diberikan kepada mereka yang layak tanpa dibatasi kumpulan tertentu sahaja.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pendekatan terbaru itu membolehkan sesiapa saja layak mendapat biasiswa tanpa mengambil kira latar belakang mereka.
"Kerajaan tidak mahu peluang mendapat biasiswa ini hanya dibatasi kumpulan tertentu," katanya.
Beliau diminta mengulas cadangan kerajaan mengenai Biasiswa Nasional itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Perdana Menteri berkata, pemberian melalui kategori khas biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu bagi mereka yang berkelayakan 100 peratus dan berdasarkan merit dijangka akan dimulakan tahun depan.
Mohd. Shafie menambah, cadangan itu dibincangkan agak mendalam oleh Kabinet baru-baru ini.
Jelasnya, cadangan ini sebagai inisiatif dan bukti kerajaan peka terhadap keperluan rakyat.
Kata beliau, usaha kerajaan itu membuktikan pemberian biasiswa kelak akan dapat dimanfaatkan oleh mereka yang berkelayakan tanpa mengira kaum dan agama.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie berkata, kerajaan turut menambah peruntukan untuk biasiswa yang dikendalikan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebanyak RM550 juta.
"Peruntukan ini telah kita peroleh dan sudah pun diberi kepada mereka yang berkelayakan," ujarnya.
Katanya, setakat ini 3,000 pelajar yang mengikuti pengajian di luar negara telah mendapat manfaat dari biasiswa yang disediakan kerajaan itu.
Tambahnya, 46,000 pelajar dalam negara meliputi pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) turut mendapat faedah dari biasiswa itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment