Putrajaya: Kementerian Pelajaran bercadang meningkatkan jumlah Sekolah
Kluster Kecemerlangan (SKK) daripada 300 kepada 500 menjelang 2015.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, berkata sasaran baru itu dibuat berdasarkan peningkatan jumlah sekolah yang berpotensi untuk dinaik taraf sebagai SKK.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, berkata sasaran baru itu dibuat berdasarkan peningkatan jumlah sekolah yang berpotensi untuk dinaik taraf sebagai SKK.
Beliau berkata, SKK adalah sekolah yang boleh dijadikan contoh kepada sekolah lain.
263 SKK
"Kita akan membawa perkara ini kepada Menteri Pelajaran (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kerana ada kira-kira 500 sekolah yang berpotensi dinaik taraf kepada SKK dan sedang menjalani program bimbingan untuk menjadi SKK.
"Kita juga mahu memperbanyak sekolah yang boleh menjadi tanda aras di setiap daerah sama ada SKK atau Sekolah Berprestasi Tinggi supaya sekolah lain melihat kelebihan pelajarnya dan operasi SKK," katanya selepas menyampaikan Sijil Pengiktirafan SKK Fasa Tujuh, di sini semalam.
Sebanyak 50 sekolah, iaitu 21 sekolah menengah dan 29 sekolah rendah diiktiraf sebagai SKK bagi Fasa Tujuh menjadikan 263 SKK sejak 2006.
Abd Ghafar berkata, SKK kekal cemerlang dengan memperoleh keputusan mengatasi sasaran dalam peperiksaan awam dan menyertai program peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Pantau sekolah biak Aedes
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) memantau 335 sekolah yang didapati menjadi tempat pembiakan Aedes.
"Ini tidak sepatutnya berlaku. Kita sudah pun mendapat senarai sekolah terbabit dan saya percaya PPD akan mengambil tindakan yang terbaik untuk mengatasi perkara ini," katanya