LINGGI 1 Julai - Peserta Program Kecemerlangan 
Akademik dan Motivasi Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) di sini hari 
ini mendapat kemahiran 'tiga dalam satu' dalam usaha mencorakkan 
kemenjadian pesertanya sebagai modal insan 360 darjah.
Program yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk 
Muhammad Yusof itu mendapat kerjasama sepenuhnya Unit Pendidikan Utusan 
Malaysia.
Tiga kemahiran tersebut ialah kemahiran insaniah, kemahiran 
penaakulan dalam menjawab soalan dan kemahiran mengenali potensi diri.
Ketua Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi Sekretariat 
Malaysia Prihatin, Dr. Ismail Zain berkata, usaha ini amat penting untuk
 menyahut cabaran pendidikan abad ke-21, yang memerlukan para pelajar 
menjana pemikiran kritis dan kreatif.
"Inilah asas ke arah transformasi diri yang boleh mewujudkan daya 
inovasi dalam memperkembang modal insan ke arah pembangunan negara,'' 
katanya kepada Utusan Malaysia selepas program berkenaan.
Beliau menambah, pengisian program itu juga digubal supaya mematuhi keperluan transformasi pendidikan negara.
"Kemahiran insaniah meliputi upaya komunikasi secara berkesan dan penonjolan diri,'' ujarnya.
Elemen penaakulan ialah para pelajar digalakkan berfikir dan menaakul
 dalam penyelesaian masalah pembelajaran harian mereka, kata Dr. Ismail.
Dengan mengaruh peserta untuk mengenali potensi diri masing-masing, 
tambah beliau, akan memupuk keyakinan serta menghargai harga diri agar 
mereka tidak mudah berputus asa.
Guru-guru cemerlang yang merupakan penggubal soalan peperiksaan 
kebangsaan membimbing dan menunjuk ajar bagaimana untuk mendapat A dalam
 kertas peperiksaan.
Seramai 200 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 dari lapan 
buah sekolah sekitar Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan mengikuti 
program yang ditaja sepenuhnya oleh Sekretariat Malaysia Prihatin.
Sekolah-sekolah berkenaan ialah SMK Datuk Muhammad Yusof, SM Rendah 
Agama Chuah, SMK Tanah Merah, SMK Datuk Haji Abdul Samad, SMK Bukit 
Saujana, SMK Pasir Panjang, SMK Teluk Kemang dan SMK Kampung Baru.
Pengetua SMK Datuk Muhammad Yusuf, Ramli Othman, bersyukur kerana 
program itu dapat dijalankan di sekolahnya, sambil menaruh harapan 
tinggi pelajar sekolahnya yang menyertai program itu mendapat keputusan 
cemerlang pada tahun ini.
"Saya meyakini program ini memang bagus, terima kasih banyak-banyak 
Sekretariat Malaysia Prihatin dan Kumpulan Utusan kerana membuat program
 di sekolah ini.
"Inisiatif yang dibawa oleh Sekretariat Malaysia Prihatin untuk 
pelajar kampung merupakan usaha yang cukup murni dan hanya Allah yang 
membalasnya,'' ujar Ramli.
Datuk Muhammad Yusof, merupakan Tokoh Guru Kebangsaan 1979, merupakan
 adik kepada Pendeta Zaaba, selain jawatan Setiausaha Khas kepada Yang 
di-Pertuan Agong yang pertama, pada tahun 1957.
Sekolah itu kini mempunyai 350 pelajar, calon PMR seramai 57 orang, dan semua calon mengikuti program ini.
Ramli yang pernah menjadi guru biasa di sekolah itu pada 1993 
sehingga tahun 2000, menganggap guru merupakan pemangkin kepada kejayaan
 sesebuah sekolah. 
Sejak dua tahun menjadi pengetua, beliau mendapati guru tidak boleh 
berputus asa memberi galakan dan rangsangan kepada pelajar sehingga ke 
saat akhir menjelang peperiksaan.
Amir Fuad Mohd Dom, Penolong Kanan 1, Kampung Baru Si Rusa, Port 
Dickson melihat keseluruhan program itu telah berjalan dengan cukup 
baik. 
"Terima kasih kepada Sekretariat Malaysia Prihatin serta terima kasih
 kepada usaha sekolah SMK Datuk Muhammad Yusof yang menguruskan dan 
merintis jalan dengan pihak sekretariat dan seterusnya membawa ke Negeri
 Sembilan,'' katanya.
Mengulas lebih lanjut, Amir Fuad memberitahu, program ini sangat sesuai dan tepat pada masanya.
"Teknik menjawab dan motivasi yang lengkap semuanya dalam satu pakej program.
"Silibus semua sudah habis, memang sekarang masa untuk ulang kaji dan gerak gempur,'' katanya.
Menurut beliau, program yang dianjurkan oleh pihak Sekretariat 
Malaysia Prihatin dengan kerjasama Unit Pendidikan Utusan Malaysia itu 
juga sejajar dengan usaha mempersiapkan calon PMR menghadapi ujian 
percubaan PMR pada pertengahan Ogos nanti.
Ujar beliau, selain program yang menjurus kepada kecemerlangan 
akademik, pengisian motivasi oleh pakar seperti Dr. Ismail Zain dapat 
menyuntik keyakinan yang tinggi, di samping menyedarkan pelajar yang 
mereka akan menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.
"Kadangkala (pelajar) belum sedar. Mereka tidak berasa risau atau 
merasai bahang peperiksaan. Bila sudah menghadiri program macam ini, 
baru tersentak.
"Sebab itulah peperiksaan percubaan teruk, sebab tidak sedar lagi,'' katanya.
Tambah beliau: "Saya harap program seperti ini dapat diteruskan , 
dengan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Usaha penajaan oleh 
sekretariat sangat penting kerana sekolah pun sudah tidak mempunyai 
banyak bajet.''
Sekolah lain yang akan mengikuti program ini dalam masa terdekat 
ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Ketereh di Kota Bharu pada 6 dan 7 Julai, 
SK Perwira di Teluk Intan (7-8 Julai), SK Jimah Baru di Siliau (14-15 
Julai), SMK Dato Abdul Razak di Seremban (8-9 September), SMK Kampung 
Chengal di Kota Bharu dan SMK Kok Lanas (12-13 September).
Lain-lain ialah SMK Sultan Abdullah Cenderong Balai (22-23 September)
 dan juga beberapa sekolah lain di Taiping, Bukit Mertajam dan Nibong 
Tebal pada 22, 23 , 29 dan 30 September.

No comments:
Post a Comment