Oleh Mohd Harzrul Aminuddin dan Sharifah Zulaikha Syed Amali
am@hmetro.com.my
2010/07/23
MUAR: Bagaikan aksi dalam filem, seorang kanak-kanak hiperaktif berusia 10 tahun melakukan lagak ngeri apabila terjun dari tingkat satu bangunan sekolahnya di Jalan Abdullah di sini, pagi semalam.
Bagaimanapun, murid tahun empat itu bernasib baik apabila dia jatuh di atas bumbung dan hanya mengalami calar pada anggota badan.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi, murid terbabit baru saja dihantar kedua-dua ibu bapanya dan difahamkan, tiada guru mahupun murid lain di sekitar kawasan itu.
Walaupun terdapat dua pengawal keselamatan, kanak-kanak itu gagal dikawal lantaran terlampau aktif dan tidak reti duduk diam.
Menurut sumber, kanak-kanak terbabit mengalami sindrom hiperaktif sejak lahir, malah pergerakan yang terlampau cergas itu membuatkan dia sukar dikawal sesiapa pun termasuk guru dan ibu bapanya sendiri.
Katanya, tidak sampai lima minit ibu bapanya menghantar murid itu, dia berlari-lari seperti sedang bermain dengan rakan sedarjah.
“Namun, kelibat murid berkenaan terus hilang sebelum pengawal yang bertugas bertindak mencarinya di sekeliling bangunan sekolah terbabit.
“Apa yang disedari selepas itu, murid tahun empat berkenaan sudah bersedia untuk terjun dari tingkat satu bangunan tiga tingkat berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Katanya, pengawal keselamatan yang menyedari tindakan murid itu kemudian cuba memujuknya tapi gagal apabila mangsa terus terjun dari tingkat satu bangunan sekolah itu.
“Mujurlah atap asbestos menghalang murid itu daripada terus jatuh ke atas jalan. Namun, dia seakan-akan tidak puas hati dengan aksinya itu dan kemudian mahu cuba terjun daripada atap itu.
“Nasib baik tindakannya itu berjaya dihalang seorang lagi pengawal keselamatan sekolah yang berada berhampiran tempat murid itu terjun,” katanya.
Difahamkan, murid itu tidak cedera dan dibawa ke sebuah klinik berhampiran.
myMetro: 23 Julai 2010
Friday, September 24, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment