KEUPAYAAN Maktab Tentera Diraja (MTD) untuk membentuk
generasi muda yang cemerlang di samping mempunyai semangat sewaja, jati diri
dan ketahanan mental kelas pertama telah mendorong pasangan pensyarah dan guru
menghantar tiga anak lelaki mereka ke institusi yang terletak di Sungai
Besi, Kuala Lumpur.
Pensyarah di Institut Perguruan Perempuan Melayu,
Melaka, Jafri Mohamed Saad, 47, dan Guru Cemerlang Sekolah Menengah
Ayer Keroh, Salmah Abu Bakar, 47, bertuah kerana MTD berjaya melahirkan pelajar
yang bukan sahaja pandai dalam akademik malah dapat membentuk disipilin
serta sahsiah diri yang tinggi.
“Institusi ini mempunyai kelebihan tersendiri kerana pelajarnya
dilengkapi dengan ilmu ketenteraan dan menerima biasiswa khusus daripada
Kementerian Pertahanan,” kata Jafri.
Beliau menambah, iklim sekolah yang lebih mencabar daripada sekolah
berasrama penuh biasa menjadi faktor pendorong MTD menjadi pilihan mereka di
samping inginkan anak yang berjiwa kental, berdisiplin, kemas, segak, bergaya
dan bersemangat waja.
Anak keempat Jafri, Muhammad Syafiq, 18, berjaya mengulangi
sejarah abangnya, Muhammad Syahid, 20, dengan menjadi pelajar cemerlang dalam
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Muhammad Syafiq memperoleh 9A+ dalam SPM 2011 yang diumumkan
baru-baru ini. Adiknya, Muhammad Salman, 16, masih menuntut di
tingkatan empat di MTD.
Sementara itu Salmah memberitahu, dalam usaha memotivasikan
anak-anaknya, beliau mendedahkan kepada kerjaya yang mereka minati, memberi
nasihat bagaimana untuk berjaya dan memberi insentif bila mereka mencapai
kejayaan.
“Untuk pelajaran yang lemah, saya membuat perjumpaan khas dengan
guru cemerlang subjek itu sewaktu cuti sekolah,” terang Salmah mengenai tip
kecemerlangan anaknya dalam bidang akademik.
Menurutnya, ibu bapa perlu memberikan sokongan kepada
anak-anak dengan sentiasa bersama mereka ketika mengulang kaji pelajaran
khususnya sewaktu mereka berada di rumah.
“Pada masa yang sama, beri galakan untuk sukan yang mereka
minati seperti bola sepak, olahraga dan aktiviti luar supaya mereka tidak
berasa bosan kerana terlalau menumpukan kepada pelajaran semata-mata,”
jelasnya.
Bagi Muhammad Syafiq, menumpukan pelajaran dalam kelas ketika guru
mengajar merupakan rahsia kecemerlangannya.
“Saya kurang menelaah selepas waktu
sekolah kerana benar-benar memahami apa yang diajar guru dalam kelas dan hanya
mengulang kaji di asrama bagi pengajaran yang kurang jelas sahaja, “ kata
pelajar yang bercita-cita menjadi pakar bius ini.
Justeru, dia menyarankan agar pelajar tidak
tidur dalam kelas ketika guru mengajar kerana ia boleh menjejaskan tahap
penumpuan belajar dan pemahaman mereka sendiri.
No comments:
Post a Comment