KERJASAMA GiatMara Malaysia dan rakan strategiknya, Utusan Malaysia bagi melahirkan Kelab Teknologi Bumiputera, bertujuan memasyarakatkan bidang kemahiran teknikal dan vokasional melalui Program Latihan 1Malaysia yang kurikulum modularnya akan dirangka secara bersama selepas ini.
Kelab itu yang dilancarkan di Pasir Gudang baru-baru ini, menandakan titik mula penglibatan secara langsung syarikat akhbar tersebut membantu GiatMara mendedahkan, memasyarakatkan dan memancing kelompok remaja sasaran untuk memilih bidang kemahiran sebagai mata pencarian sepenuh masa atau sambilan.
Mengikut perancangan awal, Utusan Malaysia akan terbabit dalam pemupukan minat pelajar sekolah yang berada dalam kelompok lemah bidang akademik untuk menyertai bidang kemahiran, memupuk kemahiran insaniah, kemahiran interpersonal dan skil komunikasi dalam bahasa Inggeris melalui medium e-Lab.
Kelab itu dilancarkan sempena Karnival Inovasi GiatMara & Bike Skill Fest 2012 selama tiga hari di Permas Jaya, Pasir Gudang berakhir semalam.
Kata Ketua Jabatan Pembangunan Kurikulum GiatMara Malaysia, Ahmad Hamdi Ibrahim, kerjasama itu juga bertujuan melicinkan hasrat negara dalam mengarus perdana kemahiran bagi pembangunan beberapa koridor mengikut kawasan.
Kelab ini bertujuan memupuk celik kemahiran dan vokasional demi masa depan,'' katanya sambil menambah, pengisian bagi program turun padang ke peringkat akar umbi akan diatur selepas ini.
Selain menyokong pelan transformasi pendidikan negara yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, prinsip 1 Insan 1 Kemahiran yang diperjuangkan oleh GiatMara Malaysia akan lebih tersebar luas di setiap kawasan Parlimen.
Bilangan pusat GiatMara berjumlah 231 buah di seluruh Malaysia menjadikannya antara institusi pendidikan pertengahan lepasan sekolah terbesar di negara ini.
GiatMara hanya mensyaratkan pemohon boleh menulis, membaca dan mempunyai minat (3M), seterusnya layak mengikuti program selama enam bulan sehingga setahun.
Pelajar perlu berusia 15 tahun dan ke atas semasa memohon.
Jika pelajar menunjukkan minat yang mendalam dan menunjukkan prestasi yang baik, mereka boleh melanjutkan pelajaran sehingga ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Kata Ahmad Hamdi, laluan kerjaya lepasan GiatMara selain ke UniKL ialah menceburi bidang keusahawanan dan bekerja di industri.
Setakat ini, penerimaan pihak industri terhadap graduan GiatMara memang menggalakkan," katanya.
Pelajar GiatMara akan menerima sijil professional GiatMara dikenali Mata Gred Purata Kompetensi GiatMara (GCPA) yang diperakui industri.
Kini terdapat 14,000 pelatih sepenuh masa, selain pelatih daripada Program Latihan 1Malaysia pada hujung minggu untuk setiap peringkat umur.
Tentang karnival di Pasir Gudang, beliau memberitahu sambutan sangat menggalakkan daripada pelbagai kaum, pelbagai agensi dan rakan strategik.
Kreativiti pelatih sungguh hebat pada tahun ini dengan penyertaan projek inovasi sebanyak 193, Bike Fest (36) dan kemahiran motosikal (65).
Katanya inovasi oleh pelatih GiatMara telah menerima anugerah Terbaik Dalam Kalangan Terbaik semasa Pertandingan Inovasi Mara di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Beranang melalui inovasi Projek Pemetik Nanas. - UM
No comments:
Post a Comment