Gurun: Kementerian Pelajaran memberi jaminan semua 7,723 sekolah
rendah seluruh negara bakal menerima guru khas yang akan mengajar subjek Jawi,
al-Quran, Arab dan Fardu Ain (J-Qaf) tahun depan.
Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ia susulan
pengambilan 3,834 guru bagi subjek itu untuk mengatasi masalah kekurangan
tenaga pengajar pengajian berkenaan di lebih 2,000 sekolah rendah kini.
Beliau berkata, semua 3,834 guru itu akan ditempatkan di 2,054
sekolah rendah yang dikenal pasti berdepan masalah tiada tenaga pengajar sebaik
bermula sesi persekolahan musim depan termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina
(SJKC) mengikut keperluan jika bilangan pelajar Islamnya ramai.
Sesi pengambilan
“Kekosongan itu akan diiklankan dua kali bermula 23 September ini
dengan sesi pengambilan dijangka Oktober. Semua bakal guru akan dimasukkan ke
Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) selama dua minggu sebelum terus
mengajar melalui konsep Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) selama
setahun setengah,” katanya.
Puad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar
Keibubapaan Bagi Menangani Isu Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT)
peringkat Kedah anjuran Majlis Permuafakatan Ibu-bapa dan Guru (MPIBG)
Sekolah-sekolah Putrajaya dan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).
Hadir sama, Setiausaha Politik Perdana Menteri merangkap Pengerusi
MPIBG Putrajaya, Datuk Shahlan Ismail.
Sementara itu, beliau berkata, ancaman dan kecaman bukan kaedah
terbaik menangani isu LGBT, sebaliknya tindakan mendidik lebih rasional yang
memerlukan masyarakat memperbetulkan tanggapan terhadap golongan terbabit
terutama dalam usaha membentuk semula peribadi mereka supaya tidak jauh
tersasar.
“Tujuan seminar ini lebih kepada membendung gejala LGBT supaya anak
kecil tidak terpengaruh. Seminar dikendalikan kaunselor profesional bagi
mendidik ibu bapa supaya lebih terbuka dan sedar gejala LGBT digerakkan secara
tersembunyi,” katanya.
Katanya, kementerian komited untuk memastikan gejala LGBT tidak
berleluasa di sekolah, sekali gus merosakkan moral pelajar, namun tidak
bercadang mengeluarkan garis panduan bagi mengenal pasti simptom awal
pembabitan pelajar dalam gejala itu.
No comments:
Post a Comment