Institut Penyiaran Tun Abdul Razak diwujudkan pada tahun 1971
sebagai Pusat Latihan Penyiaran Negara bertempat di Dewan Tunku Abdul Rahman,
Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Pada tahun 1974, pusat latihan ini berpindah ke
Bangunan IPTAR, Kompleks Angkasapuri.
IPTAR sebagai sebuah institusi nasional menyediakan kursus-kursus
profesional dalam bidang penyiaran. IPTAR melaksanakan tujuh program latihan
profesional penyiaran untuk meningkatkan prestasi pegawai-pegawai RTM.
Kursus dan program latihan yang dijalankan ialah :-
1. Latihan Rancangan TV
2. Latihan Rancangan Radio
3. Latihan Kejuruteraan TV
4. Latihan Kejuruteraan Radio
5. Latihan Kejuruteraan Asas (Pemancar dan
Bersepadu)
6. Latihan Pengurusan Teras dan Pembangunan
Rancangan
7. Latihan ICT
Selain menjalankan kursus-kursus penerbitan rancangan dan
kejuruteraan Radio, TV dan filem bagi meningkatkan prestasi pegawai-pegawai
RTM, IPTAR turut membuka peluang kepada peserta-peserta dari jabatan/agensi
luar mengikuti kursus-kursus yang berkaitan.
Sepanjang 40 tahun sebagai pusat latihan, IPTAR telah melaksanakan
hampir tiga ribu kursus dan melatih lebih daripada 30 ribu orang peserta dengan
purata lebih seribu orang setiap tahun. Di samping menjadi pusat latihan
penyiaran tempatan, Bangunan IPTAR juga menempatkan pejabat penyiar kawasan
Asia-Pasifik, iaitu Asia-Pasific Institute of Broadcasting Development (AIBD)
dan Asia-Pasific Broadcasting Union (ABU).
Semenjak tahun 1984 IPTAR dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi
(EPU), Jabatan Perdana Menteri melatih penyiar-penyiar luar negara dalam
Program Kerjasama Teknikal Malaysia. Setakat ini 133 buah negara telah dikenal
pasti sebagai ahli program.
IPTAR mengubah hala tuju seiring dengan perkembangan media masa
kini. Bermula 16 Ogos 2008, IPTAR telah dijadikan sebagai institusi latihan di
bawah Kementerian Penerangan Malaysia ke arah menjadikannya sebagai sebuah
pusat kecemerlangan dalam bidang penyiaran, komunikasi dan media. IPTAR kini
dikenali sebagai Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak atau IPPTAR.
Pada April 2009 Kementerian Penerangan digabungkan dengan dua
kementerian lain dan bertukar nama kepada Kementerian Penerangan Komunikasi dan
Kebudayaan. Sebanyak 18 buah jabatan dan agensi ditempatkan dalam pengawasan
kementerian ini.
Perancangan dan pelaksanaan kursus/latihan IPPTAR berdasarkan
Kajian Keperluan Latihan yang dilaksanakan melalui Bengkel Pengurusan Latihan
yang diadakan setiap tahun. Bengkel ini dianggotai oleh Ketua Bahagian Latihan
IPPTAR dan wakil jabatan dalam KPKK. IPPTAR turut melaksanakan arahan pihak
kementerian untuk mengadakan kursus yang diperlukan dari semasa ke semasa.
No comments:
Post a Comment