SEKRETARIAT Malaysia Prihatin (SMP) melalui Biro
Pendidikannya mengadakan kerjasama dengan Utusan Melayu (M) Berhad dalam
usaha melaksanakan Program Kecemerlangan Akademik SMP-Utusan Malaysia
bagi memberi peluang pendidikan kepada para pelajar di kawasan luar
bandar.
Pengurus Besar SMP, Noraini Nordin berkata, objektif utama
penganjuran program adalah untuk mempertingkatkan pencapaian pelajar
kurang berkemampuan dari kawasan luar bandar yang berpotensi untuk
berjaya dalam peperiksaan.
"Program ini akan diadakan di enam lokasi masing-masing tiga di
Negeri Sembilan dan Perak yang akan memberi penekanan khusus terhadap
bimbingan serta latihan menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah
(UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Menurut Noraini, pengisian program akan dikendalikan oleh Unit Pendidikan Utusan Malaysia meliputi sesi motivasi bersama Dr. Ismail Zain, teknik menjawab soalan peperiksaan bagi subjek pilihan UPSR, PMR dan SPM.
Program selama satu hari itu akan bermula di Linggi, Negeri Sembilan
pada 30 Jun yang melibatkan kira-kira 200 calon PMR dari kawasan
berkenaan.
"Ia akan diteruskan dengan sesi sama bagi calon PMR dari
sekolah-sekolah sekitar Taiping, Perak pada 1 Julai yang turut
melibatkan 200 peserta.
"Para peserta yang dipilih untuk mengikuti program merupakan pelajar
dari sekolah-sekolah di kawasan luar bandar yang kurang mendapat
perhatian," jelasnya.
Beliau menambah, Program Kecemerlangan Akademik bagi calon-calon UPSR
dan SPM di kedua-dua negeri berkenaan akan diadakan sepanjang Ogos
hingga September.
"Program ini bakal diperluaskan ke seluruh negara pada masa akan
datang dalam usaha pihak kami untuk membantu meningkatkan mutu
pendidikan negara.
"Diharapkan agar program ini mampu memberi faedah berguna kepada
pelajar-pelajar yang terlibat serta membantu mereka mendapat pendidikan
terbaik sama seperti pelajar-pelajar lain yang berkemampuan," ujarnya.
Jelasnya, para pelajar yang menyertai program ini akan terus dipantau
oleh SMP walaupun selepas tamat program bagi memastikan mereka mendapat
bimbingan yang sewajarnya dalam bidang akademik.
Pada program itu, para pelajar akan dibekalkan dengan buku nota, alat
tulis serta sijil penyertaan selain khidmat bimbingan daripada tenaga
pengajar bertauliah.
No comments:
Post a Comment