KUALA LUMPUR 26 Sept. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sememangnya tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk menentukan atau mengambil tindakan terhadap seorang pengetua dan seorang guru sekolah yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman baru-baru ini.
Justeru, Ketua Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Seri Abu Bakar Abdullah berkata, semua pihak perlu memahami peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan kerana kedua-dua individu tersebut adalah pegawai kerajaan berjawatan tetap DG48.
Menurut beliau, segala bentuk proses membabitkan keputusan untuk menentukan jenis hukuman serta tindakan lanjut yang bakal dikenakan terhadap individu berkenaan juga bukanlah suatu proses yang mudah dan ia mempunyai peringkat-peringkat tertentu sebelum keputusan disepakati.
''Dalam berhadapan dengan kes terbabit, kita kena ikut peraturan. Pertamanya, kita akan menubuhkan Lembaga Siasatan. Selepas siasatan dilakukan, lembaga itu kemudiannya akan kemukakan laporan siasatan kepada JPA.
''JPA yang juga Urus Setia Lembaga Tatatertib pula akan memproses laporan itu dan seterusnya mendapatkan tarikh agar semua jawatankuasa Lembaga Tatatertib dapat bersidang,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang menegaskan beliau tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk mengambil tindakan terhadap seorang pengetua dan seorang guru sekolah berkenaan.
Penegasan Timbalan Perdana Menteri itu adalah berdasarkan kepada dakwaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa Muhyiddin enggan menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk mengambil tindakan terhadap seorang pengetua di Kulaijaya, Johor dan seorang guru di Bukit Selambau, Kedah yang didakwa mengeluar kenyataan berbaur perkauman.
Abu Bakar berkata, dalam persidangan membabitkan Lembaga Tatatertib, lembaga itu boleh mengarahkan Lembaga Siasatan untuk membuat laporan lanjut sekiranya diperlukan.
''Lembaga Tatatertib kemudiannya akan menentukan sama ada kedua-dua individu tersebut mempunyai kes atau tidak. Jika ada, surat pertuduhan akan dikeluarkan.
''Mereka yang tertuduh akan diberikan peluang untuk membela diri dan Lembaga Tatatertib akan bersidang sekali lagi untuk tindakan lanjut. Perlu juga difahami, bentuk hukuman juga adalah bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan.
''Jika membabitkan jenayah, mungkin sampai boleh dibuang kerja dan jika kes disiplin pula, mereka mungkin diturunkan pangkat atau ditahan kenaikan gaji atau hanya sekadar diberikan amaran,'' ujar beliau.
Ditanya mengenai perjalanan kes berkenaan, Abu Bakar menjelaskan, Lembaga Siasatan telah pun selesai menjalankan siasatan dan laporan tersebut kini berada di pihak JPA untuk kajian lanjut.
Utusan Malaysia Online: 27 September 2010
Friday, October 1, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment