KUANTAN 9 Okt. - Tiada apa dapat mengatasi kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu terhadap anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan tidak mampu menguruskan diri sendiri.
Demikian nilai kasih sayang Zaidah Tamjis, 47, yang sanggup menemani anak ketiganya itu sepanjang pengajiannya di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini.
Sepanjang tiga tahun anaknya mengikuti program diploma, Zaidah yang hanya berpendidikan sekolah rendah, tinggal di asrama untuk menemani dan menguruskan segala keperluan Siti Hawa Apandi, 21.
Siti Hawa mengidap penyakit spinal muscular atrophy.
Bagaimanapun, apa yang membanggakan ialah Siti Hawa dinobatkan sebagai pelajar cemerlang dengan memperoleh Purata Gred Nilai Kumulatif (PGNK) 3.79 sepanjang pengajiannya dalam program Diploma Sains Komputer.
Anak ketiga daripada lima beradik yang bercita-cita menjadi pegawai sistem maklumat itu kini melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang sama dan berada di tahun dua di UMP.
Menurut Zaidah, dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan anaknya berjaya memperoleh ijazah dan berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran seperti insan normal yang lain.
"Kehidupan saya sama seperti pelajar lain iaitu tinggal di asrama, memasuki dewan kuliah, mengadakan perbincangan bersama pelajar lain cuma bezanya bukan saya yang belajar.
"Saya lakukan semua ini kerana Siti Hawa tidak mampu untuk bergerak sebab penyakit yang dihidapinya telah melemahkan seluruh urat saraf.
"Dia boleh memegang nota-nota kuliah sahaja. Buku yang melebihi 500 gram pun tidak mampu dipegangnya," katanya.
Beliau ditemui selepas menemani Siti Hawa menerima anugerah kecemerlangan bagi kategori OKU sempena Majlis Konvokesyen Kali ke-5 di UMP kampus Gambang di sini hari ini.
Siti Hawa antara 1,030 graduan yang menerima diploma dan ijazah masing-masing.
Seorang graduan menerima ijazah doktor falsafah diikuti sarjana (tujuh), sarjana muda (826) dan diploma (196). Canselor UMP, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan anugerah.
UMP turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Teknologi) kepada Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Menurut Zaidah, apa sahaja tugasan Siti Hawa adalah menjadi tanggungjawabnya dan dia akan memastikan anaknya dapat melakukannya dengan baik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment