P ELUANG untuk Setiap pelajar diberi peluang dan layanan yang adil saksama walaupun dia baru mendaftar masuk ke Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak pada tingkatan empat, tegas Pengetuanya, Shariffah Asmak Alwee.
Menurut beliau, seperti pelajar lain, mereka juga diberi peluang untuk terlibat dalam kegiatan kokurikulum sama ada sebagai ahli biasa mahupun sebagai pengurusan tertinggi.
PELAJAR lama menyambut mesra kehadiran pelajar baru.
"Pelajar senior tidak boleh memonopoli setiap jawatan. Pentadbiran sekolah akan memastikan ia diagihkan secara adil berdasarkan merit dan keupayaan setiap individu," jelasnya.
Justeru, katanya, bagi memupuk semangat kerjasama, para pelajar baru ini disambut oleh kawan angkat masing-masing pada hari pendafataran di sekolah itu baru-baru ini.
Beliau berkata, dengan adanya ikatan awal antara pelajar tingkatan empat baru dan lama ini akan mengeratkan kemesraan dan memudahkan mereka untuk saling bantu-membantu terutama dalam soal akademik.
"Biasanya pelajar baru menghadapi masalah dalam mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di SBP yang pantas dan terkehadapan," ujarnya lagi.
Bagaimanapun, kata Shariffah Asmak, perkara ini dapat diatasi secara perlahan-lahan apabila mereka sudah dapat menyesuaikan diri dengan jadual dan suasana kehidupan di asrama.
Manakala Guru Penolong Kanan Akademik, Salleh Ismail pula memberitahu, kehadiran pelajar baru ini memberi kesan positif dalam menggalakkan persaingan secara sihat dalam serba-serbi.
IBU BAPA berasa bersyukur dan gembira kerana anak masing-masing terpilih ke sekolah yang berprestij.
Jelas beliau, prestasi akademik juga akan meningkat kerana ego masing-masing saling tercabar.
"Kedua-dua kelompok pelajar ini ingin membuktikan siapa lebih hebat, namun ia berlangsung secara ilmiah dan sihat," tambahnya.
Seorang bapa, Abd Hakim Ahmad, 50, dari Sekinchan, Selangor berbangga dan gembira kerana anaknya terpilih serta menjadi sebahagian daripada 87 pelajar baru yang mendaftar di SBPI Gombak.
Kegembiraan ini, katanya, berdasarkan keyakinannya kepada sistem sekolah berasrama penuh (SBP) yang terbukti cemerlang dalam pelajaran dan juga sahsiah.
"Keselamatan juga terjamin dengan pengawasan sepenuhnya oleh pihak sekolah," kata Abd Hakim.
Bagi pelajar baru, Muhammad Amirruddin Abu Bakar pula, peluang belajar di SBPI Gombak akan dimanfaatkan sepenuhnya.
"Saya akan mendisiplinkan diri dengan segala peraturan yang ada demi masa depan," ujarnya penuh semangat.
Rakan barunya, Mohad Jizri Ismail berkata, kehadiran pelajar baru ini memberi cabaran baru kepada dia dan pelajar sedia ada.
Pada masa yang sama, katanya, kita mengalu-alukan kedatangan mereka.
"Selain dapat rakan baru, kami juga boleh berpadu tenaga mengharumkan nama sekolah sama ada dalam bidang sukan atau bidang akademik," katanya.
Oleh AZMY MOHAMED - Portal Pendidikan Utusan Malaysia
Friday, September 3, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment