MENCEBURI bidang pendidikan bukanlah suatu tugas yang mudah kerana dunia pendidikan dewasa ini penuh dengan pelbagai cabaran. Tanpa minat yang tinggi dalam bidang pendidikan, saya percaya seseorang itu tidak dapat menjalankan tugas sebagai seorang pendidik dengan sempurna. Akibatnya, timbullah kerja seperti melepaskan batuk di tangga.
Apabila sudah berada dalam dunia pendidikan, walaupun hanya sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), saya telah jatuh cinta dengannya. Cita-cita telah ditanam sejak di bangku sekolah untuk menjadi cikgu tetapi tiada rezeki untuk menyambung pengajian dalam bidang pendidikan.
Alhamdulilah, tamat sahaja pengajian, saya memohon menjadi GSTT dan akhirnya berjaya menempatkan diri di sebuah sekolah cemerlang di daerah saya. Kini sudah hampir setahun saya bergelar pendidik. Alhamdulillah kerana minat yang mendalam di samping kerja itu dilakukan dengan hati yang ikhlas, segala kerja yang dilakukan berjalan dengan lancar dan segala masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan mudah.
Persoalannya di sini, ke manakah arah guru sandaran seperti saya? Untuk pengetahuan semua, terlalu ramai guru sandaran yang ingin menjadi guru tetap. Bayangkan terdapat guru GSTT yang telah memegang jawatan tersebut hampir empat tahun dan mungkin lebih daripada itu.
Usaha telah dilakukan dengan memohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) tetapi mungkin rezeki tidak menyebelahi kami golongan GSTT ini kerana itulah kami terus dengan gelaran GSTT. Apabila kami terus sebagai GSTT kami agak sukar untuk merancang sesuatu untuk masa hadapan kerana apabila terikat dengan kontrak (setahun) adakah kami akan disambung perkhidmatannya untuk tahun berikutnya? Perkara ini sering menghantui kami.
Tugasan GSTT disekolah adalah sama seperti guru-guru yang lain. Menjadi guru kelas, mengajar dengan masa yang penuh, menyertai aktiviti kokurikulum, membuat soalan peperiksaan atau ujian, menyertai pelajar untuk perkhemahan, lawatan dan banyak lagi (boleh dikatakan semua tugasan guru kami lakukan). Bagaimanapun kerana minat, kami tidak pernah rasakan semua ini sebagai bebanan. Kami anggap sebagai satu tanggungjawab dan pengalaman yang akan mengajar kami menjadi pendidik yang matang.
Sesungguhnya pengalaman akan mendewasakan kita. Pujian yang tidak terhingga kepada sebilangan guru-guru di sekolah yang tidak pernah mengenepikan kami sebagai guru sandaran tetapi peluang sentiasa diberi untuk kami menguruskan pelajar. Pengalaman yang diberi terlalu berharga.
Harapan saya agar peluang untuk mengikuti pengajian KPLI dan DPLI diutamakan kepada GSTT. Ini kerana segala aspek praktikal sebagai seorang guru telah kami lalui sepanjang bergelar GSTT.
Selain itu, kami golongan GSTT di seluruh negara sangat berharap kementerian membuka peluang untuk kami mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC). Sememangnya KDC untuk GSTT telah dibuka tetapi hanya pada sesetengah bidang sahaja, contohnya GSTT yang mengajar kelas pemulihan.
Tetapi untuk pengetahuan semua, tidak semua GSTT mengajar kelas pemulihan. Maka bagaimana dengan nasib kami GSTT yang mengajar subjek lain seperti Bahasa Melayu, Sejarah, Geografi, Sivik, Matematik dan lain-lain? Pertimbangan daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia amatlah dihargai.
Seri Johor
Utusan Malaysia Online: 7 Oktober 2010
Saturday, October 9, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment