RANCANGAN MAKANAN TAMBAHAN (RMT)
Program ini bertujuan untuk membantu meningkatkan taraf pemakanan murid yang terlibat supaya golongan ini dapat memberi tumpuan sepenuhnya dalam usaha pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Program ini diharap dapat memastikan pertumbuhan fizikal, kesihatan mental dan kesihatan umum murid sekolah bertambah baik selain membantu murid mendapat makanan yang seimbang.
Program ini telah dimulakan dalam tahun 1976 sebagai sebahagian daripada Rancangan Amalan Makanan dan Pemakanan (AMP), kelolaan Jabatan Perdana Menteri (JPM). AMP merupakan satu program pembangunan masyarakat berteraskan usaha kesihatan, pertanian dan pendidikan. Pada peringkat awal pelaksanaan tumpuan telah diberi kepada murid sekolah rendah dan kawasan luar Bandar. Mulai awal 1980an, apabila Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil alih sepenuhnya pengurusan program, ia telah diperluaskan ke semua kawasan di seluruh negara. Sejak tahun 1990an, taraf sosio ekonomi keluarga menjadi criteria utama pemilihan murid.
Kriteria pemilihan
Murid sekolah rendah terutama dari luar Bandar dan keluarga yang berpendapatan bulanan RM 400 dan kurang, iaitu RM 800 per kapita.
Kadar dan Peruntukan
Kadar yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah RM 1.80 sehari bagi murid di Semenanjung dan RM 2.05 sehari bagi Sabah, Wilayah Persekutuan dan Sarawak mulai 1 Mac 2007. Kadar ini dikira berdasarkan kos bahan mentah di pasaran dan tidak mengambil kira keperluan perkhidmatan, bahan api dan minuman. Program ini dilaksanakan sepanjang 190 hari persekolahan dalam setahun.
Strategi Perlaksanaan
Jawatankuasa RMT akan memilih pembekal makanan yang bertanggungjawab mengurus bekalan bahan, menyedia dan menghidang makanan, membersih peralatan serta tempat hidangan. Sekolah akan memilih 5 atau 10 menu daripada senarai 20 menu yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan menu ini diulangi setiap minggu atau dua minggu mengikut cita rasa setempat, kemampuan bekalan bahan makanan dan sesuaian dengan peruntukan kewangan. Dari segi proses penyediaan makanan, 95% sekolah di Semenanjung dikendalikan oleh pihak kantin dan makanan akan dinikmati oleh murid beberapa minit sebelum waktu rehat.
No comments:
Post a Comment