Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my
Dr. Zainai Mohamed (dua dari kanan) menandatangani plak perasmian Persidangan Kebangsaan Pendidikan Kejuruteraan dan Keusahawanan 2010 di Pusat Dagangan Kelantan, Kota Bharu, baru-baru ini.
KOTA BHARU 28 Sept. - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) buat julung-julung kalinya bekerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menganjurkan Persidangan Kebangsaan Pendidikan Kejuruteraan dan Keusahawanan (NCEEE) 2010 di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini baru-baru ini.
Persidangan itu bertujuan mengukuhkan pendidikan kejuruteraan dan keusahawanan bagi menghasilkan tenaga kerja dalam bidang kejuruteraan selaras dengan hasrat kerajaan di bawah Model Baru Ekonomi (MBE).
Dengan tema Pendidikan Kejuruteraan dan Keusahawanan Pemacu Kelestarian Pembangunan Negara, persidangan itu berjaya menarik penyertaan hampir 200 peserta dalam dua bidang tersebut daripada sektor pendidikan awam dan swasta seluruh negara.
Sebanyak 54 kertas kerja merangkumi pelbagai aspek termasuk kajian kes di sekolah, politeknik serta institusi pengajian tinggi dibentangkan pada persidangan tersebut.
Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Ir. Dr. Zainai Mohamed berkata, penganjuran persidangan itu membolehkan perkongsian serta pengaliran buah fikiran yang lebih baik antara dua institusi yang menekankan dua bidang berbeza.
Katanya, ia juga penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan integrasi pendidikan kejuruteraan dan keusahawanan dalam prospek pembangunan negara.
"Gabungan kepakaran pada persidangan ini dapat menyediakan kita dengan kefahaman yang lebih jelas tentang ilmu keusahawanan dan bagaimana ia boleh 'dikahwinkan' dengan ilmu kejuruteraan.
"Ilmu keusahawanan bukan semata-mata mengajar cara memulakan perniagaan tetapi ia mendidik individu menjadi seorang yang berfikiran jauh dan berani mengambil risiko demi kemajuan diri.
"Adalah diharapkan, pengalaman yang dimiliki UMK selaku universiti yang bertunjangkan keusahawanan dapat membantu institusi lain dalam usaha kita mencari penyelesaian terbaik bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan," katanya merasmikan penutupan persidangan itu baru-baru ini.
Turut hadir, Penolong Naib Canselor Hubungan Industri dan Masyarakat UTHM, Prof. Dr. Jailani Md. Yunos.
Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal UTHM, Prof Dr. Wahid Razzaly pula berkata, realitinya, kebolehpasaran graduan kejuruteraan masa kini berada pada tahap tinggi.
Katanya, usaha untuk melihat bagaimana elemen keusahawanan diterapkan dalam sukatan pelajaran sewajarnya dilakukan kerana ia boleh memberi faedah besar dalam jangka panjang.
Beliau berkata, sebagai contoh di UTHM sendiri, lebih 78 peratus graduan berjaya mendapatkan pekerjaan dalam industri kejuruteraan sebaik sahaja menamatkan pengajian dan angka tersebut boleh mencapai hingga 90 peratus bergantung pada keadaan ekonomi.
"Melihat keadaan ini, mungkin ada yang berpandangan kita tidak perlukan ilmu keusahawanan untuk diajar kepada pelajar, namun saya berpendapat kita patut berani maju ke hadapan menerokai potensi yang ada.
"Jurutera yang mempunyai ciri-ciri dan ilmu keusahawanan berpeluang menjana pendapatan yang lebih tinggi pada masa hadapan dan ini selaras dengan hasrat kerajaan mentransformasikan negara menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya semasa menjadi ahli panel forum pada persidangan itu.
Forum yang dipengerusikan Jailani itu turut dibarisi Pengarah Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kurikulum, Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi, Mohd. Ghaus Ab. Kadir; Pengarah Penyelidikan dan Penerbitan Institut Kewangan Asia, Prof. Datuk Dr. Sudin Haron; Pensyarah Jabatan Pendidikan Teknikal dan Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Muhammad Rashid Rajudin serta Naib Canselor UMK sendiri.
Friday, October 1, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment