SEKOLAH Menengah Kebangsaan Seksyen 9 yang mewakili Malaysia dalam pertandingan The Panasonic Regional Kid Witness News (KWN) Contest 2012 telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Konsep Kreatif di Hanoi, Vietnam baru-baru ini.
Pasukan itu menang melalui video bertajuk 'Paper Chase' yang mengisahkan seorang budak lelaki yang hidup dalam kemiskinan berusaha melalui pelbagai cara untuk mendapatkan bahan bacaan yang baharu.
Pengarah Perancangan dan Promosi Jenama Panasonic Vietnam, Naoki Sugiura berkata, melalui pertandingan berkenaan pelajar bukan sahaja menguasai kemahiran teknikal dalam penghasilan video malah mereka sebenarnya turut belajar erti kerja berpasukan di samping memahami isu atau cabaran yang memberi kesan kepada kita ketika ini.
"Kami harap pertandingan ini akan menyumbang kepada peningkatan kreativiti dan komunikasi di kalangan generasi muda di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Dalam pertandingan yang bertemakan komunikasi atau alam sekitar itu, pasukan New Zealand muncul juara keseluruhan dan juga menang kategori Videografi Terbaik.
Selaku juara, New Zealand layak ke pertandingan sama di peringkat global pada tahun ini bersama enam pemenang kategori termasuk Malaysia.
Sebanyak 1900 pasukan dari rantau Asia Pasifik menyertai pertandingan itu tetapi hanya tujuh dipilih untuk mewakili setiap negara.
Pemenang dipilih berdasarkan dua kriteria utama iaitu ekspresi dan taknikal. Dari segi ekspresi, faktor yang dinilai termasuklah konsep, penulisan dan persembahan keseluruhan manakala faktor teknikal pula melibatkan videografi, bunyi serta kemahiran menyunting.
Pertandingan KWN bermula di Amerika Syarikat pada 1989, kemudian dikembangkan kepada kategori serantau dan antarabangsa mulai 2004.
- Utusan
No comments:
Post a Comment