RM5 juta biayai pelajar hafaz al-Quran
KUALA LUMPUR 7 Julai - Kerajaan memperuntukkan RM5 juta bagi 
melaksanakan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) yang membuka peluang kepada 
golongan hafal al-Quran melanjutkan pelajaran di institusi pengajian 
tinggi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom 
berkata, jumlah itu dijangka mampu menaja 200 pelajar tahun ini.
"Dana yang diperuntukkan bagi SPH ini adalah keprihatinan kerajaan 
untuk golongan hafiz di negara ini melanjutkan pengajian di peringkat 
ijazah, diploma lanjutan, sarjana dan doktor falsafah," katanya kepada 
pemberita selepas majlis konvokesyen Darul Quran (DQ) di Kuala Kubu 
Baru, dekat sini hari ini.
Mengulas perkara berbeza, Jamil Khir berkata, Jabatan Kemajuan Islam 
Malaysia (Jakim) kini dalam peringkat akhir perbincangan dengan 
Kementerian Pengajian Tinggi untuk menaik taraf DQ kepada kolej 
universiti.
"Jakim komited untuk menaik taraf DQ menjadi kolej universiti awam 
tetapi dengan hasrat segala perkembangan dan pentadbiran DQ masih di 
bawah bidang kuasa Jakim," katanya.
Pada konvokesyen itu, 494 pelajar menerima sijil dan diploma masing-masing. - BERNAMA 


No comments:
Post a Comment