Social Icons

-
Showing posts with label Artikel Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Artikel Pendidikan. Show all posts

Saturday, February 9, 2013

Kes Murid Tanpa Dokumen



Setiap kali bermulanya pembukaan sesi persekolahan baharu setiap tahun, Kementerian Pelajaran pasti berdepan senario pendaftaran murid tanpa dokumen sama ada di kalangan ibu bapa warga tempatan mahupun rakyat asing yang bermastautin di negara ini.

Namun begitu, menurut Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Datuk Mazlan Mohamad, halangan itu tidak pernah dipandang ringan dan sentiasa diperbaiki pihaknya bagi memastikan kanak-kanak dan remaja di negara ini mendapat pendidikan sewajarnya, tanpa mengira agama, bangsa atau latar belakang keluarga.

Beliau memberitahu, terdapat banyak kategori berkaitan masalah pendaftaran murid atau pelajar dari peringkat prasekolah hingga tingkatan enam seperti ibu bapa warga tempatan yang tidak mempunyai dokumen yang mengesahkan kelahiran anak.

"Kes seperti ini berlaku disebabkan banyak faktor antaranya termasuklah ibu bapa bernikah di luar negara dan tidak mendaftarkan perkahwinan tersebut, yang menyebabkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak dapat mengeluarkan sijil kelahiran anak.

"Namun, murid berkenaan masih boleh memasuki sekolah dengan syarat ibu bapa mengisi dua borang yang disediakan Unit Perhubungan dan Pendaftaran Jabatan Pendidikan negeri di samping perlu mendapat pengesahan daripada ketua kampung di kediaman masing-masing,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Putrajaya, baru-baru ini.

Menurutnya, kesulitan pendaftaran masuk murid yang tidak mempunyai dokumen diri berlaku apabila ibu bapa membuat tafsiran tiada halangan mendaftarkan anak mereka ke sekolah walaupun tidak mempunyai sijil kelahiran.

"Ramai yang masih persoalkan pihak sekolah tentang perkara ini yang mana kenapa anak tidak boleh masuk sekolah walaupun ibu bapanya rakyat tempatan tetapi kita mahukan kepastian tentang status anak, mungkin anak angkat sebab itu perlu ada pengesahan ketua kampung,'' katanya.

Senario tersebut, katanya, walaupun hanya melibatkan segelintir kecil ibu bapa namun kementerian tetap memandang serius perkembangan itu kerana membuktikan masih wujud kekeliruan berhubung garis panduan tersebut.

Katanya, kesulitan juga berlaku apabila ibu bapa tidak mempunyai dokumen diri dan senario tersebut sering berlaku di kalangan masyarakat Orang Asli dan pedalaman namun melalui proses pendaftaran JPN, persekolahan murid tetap diteruskan.

Senario lain yang turut berlaku adalah di kalangan ibu bapa rakyat asing yang bekerja secara sementara dengan agensi kerajaan atau badan berkanun.

Kelompok ini dikehendaki membayar yuran pendaftaran RM120 setahun per murid untuk sekolah rendah manakala RM240 setahun per murid pula bagi sekolah menengah dan tanpa sebarang kemudahan pendidikan seperti bantuan buku teks, bantuan makanan atau wang khas RM100.

"Selain boleh ke sekolah antarabangsa, kita juga menyediakan pusat pembelajaran setempat misalnya untuk pekerja ladang Indonesia di Sabah dan kita pastikan pembelajaran mempunyai konsep 3M (Membaca, Menulis dan Mengira),'' katanya.

Sementara itu, kata beliau, ibu bapa warga asing yang mahu mendaftarkan anak mereka perlu membayar yuran persekolahan sama ada RM120 atau RM240 beserta pas belajar.

Menurut Mazlan, kesulitan seperti itu boleh diatasi sekiranya ibu bapa memainkan peranan dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan tidak menunggu saat-saat akhir untuk mendaftarkan anak mereka memasuki sekolah.

"Paling utama, kerajaan sentiasa menitik beratkan kepentingan pendidikan untuk semua, tidak kira latar belakang keluarga murid terlibat, apa yang penting, dia tetap mendapat pendidikan sewajarnya namun bagi warga negara asing, mereka harus mematuhi peraturan yang ditetapkan,'' tegasnya.

Setakat Julai tahun lalu, terdapat kira-kira 2,261 murid bukan warga negara bersekolah rendah di negara ini termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil di seluruh negara dengan bilangan paling ramai dikenal pasti di Sarawak iaitu seramai 830 orang.


Monday, January 7, 2013

Tandas Sekolah Akan Diberi Penarafan



Mulai tahun ini, Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperkenalkan Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah dalam usaha mengamalkan budaya tandas sekolah bersih terutama kepada golongan pelajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, usaha itu bakal digerakkan melalui penyebaran poster berkaitan amalan dan budaya kebersihan tandas bersih termasuk buku Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah di semua sekolah bermula bulan ini.

"Usaha berkenaan bagi mempergiat amalan menjaga kebersihan dalam kalangan murid dan diharapkan melalui golongan ini, amalan itu dapat diperhebatkan kepada masyarakat secara menyeluruh," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya, baru-baru ini.

Selain itu, beliau memberitahu, tahap kebersihan kantin dan dapur sekolah di seluruh negara semakin baik apabila 98.8 peratus daripada 8,321 kantin sekolah didapati bersih dengan markah 70 peratus ke atas melalui Penggredan Kantin Sekolah dan Dapur Asrama Sekolah yang dijalankan pada tahun 2012.

''Kementerian mempunyai senarai kantin dan dapur sekolah yang menerima markah bawah 70 peratus dan mereka ini diberi perhatian khusus seperti pemeriksaan akan dibuat pada bila-bila masa supaya mereka dapat meningkatkan tahap kebersihan," katanya.

Beliau turut menegaskan, mana-mana kantin yang tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan pihaknya akan dikenakan tindakan tegas seperti premis mereka disita serta merta.

Pada masa yang sama, katanya, pada tahun lalu, sebanyak 12 kantin sekolah dan lapan dapur asrama ditutup kerana tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.

Kata Ka Siong, antara aspek yang diambil kira dalam pemeriksaan itu termasuk tahap kebersihan pengendali, penyimpanan bahan mentah dan masakan, kebersihan premis serta kawalan serangga seperti lipas dan tikus.

Beliau berkata, selain menyediakan garis panduan mengenai jenis makanan yang tidak boleh atau tidak digalakkan dijual di sekolah, kementerian turut menjalankan kempen bagi meningkatkan kesedaran pelajar mengenai pemakanan golongan itu.

Usaha itu menurut beliau, termasuk memaparkan jumlah kalori dalam makanan yang dijual di kantin, di sekitar kawasan sekolah serta memaklumkan pelajar jumlah kalori yang ideal untuk kegunaan atau keperluan mereka.


Saturday, September 22, 2012

Pakej, ganjaran untuk guru


KEMENTERIAN Pelajaran akan memperkenalkan satu Pakej Kerjaya Guru baru dalam usaha memartabatkan keguruan sebagai profesion pilihan termasuk kaedah memberi ganjaran sepanjang tempoh kerjaya sebagai guru.

Menurut laporan awal pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, sistem kenaikan pangkat berasaskan tempoh perkhidmatan 8:8:6:3 yang baru merupakan suatu penambahbaikan yang jelas lebih baik daripada sistem sebelumnya.

Katanya, sistem itu membolehkan guru dalam tempoh 25 tahun dinaikkan gred daripada DG41 kepada Gred DG54.

''Bagaimanapun, terdapat kemungkinan guru kurang berusaha untuk memperbaiki profesionalisme mereka secara berterusan kerana sistem ini masih terikat dengan tempoh perkhidmatan dan jangka waktu kenaikan pangkat selama 25 tahun juga terlalu lama.

''Oleh itu, sistem ini tidak akan dapat menyelesaikan isu dan cabaran semasa seperti kekurangan guru yang berpengalaman untuk membimbing guru baru," kata laporan awal itu.

Tambah laporan awal tersebut, cabaran lain kepada kemajuan kerjaya secara berkesan adalah instrumen utama yang digunakan dalam penilaian guru, iaitu Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT).

Katanya, sebagai contoh, daripada hampir 48,000 orang sampel guru yang diambil pada tahun 2010, lebih daripada 60 peratus responden telah digredkan dengan markah melebihi 90 peratus; 38 peratus (markah antara 70 hingga 90%) manakala dua peratus daripada responden mendapat markah bawah daripada 70 peratus.

''Ini menyebabkan kementerian menghadapi kesukaran menyediakan sokongan profesionalisme mengikut kumpulan sasaran yang tepat berdasarkan prestasi mereka.

''Namun, bagi mengatasi kesukaran ini, kementerian telah menyediakan beberapa instrumen lain seperti Standard Kualiti Pendidikan Malaysia: Standard 4 dan instrumen penilaian guru cemerlang, untuk membantu proses penilaian," ujar laporan awal itu.

Selain itu, tambah laporan awal berkenaan, bagi kaedah pemilihan calon dan syarat kelayakan minimum membuktikan sistem ambilan itu telah menghasilkan suatu anjakan penting dalam profil guru pelatih manakala bagi bagi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) ia memperlihatkan peningkatan dari segi tahap kemasukan.

Laporan awal itu menambah, bagi latihan pra perkhidmatan dan pembangunan profesionalisme berterusan, kementerian menyedari masih terdapat kekurangan seperti latihan amali yang terhad.

''Bagi pembangunan profesionalisme berterusan pula berada di tahap sangat baik apabila lebih daripada 90 peratus guru mengikuti program ini 10 hari setahun berbanding tujuh hari setahun seperti yang ditetapkan kerajaan," ujar laporan awal itu.

Kementerian juga telah meningkatkan saiz tenaga kerja keguruan bagi mengecilkan nisbah murid-guru pada kadar 13:1 iaitu lebih rendah secara signifikan daripada sistem yang berprestasi tinggi seperti Singapura (16:1), Korea Selatan (20:1) malah lebih rendah daripada purata Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) (16:1).

Kata laporan itu, bagi kualiti pengajaran, Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), telah menjalankan kajian kualitatif mengenai pengajaran guru melalui pemerhatian terhadap 125 pengajaran di 41 buah sekolah mendapati hanya 12 peratus daripada pengajaran disampaikan pada standard yang tinggi, 38 peratus pada tahap memuaskan manakala 50 peratus pada tahap tidak memuaskan.

''Pengajaran yang membosankan murid apabila guru lebih bergantung kepada kaedah syarahan yang pasif dalam menyampaikan kandungan mata pelajaran," menurut laporan tersebut. - UM

Tiga gelombang pembaharuan


TIGA gelombang pembaharuan yang bertujuan meningkatkan prestasi sistem pendidikan negara ditetapkan untuk dilaksanakan dalam tempoh 13 tahun bermula tahun depan hingga 2025.
Laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menjelaskan, menerusi Gelombang Pertama membabitkan tahun pelaksanaan 2013 hingga 2015, sasaran diletakkan bagi menambah baik kualiti pendidikan negara supaya setanding dengan pencapaian purata global.

Menurut laporan itu, sepanjang pelaksanaan gelombang itu, Kementerian Pelajaran menentukan tiga bidang tumpuan iaitu menambah baik pengajaran di bilik darjah, meningkatkan kepimpinan kementerian dan sekolah serta meningkatkan kecekapan guru bahasa Inggeris.

"Hal ini tidak bermakna inisiatif perubahan akan menumpukan perhatian kepada tiga bidang berkenaan sahaja malah terdapat inisiatif yang memberikan tumpuan kepada isu lain seperti penambahbaikan kurikulum dan peningkatan infrastruktur.

"Bagaimanapun, tiga bidang itu dipilih sama ada ketiga-tiganya merupakan pemacu utama bagi menambah baik kualiti guru dan pengetua atau kerana keperluan bagi keseluruhan aspirasi ekonomi negara (bahasa Inggeris)," jelas laporan tersebut.

Bagi Gelombang Kedua (2016-2020), laporan berkenaan memberitahu, kementerian akan melaksanakan perubahan dari segi struktur untuk mempercepat langkah perubahan dengan perancangan bagi semua inisiatif akan bermula semasa gelombang pertama.

Perancangan itu termasuk menggerakkan semua 410,000 orang guru dan 10,000 pengetua atau guru besar kepada pakej kerjaya baru selain menstruktur dan menjajarkan pejabat Persekutuan, negeri serta daerah terhadap fungsi baru.

Ini bagi membolehkan pejabat berkenaan membantu sekolah dan memperkenalkan kurikulum sekolah menengah yang baru dan kurikulum sekolah rendah yang disemak dalam menangani isu mengenai pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan untuk berkembang maju di persekitaran ekonomi global masa kini.

Sementara itu laporan itu menyebut, semasa awal Gelombang Ketiga (2021-2025) pula, semua sekolah, guru dan pengetua seharusnya menunjukkan prestasi yang lebih tinggi daripada standard minimum.
"Oleh itu, kementerian akan menumpukan perhatian kepada peningkatan keluwesan operasi untuk menyemai budaya pemimpin rakan sebaya ke arah kecemerlangan profesional. Kementerian juga akan menggerakkan kebanyakan sekolah, jika tidak semuanya, ke arah model pengurusan berasaskan sekolah dan menambah model inovasi pengajaran yang berjaya.

"Matlamatnya adalah untuk membentuk suatu sistem tadbir urus kendiri yang mampu membuat pembaharuan dan membawa pencapaian ke tahap lebih tinggi," tambah laporan itu.

Jelas laporan itu, kementerian menyedari kepentingan serta kesegeraan dalam melaksanakan tugasan yang sedang dijalankan dan untuk itu, kementerian akan mula mengambil tindakan awal dalam beberapa bidang kritikal.

"Sebahagian besar daripada tindakan awal itu akan menjadi asas perubahan dramatik pada masa depan. Bagaimanapun kementerian juga menyedari keperluan menghasilkan pencapaian dengan kadar segera dan konsisten bagi membina dan mengekalkan momentum transformasi.

"Dalam 12 bulan yang akan datang, kementerian mempunyai kesungguhan untuk melaksanakan perubahan dan mendapatkan hasil seperti semua 70,000 guru bahasa Inggeris dinilai pada tahap kecekapan berbahasa mengikut standard antarabangsa dan syarat pengambilan guru diperketat selain semua 10,000 sekolah rendah dan menengah kebangsaan akan mendapat liputan internet 4G melalui pelaksanaan 1BestariNet," jelas laporan berkenaan.

Saturday, September 15, 2012

Peranan Pengetua Dalam Pengurusan Sekolah




Sekolah merupakan institusi sosial yang memainkan peranan amat penting dalam merubah kehidupan masyarakat. Sekolah adalah pengubah minda dan sekolah adalah penentu kepada budaya dan pembangunan sesebuah negara. Di sinilah tempat kita menuju wawasan. Di sini jugalah tempat kita membina bangsa kita. Dengan yang demikian tidak hairanlah kalau isu pendidikan tetap dibincang oleh masyarakat, walau apa pun bentuk dan taraf seseuatu masyarkat itu. Negara tidak akan maju tanpa sistem pendidikan yang berkesan. Kalau sistem dan carta organisasi sahaja yang berkesan tetapi pengurusannya lembab, maka cita-cita negara, dan perbelanjaan yang begitu besar diperuntukkan oleh kerajaan hilang begitu sahaja dan cita-cita serta Falsafah Pendidikan Negara hanya tinggal terukir di pejabat atau di bilik pengetua dan menjadi rujukan serta kajian ilmiah semata-mata. Oleh yang demikian untuk menzahirkan wawasan pendidikan negara, perlulah segenap pihak yang memikul tugas dan tanggungjawab menerima tugas dengan penuh amanah dan ikhlas. Terutama sekali sebagai seorang guru besar atau pengetua yang bertanggung jawab secara langsung di sekolahnya.

Hari ini ramai juga orang memperkatakan tentang kewibawaan guru besar atau pengetua (kedua-dua dirujuk sebagai pengetua) di sekolah. Macam-macam pendapat dan pandangan yang diberikan oleh mereka. Seolah-olah pengetua sahaja yang memainkan peranan tanpa dikaitkan dengan persekitaran dan sosio-budaya masyarakat setempat. Walaupun banyak elemen yang berkaitan dengan perkembangan pendidikan seeorang pelajar, tetapi kalau masing-masing mengetahui dan menginsafi tetang tugas dan tanggungjawabnya, kita yakin, Falsafah Pendidikan Negara akan terlaksana dan kita akan dapat menuju ke satu era kecemerlangan ilmu dan pembangunan negara akan berlaku secara seimbang di antara, emosi, jasmani, rohani dan intelek. Untuk itu, di sini kita cuba bincangkan tentang tugas dan tanggungjawab seorang pengetua dalam mencapai tugas dan matlamat itu.

Peranan Pengetua
Pengetua adalah orang yang memainkan peranan yang amat penting di sekolah. Dia adalah seorang pentadbir, pengurus dan yang lebih besar di situ adalah seorang pemimpin. Dalam konteks ini, ketiga-tiga tugas itu saya menggunakan istilah pemimpin atau kepemimpinan sahaja kerana aspek pentadbiran dan pengurusan adalah berkait langsung dengan kepempimpinan. Ketiga-tiga konsep itu, kita perlu memahami dan menghayati dengan jelas. Sebagai seorang pentadbir, yang melibatkan diri dalam pentadbiran pendidikan. maka ia perlu kepada proses kerjasama di antara dua orang atau lebih yang berasaskan kepada rasional yang tertentu untuk mencapai tujuan yang telah ditentukan sebelumnya seperti mana yang telah dijelaskan oleh SIONDANG(1981). Manakala SYUKUR (1988) menjelaskan pentadbiran secara amnya tertumpu kepada hal-hal yang sebahagian besar berhubung dengan pembahagian kerja dan penyelarasan perhubungan untuk melahirkan kecekapan dalam organisasi.

Kedua-dua konsep pentadbiran yang dikemukan oleh kedua-dua orang tadi adalah tidak lari dengan persepakatan. Tanpa melibatkan proses kerjasama maka pentadbiran dalam erti kata sebenarnya tidak berlaku di sekolah. Oleh itu, seorang pengetua yang berkesan hendaklah melaksana pentadbiran dengan melibatkan sekumpulan pekerja di bawahnya dengan cara yang disenangi . Mudah digauli dan menghargai pendapat dan pengalaman orang lain. Konsep "The boss is the boss" dalam zaman sekarang ini perlu dibuang terus dalam pemikiran pengetua. Zaman bercorak pentadbiran kolonial British telah berakhir. Hari ini bukan lagi zaman untuk menentukan tugas-tugas terlaksana tetapi zaman orang bercakap, berbincang dan mengkaji tentang kualiti, keberkesanan dan kecemerlangan.

Sebagai seorang pemimpin sekolah, seharusnya mempunyai semangat dan kesedaran yang tinggi tentang wawasan 2020. Wawasan 2020 bukanlah alat untuk membelenggu kita di dalam `status quo'. Wawasan ini mengajak kita untuk menjadi pelakon utama, menjadi primadona, menjadi seri panggung kepada drama perubahan (zahid, 1994).

Pemimpin adalah rahsia kehidupan gemilang umat dan sumber kebangkitannya. Sejarah umat adalah sejarah para pemimpin yang sedar, yang kuat jiwanya dan tinggi kemahuannya. Demikianlah kata-kata Al-marhum Hassan Al-Banna seorang mujahid Islam yang menjadi model dan keagungan pemimpin Islam pada zaman moden. Dari sini jelas kepada kita bahawa seorang pemimpin hendaklah mempunyai daya kesedaran yang tinggi dan mempunyai jiwa yang kuat dan mempunyai cita-cita yang tinggi.

Peranan dan fungsi pengurus yang memimpin adalah mencetuskan usaha-usaha peningkatan kekesanan proses pengajaran-pembelajaran dengan sentiasa melakukan inovasi dan sekaligus menghargai inovasi tenaga kerja (Sokarno,1994). Melalui kata-kata bekas Pegawai Khas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia ini, dapat kita simpulkan bahawa seorang pengetua hendaklah mempunyai cita-cita dan sentiasa mencari idea-idea baru untuk meningkat proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih bekesan. Sekolah perlu kepada seorang pemimpin yang berjiwa besar, semangat dan cita-cita tinggi kerana kepemimpinan sekolah adalah begitu kompleks. Sebahagian besar inputnya adalah manusia. Manakala outputnya juga adalah manusia, tidak seperti firma atau kilang-kilang yang mengeluarkan produk yang berupa barangan (goods). Pengetua terpaksa berhadapan dengan guru-guru pimpinannya dan pelajar-pelajar sebagai sasarannya. Di sekelilingnya adalah masyarakat yang sentiasa melihat pekembangan pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu, melalui anak-anaknya. Jadi, sebagai seorang pengetua terpaksa berhadapan dengan tiga dimensi, guru dan kakitangan sokongan, murid dan masyarakat.

Teori kepemimpinan
Beberapa teori kepemimpinan telah muncul dan banyak dibahaskan oleh golongan bijak pandai dalam usaha uuntuk melahirkan kepemimpinan yang berkesan. Di antaranya ialah teori kepemimpinan karismatik. Kini, teori karismatik tidak lagi merupakan sebagai angkubah utama untuk kejayaan kepemimpinan pengetua. Teori ini adalah terkenal dan menjadi panduan pada peringkat awal pengkajian dahulu setelah melihat kepada perkembangan sejarah bahawa pemimpin-pemimpina yang terkenal adalah terdiri dari mereka yang mempunyai peribadi yang menarik dan disenangi. Walaupun teori ini bukanlah faktor penentu kejayaan dalam kepemimpinan hari ini tetapi ini adalah asas yang perlu ada kepada seorang pemimpin.

Satu lagi teori kepemimpinan yang selalu dibincangkan ialah teori perhubungan kemanusiaan. Dalam teori ini, pemimpin yang berjaya adalah terdiri dari pemimpin yang dapat memberi perhatian yang berat kepada tugasnya, dan mewujudkan kerjasama dengan orang-orang bawahannya. Di sini kita dapati sekiranya seorang pemimpin itu tidak menghargai pandangan dan usaha orang-orang di bawahnya maka tentunya kerjasama tidak akan berlaku dan dengan itu nescaya tidak akan dapat melahirkan satu bentuk kepemimpinan yang berkesan. Dalam konteks sekolah, guru-guru di bawah seliaannya mungkin mempunyai pandangan dan idea yang lebih bernas dari dia sebagai seorang pemimpin. Oleh itu pandangan dan sifat kepemimpinannya tidak sepatutnya bersifat autokratik. Sifat ini tidak akan melahirkan corak kepemimpinan yang berkesan tetapi di sebaliknya akan lahir guru-guru yang bersifat kayu mati (dead woods) kerana mereka akan bosan dengan kerenah seorang pengetua yang tidak mahu mendengar pandangan dan buah fikiran orang lain, kerana menganggap dia adalah lebih bijak dan pandai dari orang di bawah kawalannya.

Mcgregor pula telah memperkenalkan teorinya yang dipanggil teori X dan teori Y. Dalam teori ini secara ringkasnya dapat dirumuskan bahawa sekiranya seseorang pemimpin (pengetua) itu menganggap orang-orang bawahannya malas dan tidak bertanggungjawab, maka lama-kelamaan mereka akan menjadi sebagai orang malas dan tidak bertanggungjawab. Di sebalikya, jika pemimpin itu menganggap orang-orang di bawahnya itu rajin dan bertanggungjawab, maka mereka akan lahir sebagai seorang yang rajin dan bertanggungjawab. Dalam teori ini konsep menghargai dan meletakkan martabat orang-orangnya adalah juga sebagai penentu kejayaan sesuatu kepemimpinan itu.


Setelah melihat kepada teori-teori tadi banyak diperbahaskan, maka timbul pula satu teori yang lebih menjuruskan kepada keadaan semasa. Teori ini dipanggil teori Kepemimpinan Mengikut Situasi (Situational Leadership Theories). Mengikut teori ini, keadaan yang berbeza memerlukan kepada corak kepemimpinan yang berbeza. Melalui teori ini dapatlah kita rumuskan bahawa pengetua hendaklah pandai dengan budaya dan suasana persekitaran. Setiap sekolah mempunyai iklim sosial yang berbeza. Banyak faktor yang perlu diambil kira. Bermula dari suasana dalam sekolah, persekitaran di luar sekolah, budaya masyarakat setempat dan sebagainya. Oleh itu pengetua hendaklah bijak menggunakan daya kepemimpinan yang ada padanya. Pengetua harus bijak supaya tidak timbul satu kejutan kepemimpinan yang boleh menimbulkan ketegangan kepemimpinan oleh guru-guru dan masyarakat sekitar.

Sifat kepengetuaan
Walau apa teori pun tidak semudah seperti yang diperkatakan oleh teori itu. Penentu kepada kejayaan bukan hanya satu sahaja, tetapi kesemuanya adalah berasaskan kepada kebijaksanaan pengetua dan peka dengan keadaan sekelilingnya. Mencari punca sesuatu masaalah dan menyelesaikan berasaskan kepada punca-punca itu adalah penting.

Dalam hal ini maka tidak timbulah seorang pengetua yang ditafsirkan sebagai suka mencari kesalahan. Seorang pengetua bukan ditugaskan untuk mencari kesalahan, tetapi untuk mengubati masalah. Membimbing mereka ke arah atau hala tuju yang betul secara klinikal Maka untuk inilah memerlukan daya kepemimpinan yang tinggi.

Sebagai seorang pengetua, sudah semestinya mahu menjadi seorang pengetua yang berkesan. Seorang pengetua yang berkesan akan melahirkan guru, sekolah dan pelajar yang berkesan. Sifat pengetua yang menekankan kepada jenis kepemimpinan demokratik merupakan asas kepada keberkesanan seorang pengetua. Seorang pengetua yang mengutamakan corak kepimpinan yang demokratik akan disayangi dan mudah didampingi oleh guru. Dia mengambil kira dan turut berkongsi pengalaman serta idea dengan orang-orang di bawah kumpulannya. Sifat menghargai dan sentiasa membawa perbincangan dari idea-idea yang diketengahkan oleh kumpulannya adalah satu cara yang amat penting dalam menjalankan urusan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Bukan sahaja dengan guru-guru tetapi seluruh kakitangan sokongan yang ada. Bagi orang-orang di bawah kawalannya, mereka akan merasa amat gembira kalau pemimpinnya menghargai idea mereka. Dengan ini akan lahirlah sikap mereka yang kuat dan rajin bekerja.

Sebagai seorang pengetua yang demokratik, dia juga hendaklah mampu mempertingkatkan daya kreatif dan enovatif kakitangan di bawahnya. Dia adalah sumber kepada mereka untuk terus membangunkan diri. Bagi pekerja-pekerja di bawahnya, seorang pengetua hendaklah sentiasa dapat memberi dan menanamkan minat guru-guru dan kakitangan yang lain supaya dapat menyumbangkan tenaga dan idea dari semasa ke semasa. Dalam konteks ini, pengetua itu seharusnya mempunyai semangat kerja berpasukan yang tinggi, sanggup menyertai sama dalam satu kumpulan kerja.

Sebagai seoarang pengetua yang mempunyai ciri-ciri demokratik, selain dari di atas tadi, dia juga hendaklah menunjukkan sebagai seorang yang mempunyai minat berkomunikasi secara terbuka, seorang yang peramah mesra. Sentiasa menunjukkan wajah yang disenangi oleh pengikutnya. Mempunyai komunikasi dua hala.Tidak ada perasaan ego dan tidak menekankan kepada sifat autokratik. Pengetua sebagai seorang yang mempunyai ciri-ciri professional, hendaklah menggunakan saluran demokratik itu secara terpimpin, kalau demokratik tanpa batasan akhirnya akan lahir satu bentuk kepemimpinan yang lain iaitu laissez-faire. Teori kepemimpinan Laissez-faire ini akan banyak memberi kuasa otonomi kepada pekerjannya. Pengikut atau pekerjanya mempunyai ruang yang amat bebas untuk membuat keputusan. Suasana sekolah akan menjadi pincang, urusan pengajaran dan pembelajaran tidak akan mencapai matlamat lagi.

Melalui bebarapa huraian ringkas di atas tadi menampakkan kepada kita bahawa, Pengetua adalah teras kepada pengurusan pendidikan di sekolah. Kalau pengetua sudah tidak ada kredibiliti dan karisme yang tinggi, sekolah sebagai tempat untuk menjana minda pelajar-pelajar akan berjalan dalam suasana yang pincang. Sekolah adalah 'duta wawasan' yang merupakan sebuah 'negara kecil' yang perlu segala-galanya. Pemimpin dan pengikut hendaklah sentiasa taat-mentaati dan harga-menghargai di antara mereka. Dengan wujudnya sifat kepemimpinan yang berkesan maka pengurusan dan pentadbiran di sekolah akan tercapai seperti yang diharapkan oleh setiap masyarakat dan kerajaan.

Sumber : MYZ

Senarai Sekolah 1 Malaysia

Isi menu tab 2
Isi menu tab 3
Isi menu tab 4
  1. SMK Derma
  2. SM Sains Syed Tuanku Putra
  3. SMK Jitra
  4. SMK Agama Baling
  5. SMK Sultan Badlishah
  6. SM Sultan Abdul Halim
  7. SM Sains Sultan Mohammad Jiwa
  8. SM Sains Pokok Sena
  9. SMK Abdullah Munsyi
  10. SMK Dato’ Onn
  11. SM Sains Tun Syed Sheh Shahabudin
  12. SMK King Edward VII
  13. SM Clifford
  14. SMK Seri Perak
  15. SMK Tengku Menteri
  16. SMK Raja Permaisuri Bainun
  17. SM Sains Raja Tun Azlan Shah
  18. Sekolah Tuanku Abdul Rahman
  19. Kolej Melayu Kuala Kangsar
  20. SM Sains Teluk Intan
  21. SMK Victoria
  22. SMK Taman Tun Dr. Ismail
  23. SMK Aminuddin Baki
  24. SM Sains Selangor
  25. SMK Seri Bintang Utara
  26. SMK Seri Bintang Selatan
  27. SK Seri Bintang Utara
  28. SK Seri Bintang Selatan
  29. SMK(P) Sri Aman
  30. SMK Sungai Besar
  31. SMK Bandar Baru Bangi
  32. SMK Kuala Kubu Bharu
  33. SMK Telok Datok
  34. Kolej Islam Sultan Alam Shah
  35. SM Agama Persekutuan Kajang
  36. SM Sains Kuala Selangor
  37. SMK Sungai Pusu
  38. SMK Putrajaya 1, Presint 8
  39. Sekolah Alam Shah, Putrajaya
  40. Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya
  41. SK Putrajaya 1, Presint 8
  42. SK Putrajaya 2, Presint 9
  43. SMK Dato’Sedia Raja
  44. SMK Bandar Baru Serting (FELDA)
  45. SM Agama Persekutuan Labu
  46. Kolej Tunku Kurshiah
  47. Sekolah Dato Abdul Razak
  48. SM Sains Tuanku Jaafar
  49. SMK Abdul Rahman Talib
  50. SMK Seri Pekan
  51. SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan
  52. SM Sains Tengku Abdullah
  53. SMKA Tengku Ampuan Hajjah Afzan
  54. Sekolah Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan
  55. SMK Dato’Dol Said
  56. SMS Muzaffar Shah
  57. SMK Tun Habab
  58. SMK Dato’ Sri Amar Diraja
  59. SM Sains Muar
  60. SM Sains Johor, Kluang
  61. Sekolah Tun Fatimah
  62. SM Sains Kota Tinggi
  63. SMK Agama Segamat
  64. SMK Dato’ Penggawa Barat
  65. SMK (P) Temenggong Ibrahim
  66. SMK Matang
  67. SM Sains Sultan Mahmud
  68. SM Sains Dungun
  69. SMKA Sheikh Abdul Malek
  70. SMK Kamil
  71. SM Dato Ahmed Maher
  72. SM Sains Tengku Muhamad Faris Petra
  73. SM Sains Machang
  74. SMKA Naim Libanat
  75. SM Sains Pasir Puteh
  76. SMK Elopura
  77. SMK Pengiran Omar
  78. SMK Tenom
  79. SM Sains Sabah Kota Kinabalu
  80. SM Sains Lahad Datu
  81. SMK Labuan
  82. SM Sains Labuan
  83. Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah
  84. Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang
  85. SMK Bahasa Malaysia
  86. SMK Three Rivers
  87. SM Sains Kuching
  88. SM Sains Miri, Sarawak
 

Sample text

Sample Text

Sekiranya anda ingin berkongsi informasi yang sahih mengenai pendidikan di Malaysia, sila email ke alamat ensiklopediapendidikan@gmail.com Majulah Dunia Pendidikan Untuk Agama Bangsa & Negara