ALOR SETAR: Kira-kira 200 kakitangan Kolej Universiti Insaniah (Kuin), dekat sini, berkumpul bagi mendesak Rektor mereka, Profesor Datuk Dr Jamil Osman, dipecat daripada jawatannya berikutan masalah kewangan dihadapi kolej berkenaan.
Perhimpunan berlangsung 20 minit bermula pada jam 1.30 tengah hari di depan pejabat Rektor Kuin, di sini, semalam.
Peserta demonstrasi turut membawa sepanduk antara lain tertulis ‘Bersih 2.0 Kuin - Bersihkan Kuin daripada tangan yang tidak bertanggungjawab’, ‘staff dan pelajar Kuin mangsa krisis kewangan Kuin dan Jamil gagal tadbir Kuin-letak jawatan’.
Perhimpunan aman itu diketuai Penolong Pendaftar Kanan Kuin, Mohamad Azki Hafizi Ibrahim dan wakil kakitangan wanita yang juga pensyarah Kuin, Sajiah Yaakob.
Demonstrasi itu dikatakan berpunca daripada kegagalan pihak kolej menyelesaikan beberapa masalah termasuk isu penyelewengan potongan gaji kakitangan dibuat pihak pentadbiran sebagai ansuran bayaran pinjaman bank sehingga mengakibatkan tunggakan empat bulan.
Difahamkan, pada awal Mei hingga penghujung Jun lalu, beberapa siri pertemuan dan penyerahan memorandum serta surat dibuat, namun masih gagal mendapat layanan sewajarnya hingga mendesak kakitangan kolej mengadakan perhimpunan itu sebagai tanda protes.
Selain itu, kemelut yang melanda pentadbiran Kuin semakin kritikal hingga menimbulkan desakan supaya Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, campur tangan untuk memecat rektornya.
Sementara itu, jurucakap kakitangan kolej itu berkata, Azizan perlu memecat Jamil atas pelbagai faktor membabitkan kegagalannya dalam urus tadbir kolej itu.
Menurutnya, wakil mereka pernah diterima untuk bertemu dengan rektor bagi membincangkan masalah itu sekali gus menyelesaikan kemelut, namun ia menemui jalan buntu, malah wakil terbabit menerima padah apabila ditukarkan ke Jabatan Pembangunan Kuin, Kuala Ketil, Sungai Petani.
Katanya, perhimpunan itu bagi mendesak kegagalan Kuin menjelaskan bayaran kepada pihak ketiga iaitu bank sehingga mereka menanggung beban hutang selain gagal bekerja dengan sempurna akibat tekanan diburu bank.
“Kegagalan pengurusan sehingga mengakibatkan ada segelintir kenderaan milik kakitangan kolej hampir ditarik pihak bank kerana gagal menjelaskan tunggakan selain ada yang menerima surat peguam.
“Lebih membebankan, sebahagian polisi insuran yang dilanggan pekerja kolej itu ditamatkan oleh syarikat insuran berikutan gagal menjelaskan bayaran yang ditetapkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment