10 pelajar termasuk guru penolong kanan parah
KAJANG: Bagaikan pertempuran kumpulan kongsi gelap. Itulah gambaran saksi yang melihat lebih 30 remaja bersenjatakan kayu, besi, cota dan topi keledar menyerang lebih 30 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Perdana, di sini semalam.
Kejadian jam 12.30 tengah hari yang menyebabkan lebih 10 pelajar dan seorang guru penolong kanan sekolah cedera parah, berlaku sejurus murid tingkatan tiga, empat dan lima keluar dari pekarangan sekolah selepas tamat sesi pagi.
Keadaan bertambah buruk selepas kumpulan pelajar keluar dan menyerang balas serta menyelamatkan rakan. Sejurus selepas itu, seorang guru penolong kanan keluar bagi meleraikan mereka dan menarik pelajar masuk kembali ke dalam kawasan sekolah. - Saksi
Menurut saksi, pelajar yang berjalan kaki keluar sekolah diserang secara tiba-tiba oleh kumpulan remaja yang menunggu sejak 11.30 pagi di luar kawasan sekolah.
“Mereka memukul menggunakan topi keledar, kayu, besi dan cota sebelum beberapa pelajar lain dari dalam kawasan sekolah keluar membantu rakan mereka yang diserang.
“Keadaan bertambah buruk selepas kumpulan pelajar keluar dan menyerang balas serta menyelamatkan rakan. Sejurus selepas itu, seorang guru penolong kanan keluar bagi meleraikan mereka dan menarik pelajar masuk kembali ke dalam kawasan sekolah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Namun, guru itu diserang beberapa remaja menggunakan topi keledar sehingga parah pada kepala dan dihantar ke hospital oleh seorang guru dan beberapa pelajar.
Katanya, kumpulan penyerang adalah bekas pelajar yang dibuang sekolah dibantu beberapa rakan dewasa dengan memukul pelajar yang berada berhampiran mereka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata polis akan menjalankan siasatan menyeluruh dan meminta semua pihak tidak membuat spekulasi, sebaliknya menyerahkan siasatan kepada polis.
Sementara itu, seorang lagi pelajar berkata, dia melihat penyerang bertempiaran lari selepas beberapa anggota polis bermotosikal menuju ke lokasi kejadian.
“Mereka melarikan diri kawasan perumahan berhampiran dan meninggalkan motosikal mereka yang kemudiannya dihumban ke dalam longkang oleh pelajar,” katanya.
Dia berkata, lebih 10 pelajar cedera dibelasah.
Rakannya pula mengesyaki serangan adalah susulan pergaduhan mereka dengan pelajar sekolah berkenaan petang kelmarin
No comments:
Post a Comment