KUALA LUMPUR - Cadangan penubuhan Akademi Undang-Undang bukan bertujuan
menandingi Majlis Peguam sebaliknya menjadi pelengkap di samping
memperkembangkan sistem perundangan negara, Persidangan Dewan Rakyat
diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong
berkata cadangan penubuhan akademi tersebut adalah bagi mewakili anggota
profesion perundangan secara menyeluruh melibatkan pelbagai golongan
seperti anggota badan kehakiman, ahli akademik, pengamal undang-undang
di Jabatan Peguam Negara, bekas hakim dan sebagainya.
"Penubuhan dan fungsi Majlis Peguam adalah mengikut Akta Profesion
Undang-Undang 1976 dan kerajaan tidak berhasrat memansuhkannya atau
meminda mana-mana peruntukan di dalamnya. Majlis Peguam masih boleh
berfungsi seperti yang ada sekarang," katanya ketika menjawab ucapan
penangguhan oleh Ooi Chuan Aun (DAP-Jelutong).
Ooi dalam ucapannya berkata cadangan kerajaan menubuhkan satu
alternatif bagi menandingi dan menyaingi Majlis Peguam adalah satu
langkah yang bahaya kerana ini akan melibatkan konflik antara kuasa
eksekutif dan legislatif.
Liew berkata cadangan penubuhan yang akan dilaksanakan melalui Rang
Undang-undang Akademi Undang-undang Malaysia itu bukan satu tindak balas
terhadap Majlis Peguam memandangkan ia telah dipersetujuan lebih 10
tahun dahulu. Sidang Dewan disambung esok. - Bernama
No comments:
Post a Comment