Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my
2010/07/23
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan bapa kepada salah seorang pelajar sebuah sekolah menengah di ibu negara bahawa sekolah berkenaan mengenakan ‘tol’ RM1 sebagai denda ke atas pelajar yang lewat ke sekolah.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara berkenaan tetapi sudah mengarahkan pegawainya untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai dakwaan itu sama ada ia benar-benar berlaku atau sebaliknya.
Menurut Alimuddin, jika difikirkan secara logik, tidak mungkin ada sekolah akan mengambil tindakan sedemikian walaupun niat mereka untuk menghalang pelajar datang lewat ke sekolah.
“Bagi saya, perkara sebegini (mengenakan denda) tidak sewajarnya berlaku kerana ada kaedah lain yang boleh diambil sekiranya mahu mengatasi masalah pelajar lewat ke sekolah.
“Tidak ada sekolah akan berbuat demikian. Bagaimanapun, saya tidak boleh mengulas lanjut isu ini memandangkan masih menunggu laporan berkenaan hal itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bapa seorang pelajar sebuah sekolah di sini, menerusi ruangan iM Lapor akhbar ini semalam yang mahu kementerian mengambil tindakan terhadap sekolah berkenaan yang mengenakan tol RM1 ke atas pelajar yang lewat tiba ke sekolah bermula jam 7.25 pagi.
Bapa kepada salah seorang pelajar tingkatan tiga yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, 44, ketika dihubungi semalam, mendakwa pihak sekolah akan mengenakan bayaran RM1 bagi setiap pelajar yang lewat.
Katanya, perkara berkenaan sudah berlarutan sejak lebih lima tahun lalu ketika anak sulungnya yang kini sudah tamat tingkatan lima bersekolah di situ dan masih berterusan walaupun ada ibu bapa pernah membangkitkan isu itu ketika mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Katanya, PIBG seolah-olah menyokong tindakan berkenaan memandangkan pelbagai bantahan yang dibuat tidak pernah mendapat sokongan PIBG, malah, ada beberapa perkara yang disyorkan di kalangan ibu bapa tidak pernah menerima maklum balas daripada PIBG menyebabkan ibu bapa berputus asa untuk membuat sebarang aduan.
“Mungkin tindakan berkenaan untuk mengekang pelajar dari datang lewat ke sekolah tetapi tindakan ini tidak relevan dan membebankan pelajar terutama mereka yang kurang berkemampuan selain tidak tahu ke mana duit kutipan denda itu disalurkan.
“Malah, saya difahamkan terdapat segelintir guru di sekolah berkenaan tidak bersetuju dengan tindakan berkenaan tetapi tidak mampu berbuat apa-apa. Selain itu, pertukaran pengetua sekolah berkenaan turut tidak mengubah keadaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sementara itu, beberapa pelajar sekolah itu yang ditemui Harian Metro, mendakwa perkara berkenaan sememangnya berlaku tetapi hanya dikutip pada hari tertentu saja.
myMetro: 23 Julai 2010
Friday, September 24, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment